Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kajian: Pemulihan eksport Malaysia terus kukuh, import perlahan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Pemulihan eksport Malaysia terus kukuh pada November di tengah-tengah peningkatan semula kes Covid-19 di seluruh dunia, demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota semalam berkata eksport Malaysia meningkat dengan stabil sejak kejutan awal daripada pandemik pada April dan Mei, sejajar dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi di seluruh dunia dan mendapat manfaat daripada pemulihan China, rakan dagang utama negara ini.

Bagi tahun ini, firma penyelidikan itu telah menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport dan import negara masing-masing pada -2.5 dan -6.9 peratus.

“Setakat ini bagi tahun ini, eksport jatuh -2.6 peratus tahun ke tahun, melepasi unjuran awal kami iaitu -3.5 peratus tahun ke tahun bagi tahun ini.

“Sementara itu, pemulihan import agak perlahan, terus mencatat pertumbuhan negatif sejak Mei, terutama disebabkan prestasi lemah kedua-dua barang perantaraan dan barang modal yang menunjukkan bahawa kebanyakan pengeluar tempatan masih lagi kurang yakin,” katanya.

MIDF Research berkata setakat ini bagi tahun ini, import menyusut -7.0 peratus tahun ke tahun, jauh daripada unjuran awal iaitu -5.1 peratus tahun ke tahun.

“Sehubungan dengan itu kami menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport bagi 2020 kepada -2.5 peratus tahun ke tahun, lebih baik daripada yang dijangkakan pada awalnya, dan unjuran pertumbuhan import kepada -6.8 peratus tahun ke tahun, menunjukkan prestasi lebih perlahan daripada yang dijangkakan sebelumnya,” katanya.

Bagaimanapun, bagi 2021, MIDF Research mengunjurkan kedua-dua eksport dan import akan melantun semula masing-masing kepada +5.3 dan +6.0 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pemulihan perdagangan antarabangsa.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: Kadar pengangguran 2020 dijangka 4.3 peratus

KUALA LUMPUR, 11 DIS: MIDF Research menjangkakan kadar pengangguran Malaysia pada 2020 mencecah sekitar 4.3 peratus daripada 3.3 peratus tahun lepas berikutan penurunan eksport sejak beberapa bulan lepas yang berpotensi menjejaskan prospek pekerjaan dalam sektor perdagangan.

Dalam nota penyelidikannya, ia menyifatkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 dalam pasaran eksport seperti Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom juga boleh menjejaskan unjuran perdagangan serta rancangan pengambilan pekerja berikutnya dalam suku semasa.

Malah, pemulihan pasaran tenaga kerja juga dijangkakan turut memakan masa untuk kembali mencecah paras sebelum berlakunya pandemik tersebut.

“Sejajar dengan pemulihan ekonomi yang berterusan, kami melihat aktiviti pembukaan semula ekonomi dan peningkatan permintaan tenaga kerja yang menyebabkan penurunan kadar pengangguran berbanding paras tinggi pada Mei 2020.

“Bagaimanapun, kemunculan semula kes jangkitan Covid-19 dan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga awal Disember 2020 hanya terarah kepada pemulihan pasaran kerja yang lebih perlahan. Pada masa sama, kami juga menjangkakan permintaan tenaga kerja bagi sektor perkhidmatan, khususnya perhotelan dan restoran akan susut semula,” katanya.

Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 4.7 peratus pada Oktober 2020 berbanding paras tinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

Kadar pengangguran semasa kekal meningkat berbanding tempoh sebelum pandemik (Februari 2020 : 3.3 peratus) berikutan masih banyak syarikat yang belum beroperasi pada kapasiti sepenuhnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Midf Research: Penggunaan swasta, sektor perkhidmatan dijangka kuncup tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Penggunaan swasta dan sektor perkhidmatan di Malaysia dijangka menguncup tahun ini, masing-masing sebanyak 3.4 peratus dan 4.5 peratus tahun ke tahun berikutan impak pandemik Covid-19, kata MIDF Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma penyelidikan itu berkata pandemik berkenaan membantutkan permintaan domestik kerana pengguna mengurangkan perbelanjaan berikutan keadaan tidak pasti dalam masa terdekat ini.

Ini diterjemahkan kepada penyusutan dua angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam segmen-segmen itu pada suku kedua 2020.

“Walaupun kami yakin suku kedua adalah tempoh yang sukar, terutamanya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penggunaan hanya akan meningkat secara berperingkat, didorong oleh tekanan inflasi yang rendah, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan pakej rangsangan ekonomi menerusi tumpuan kepada rakyat.

“Ini berikutan peningkatan semula kluster baharu Covid-19 baru-baru ini yang boleh mengehadkan aktiviti luar orang ramai,” katanya sambil memaklumkan perbelanjaan, terutamanya bagi barangan bukan keperluan utama, akan mengambil masa lebih lama daripada dijangka untuk pulih sepenuhnya.

Menurut MIDF, sektor perkhidmatan terutamanya melibatkan hotel dan penerbangan akan terus mengalami tekanan akibat penutupan sempadan dalaman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Midf Research kekalkan unjuran KDNK 2020 pada -4.8 peratus

KUALA LUMPUR, 1 DIS: MIDF Research mengekalkan unjurannya bagi prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada -4.8 peratus bagi 2020.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata ekonomi dijangka terus bertambah baik berdasarkan kepada perkembangan dan petunjuk semasa.

“Bagaimanapun, kami menjangka ekonomi berkembang perlahan-lahan kerana sentimen masih lemah disebabkan peningkatan semula jangkitan kes Cocid-19 di negara ini dan di seluruh dunia, dengan risiko negatif lain seperti situasi politik, peningkatan dasar perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik,” kata MIDF Research.

Di Malaysia, lonjakan kes Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri.

“Meskipun kami melihat PKPB sekarang kurang ketat berbanding sebelum ini dan kebanyakan aktiviti ekonomi dibenarkan untuk terus beroperasi dengan mematuhi tatacara operasi piawai ia masih tetap memberi impak kepada kekuatan permintaan domestik disebabkan sekatan pergerakan fizikal.

“Dengan kata lain, kami menyedari impak utama daripada PKPB ke atas ekonomi adalah disebabkan terutamanya perbelanjaan lemah pengguna dan kesan limpahannya ke atas industri perkhidmatan, terutamanya subsektor berkaitan pengguna seperti perdagangan runcit, restoran, hotel, pelancongan, pendidikan dan rekreasi,” katanya.

MIDF Research berkata meskipun sempadan antarabangsa masih ditutup, sokongan daripada aktiviti pelancongan domestik akan terbatas berikutan PKPB.

“Bagaimanapun, kami percaya risiko kepada penggunaan sedikit sebanyak akan diimbangi oleh peningkatan pembelian secara dalam talian, perkhidmatan penghantaran ke rumah dan perkhidmatan kewangan dalam talian seperti e-dompet dan perbankan dalam talian.

“Selain itu, pakej rangsangan yang diumum kerajaan serta penurunan kadar dasar semalaman pada 125 mata asas akan terus menyokong pemulihan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata meskipun peningkatan kes Covid-19 masih menjadi kebimbangan utama, perbelanjaan fiskal dirancang yang digariskan dalam Belanjawan 2021 menyediakan sokongan bagi mencergaskan semula ekonomi Malaysia daripada kesan negatif pandemik global itu.

“Selain itu, pemulihan seterusnya permintaan domestik dan luaran menjadi faktor utama bagi pemulihan menuju ke 2021,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kesan PKPB ke atas KDNK hanya minimum – Midf Research

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka hanya memberi kesan minimum kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Kerajaan menguatkuasakan PKPB mulai 13-26 Oktober di Sabah dan 14-27 Oktober di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

MIDF Research berkata memandangkan PKPB kurang ketat berbanding perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO), impak gangguan seharusnya sedikit kerana kebanyakan aktiviti ekonomi akan dibenar meneruskan aktiviti seperti biasa, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP).

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran KDNKnya pada penguncupan -4.8 peratus untuk 2020.

“Dalam laporan kami sebelumnya, kami menganggarkan sekiranya TEMCO selama sebulan dilaksanakan di Lembah Klang, kesannya kepada ekonomi Malaysia boleh mencecah RM28.8 bilion dari segi kerugian output atau -1.9 peratus daripada KDNK ekoran kemerosotan dalam permintaan agregat.

“Ini ialah kerana berdasarkan saiz ekonomi, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menyumbang sekitar 40 peratus kepada KDNK Malaysia. Ini boleh menjurus kepada penguncupan yang lebih dalam bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan KDNK diunjur menguncup pada kadar yang lebih meruncing sebanyak -6.7 peratus,” katanya.

Anggaran itu dikira berdasarkan kepada andaian TEMCO di Lembah Klang akan menjadi ketat seperti PKP semasa gelombang pertama penularan Covid-19,” katanya.

Dari sudut permintaan, sekatan pergerakan fizikal akan memberi kesan buruk terhadap kedua-dua tahap dan kepelbagaian aktiviti penggunaan, katanya.

“Kami menyedari kesan utama PKPB ke atas ekonomi terutama disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lemah dan kesan limpahan kepada industri perkhidmatan, terutama subsektor berkaitan pengguna seperti sektor perdagangan runcit, restoran, hotel, pengembaraan, pendidikan dan rekreasi,” katanya.

Untuk pasaran pula, MIDF Research menjangkakan terdapatnya beberapa sentimen negatif jangka pendek berikutan pelaksanaan PKPB sambil menyatakan pasaran mungkin berada dalam situasi tidak menentu pada masa ini.

“Kami percaya para pelabur perlu memilih saham berpotensi yang mempunyai asas yang kukuh dan berpendapatan defensif,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MIDF Research semak turun unjuran KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: MIDF Research menyemak turun unjurannya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada paras -4.8 peratus tahun ke tahun pada 2020 daripada 4.5 peratus sebelum ini kerana impak ekonomi pada suku kedua tahun ini adalah buruk berbanding dijangkakan sebelum ini.

Dalam nota semalam, firma penyelidikan itu berkata berdasarkan perkembangan dan indikator semasa, ekonomi akan bertambah baik secara beransur-ansur kerana sentimen masih lemah berikutan ketidakpastian terhadap penularan Covid-19 dengan risiko-risiko penurunan lain muncul seperti keadaan politik, peningkatan dasar perlindungan dan ketegangan geopolitik.

“Penularan semula Covid-19 di beberapa negara telah menyebabkan mereka melaksanakan sekatan perjalanan sekali lagi. Di Malaysia, peningkatan wabak itu hanya melibatkan kes tempatan. Bagaimanapun, kebimbangan terhadap keadaan yang buruk berlaku di luar negara turut berlaku di Malaysia,” katanya.

MIDF Research berkata sempadan negara yang masih ditutup dan kadar pengangguran tinggi (yang mempengaruhi perbelanjaan swasta, pemacu ekonomi terbesar) juga menyumbang kepada semakan turun tersebut.

Bagaimanapun, ia berkata pakej rangsangan dan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan akan mengurangkan beberapa kesan buruk itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengumumkan bahawa KDNK Malaysia turun 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, jauh lebih buruk daripada jangkaan pasaran, dan kejatuhan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak Krisis Kewangan Asia iaitu -11.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat tahun 1998.

BNM berkata kebanyakannya disebabkan oleh pelaksanaan sekatan perjalanan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan langkah-langkah ketat telah diambil kerana kesihatan awam dan keselamatan merupakan keutamaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Ekonomi Malaysia dijangka pulih berperingkat – MIDF Research

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Selepas penguncupan ekonomi dijangka pada suku kedua 2020, Malaysia dijangka menyaksikan pemulihan secara berperingkat bermula dari suku ketiga bergantung kepada kemajuannya dalam memerangi penularan Covid-19, menurut MIDF Research.

Dalam nota hari ini, katanya pemulihan akan turut bergantung kepada bagaimana seluruh dunia, terutamanya rakan dagang utama Malaysia, memerangi penularan virus tersebut berikutan ini akan memberi impak kepada permintaan global untuk produk negara.

“Pakej rangsangan ekonomi dijangka akan mengurangkan impak daripada Covid-19,” menurut MIDF Research, yang merupakan sebahagian daripada MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Katanya Indeks Pelopor (LI) Malaysia merosot kepada -4.9 peratus bulan ke bulan pada Mac daripada -0.8 peratus bulan ke bulan pada Februari, menunjukkan kemelesetan ekonomi untuk tempoh Julai-September 2020.

Kemerosotan bulanan paling ketara sejak November 1991 sebahagian besarnya berikutan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac, menurut firma penyelidikan itu.

Katanya pertumbuhan eksport Malaysia mencatatkan paras terendah dalam tempoh empat bulan pada Mac. Jumlah perdagangan susut 3.8 peratus tahun ke tahun dengan eksport dan import, masing-masing merosot 4.7 peratus dan 2.7 peratus.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) secara keseluruhannya turut merosot sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada Mac, penyusutan pertama sejak Disember 2015 dan paling ketara sejak September 2009.

Prestasi tersebut, yang kurang memberangsangkan daripada jangkaan pasaran, berdasarkan kemerosotan dalam semua sub-indeks.

“Ia telah dijangka berikutan gangguan dalam rantaian penawaran dan permintaan secara keseluruhan di peringkat domestik dan global disebabkan COVID-19. Malaysia telah menguatkuasakan PKP pada Mac. Secara keseluruhannya, pada suku pertama tahun ini, IPP berjaya mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan walaupun pada kadar sederhana sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun (suku keempat 2019: 1.3 peratus tahun ke tahun).

“Mengenai masa depan, kami menjangka prestasi IPP pada suku kedua 2020 akan merosot, berikutan PKP yang dilanjutkan dan harga komoditi yang turun naik,” menurut MIDF Research.

Ia mengunjurkan kadar pengangguran melepasi syarat guna tenaga penuh empat peratus dalam tempoh beberapa bulan akan datang tetapi menyatakan apabila kerajaan membuka semula ekonomi, pasaran pekerjaan akan pulih secara berperingkat dan kebimbangan mengenai Covid-19 akan mula berkurangan.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Syarikat teknologi diunjur kekal neutral pada Q3

KUALA LUMPUR, 20 JUN: MIDF Research menjangka pasaran ekuiti berkaitan syarikat teknologi, kekal neutral pada suku ketiga (Q3) walaupun berhadapan tekanan yang teruk dalam dagangan global, ekoran pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berpanjangan.

Firma penyelidikan itu dalam laporan tinjauan Q3nya menyebut ketidaktentuan perdagangan yang semakin meningkat, mewujudkan kos kepada syarikat semikonduktor, dengan unjuran jualan yang rendah yang dicerminkan dalam keseluruhan saham semikonduktor dalam liputannya.

Bagaimanapun, pengharaman Amerika Syarikat ke atas produk syarikat teknologi utama China, Huawei, sebaliknya memberi manfaat kepada Malaysia.

“Kami melihat pengeluar komponen telefon pintar Malaysia merupakan antara penerima manfaat jika rantaian bekalan telefon pintar dijajarkan semula,” katanya hari ini.

“Malaysia, dengan reputasi sebagai antara pembekal komponen yang boleh dipercayai, mampu menjadi destinasi pengganti bagi China dalam bekalan cip dan komponen,” katanya.

Laporan itu menyebut bagi April 2019, peralatan semikonduktor mencatatkan bil sebanyak US$1.9 bilion, pengurangan 29 peratus tahun ke tahun, seiring dengan prospek suram industri semikonduktor.

“Kami percaya pengeluar mengurangkan perbelanjaan modal yang merangkumi pengembangan kapasiti pengeluaran dan/atau pengurangan dalam pelaburan teknologi baharu,” katanya.

Menurut MIDF Research, selagi perang perdagangan berterusan, ia akan melemahkan permintaan dan meningkatkan ketidaktentuan yang berpunca daripada peperangan perdagangan itu.

“Bagi meningkatkan permintaan yang semakin merosot, syarikat semikonduktor dalam liputan kami aktif meluaskan penawaran produknya dan asas pelanggan. Oleh itu, daya tahan pendapatan akan bergantung kepada seberapa cepat syarikat-syarikat ini dapat memperoleh perniagaan baharu,” katanya.

Bagi sektor telekomunikasi, laporan tersebut menyatakan bahawa pendapatan perkhidmatan pascabayar mencatatkan pertumbuhan mantap yang berterusan.

“Ini terutamanya disebabkan oleh pengembangan berterusan asas pelanggan pasca bayar memandangkan strategi pengambilalihan, pengekalan dan strategi penambahbaikan yang aktif. Selagi pengendali mudah alih meneruskan strateginya untuk menarik lebih banyak pelanggan pascabayar, kami menjangkakan pasaran pascabayar akan terus berkembang mantap,” katanya.

Bagi inisiatif untuk membuka jalan bagi spektrum 700Mhz, ia berkata kelulusan tender 700Mhz mungkin boleh berlaku pada suku keempat tahun ini memandangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini mengkaji semula mekanisme terdahulu untuk kelulusan spektrum.

“Industri telekomunikasi secara keseluruhan kekal berdaya saing. Pendapatan pengendali mudah alih juga mengalami tekanan akibat perubahan dalam gabungan hasil daripada suara ke Internet dan perubahan dalam pelanggan,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

ECRL dijangka sumbang 2.7 peratus pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion dijangka menyumbang sebanyak 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, demikian menurut MIDF Research.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, MIDF Research berkata, rangsangan pertumbuhan itu dijangka diterima seawal projek itu dimulakan sehinggalah ia selesai.

“Bagaimanapun, unjuran penuh sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bergantung kepada kadar kesan limpahan ke atas sektor ekonomi lain. Selain itu, pembayaran pampasan terhadap pekerja dan lebihan operasi bersih juga dijangka meningkat masing-masing sebanyak 3.6 dan 2.1 peratus.

“Memandangkan projek itu memerlukan kelengkapan jentera dan pengangkutan, unjuran kami menunjukkan import komoditi dan penggunaan modal tetap akan meningkat masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.1 peratus,” katanya.

Mengulas selanjutnya, MIDF Research berkata bagi kemajuan masa depan, projek rel itu akan memberi kesan dari segi pengembangan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam tempoh jangka panjang.

Ini termasuk pembentukan peluang pekerjaan, membuka kawasan baharu, pelaburan langsung asing, meningkatkan aktiviti dagangan luaran serta memperkukuh permintaan domestik.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan projek tersebut akan menjadi pemangkin industri dan pengeksport di Malaysia berikutan 70 peratus pengangkutannya adalah bagi tujuan penghantaran.

“Ini turut memberi kelebihan kepada Malaysia yang merangkumi perdagangan antarabangsa berikutan lokasi strategik projek itu untuk ke China serta negara-negara ASEAN lainnya.

“Malah, peningkatan aspek pengangkutan dan kesalinghubungan itu akan turut membantu Malaysia dari segi peruntukan sumber yang lebih baik, meningkatkan produktiviti, mobiliti serta pembangunan sosioekonomi dengan sebahagian daripadanya dapat memudahkan inisiatif Jajaran dan Laluan China.”

Menurut MIDF Research, projek ECRL itu juga akan menjana lebih banyak aktiviti ekonomi sektor lain, sekali gus membolehkan peralihan kepada ekonomi yang kurang bergantung kepada kerajaan.

Ia juga sejajar dengan idea Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan saiz sektor awam pada masa akan datang menerusi usaha perindustrian.

“Ini akan mengurangkan perbelanjaan pengurusan kerajaan, khususnya ke atas emolumen yang merupakan bahagian terbesar daripada jumlah perbelanjaan iaitu kira-kira 30 peratus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Eksport Malaysia dijangka sederhana tahun ini-MIDF Research

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) mengunjurkan pertumbuhan eksport Malaysia menyederhana kepada 3.6 peratus tahun ini daripada 6.7 peratus pada 2018 ditengah-tengah kesan asas yang tinggi dan petunjuk berterusan keputusan pelonggaran utama global.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma penyelidikan itu berkata kadar sederhana itu konsisten dengan harga komoditi global dan jangkaan berlakunya sedikit kelembapan dalam prestasi perniagaan secara keseluruhan, ekoran ketidaktentuan mengenai konflik perdagangan China-Amerika Syarikat (AS).

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini, eksport Malaysia pada Februari 2019 turun 5.3 peratus tahun ke tahun kepada RM66.6 bilion dan import juga merosot 9.4 peratus kepada RM55 .54 bilion.

Bagaimanapun, lebihan dagangan meningkat 22.7 peratus tahun ke tahun kepada RM11.06 bilion pada Februari 2019, menjadikannya bulan lebihan dagangan ke-256 berturut-turut sejak November 1997, kata kementerian itu.

Mengulas mengenainya, MIDF Research berkata kemerosotan eksport untuk bulan itu disebabkan oleh jumlah hari bekerja yang lebih pendek sempena Tahun Baharu Cina yang panjang.

“Semasa cuti umum ini, semua kilang-kilang milik Cina ditutup dengan sebahagian besarnya ditutup satu atau dua minggu sebelum cuti perayaan.

“Memandangkan perayaan itu menyebabkan pengeluaran hanya separuh kapasiti, ia mengganggu rantaian bekalan global yang mengakibatkan prestasi perdagangan yang lemah,” katanya.

Pada suku pertama 2019, firma penyelidikan itu menjangkakan eksport Malaysia menjadi sederhana, sejajar dengan prestasi perdagangan rakan kongsi serantau.

“Berdasarkan prestasi dagangan rakan serantau pada suku pertama 2019, pertumbuhan eksport Vietnam menyederhana kepada 3.7 peratus berbanding pertumbuhan 6.3 peratus pada suku keempat pada 2018, manakala eksport Korea Selatan menyusut 8.6 peratus tahun lepas, berbeza dengan pertumbuhan 8.1 peratus sebelumnya, eksport Malaysia juga dijangkakan mengalami trend yang sama,” katanya.

“Risiko akibat pertikaian perdagangan China-AS ke atas ekonomi dunia masih kekal kerana kedua-duanya masih belum memuktamadkan perjanjian,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Syarikat perladangan diramal pulih separuh kedua 2018

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Syarikat perladangan Malaysia dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini berikutan jangkaan penganalisis bahawa pengeluaran dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

Penganalisis perladangan di MIDF Research, Alan Lim, menjangka pendapatan syarikat perladangan tempatan mengukuh dalam tempoh itu, selepas mengambil kira arah aliran harga MSM baru-baru ini.

Katanya, harga MSM kini sudah pun mencecah paras lantai selain musim pengeluaran yang lebih tinggi.

“Harga MSM mencecah paras lantai sungguhpun paras stok tinggi dan pengeluaran lebih tinggi disebabkan harga kukuh minyak mentah Brent yang membolehkan industri biodiesel menyerap pengeluaran tambahan,” katanya lapor Berita Harian.

Timbalan Pengarah merangkap Ketua Perladangan di RHB, Hoe Lee Leng, pula berkata tinjauan syarikat perladangan tempatan dijangka lebih baik dari segi pengeluaran dalam suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Diharapkan tinjauan akan lebih baik dengan pengeluaran lebih tinggi, juga harga yang lebih baik pada suku keempat,” katanya.

Pada suku kedua, MIDF Research berkata, terdapat tujuh syarikat yang mencatat prestasi hambar dan hanya satu mencatat prestasi lebih baik.

Jumlah tandan buah segar (FFB) IOI Corp Bhd, Felda Global Ventures Holdings Bhd dan IJM Plantation Bhd lebih rendah daripada jangkaan.

Segmen bukan perladangan memberi kesan kepada pendapatan kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (sumbangan negatif daripada operasi pemprosesan dan perdagangan) dan Genting Plantations Bhd (marjin segmen hartanah lebih rendah daripada jangkaan).

Sementara itu, TSH Resources Bhd pula terkesan daripada kos yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Sebaliknya, Sime Plantation Bhd mencatat pendapatan lebih baik disebabkan kawalan kos yang lebih baik daripada jangkaan.

Hong Leong Investment Bank berkata, beberapa syarikat perladangan, khususnya Hap Seng Plantations Holdings Bhd, IJM Plantation dan TSH juga terkesan selepas mengguna pakai piawai perakaunan baharu (MFRS 141 and 116) sejak awal 2018.

-Berita Harian