Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Nilai jualan asing mengecil kepada RM331.04 juta minggu ini

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih minggu ini, namun, jumlah nilai aliran keluar bersih mengecil kepada RM331.04 juta daripada RM444.92 juta minggu lepas.

Dari 29 Jun hingga 2 Julai, purata penyertaan asing berkurangan kepada 15.5 peratus berbanding dengan 16.3 peratus bagi tempoh sebelum itu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dalam jangka tersebut, penjualan bersih oleh runcit tempatan pula bernilai RM39.7 juta dengan purata penyertaan sebanyak 36.49 peratus berbanding dengan pembelian bersih RM266.93 juta pada minggu sebelum ini.

Sementara itu, nilai pembelian bersih oleh institusi tempatan meningkat kepada RM370.75 juta dengan purata penyertaan mereka pada 48.02 peratus, daripada RM177.98 juta pada minggu lepas.

Beliau berkata penjualan bersih asing tidak banyak berubah pada awal minggu apabila dana luar pesisir hanya menjual ekuiti tempatan bernilai RM12.7 juta bersih pada Isnin.

“Kekurangan aktiviti penjualan adalah sejajar dengan peningkatan semula FBM KLCI sebanyak 0.5 peratus pada hari yang sama, dalam persekitaran minat baru terhadap kaunter sarung tangan dan penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, penjualan bersih asing meningkat kepada RM79.2 juta pada Selasa, menjadikan nilai aliran keluar bersih asing bagi keseluruhan Jun 2020 berjumlah RM2.98 bilion.

Mohd Afzanizam berkata dagangan Julai bermula suram berikutan dana antarabangsa meningkatkan aktiviti penjualan pada Rabu, dengan menjual RM142.1 juta bersih nilai ekuiti tempatan, tertinggi untuk minggu ini.

Beliau berkata walaupun begitu, institusi tempatan pula aktif membeli ekuiti tempatan bernilai RM180.9 juta pada hari yang sama, didorong peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia, yang melonjak kepada 51 pada Jun — paras tertinggi sejak September 2018 — daripada 45.6 pada Mei.

Pada Khamis, penjualan bersih asing susut kepada RM97.0 juta, meneruskan jualan sehingga 12 hari berturut-turut.

“Sentimen optimis pada Khamis — yang mengehadkan aliran keluar asing — dipacu oleh harapan daripada keputusan percubaan yang positif bagi kemungkinan vaksin COVID-19 yang diusahakan Pfizer (firma utama farmaseutikal Amerika Syarikat) bersama-sama dengan BioNTechm (syarikat bioteknologi Jerman),” katanya.

Beliau berkata berbanding dengan rakan serantau ASEAN — Thailand, Indonesia dan Filipina — Malaysia mencatatkan nilai aliran keluar asing kedua tertinggi iaitu RM16.52 bilion selepas Thailand setakat ini bagi 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Aliran keluar dana asing RM444.92 juta minggu lepas

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Dana asing kekal sebagai penjual bersih minggu lepas, dengan aliran keluar berjumlah RM444.92 juta dari Isnin hingga Khamis.

Ini, bagaimanapun, kurang daripada jumlah dalam tempoh sama pada minggu sebelumnya (15-18 Jun) sebanyak RM445.35 juta.

Sebaliknya, runcit dan institusi tempatan mencatatkan belian bersih sebanyak RM444.91 juta.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dilihat terdapat sentimen penghindaran risiko berikutan peningkatan jumlah jangkitan baharu Covid-19 baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran mereka untuk penguncupan global daripada 3.0 peratus, yang dibuat pada April, kepada -4.9 peratus pada 2020.

Indeks Volatiliti CBOE yang berpangkalan di Chicago turut meningkat kepada 34.73 mata pada Jumaat lepas, menunjukkan keresahan pasaran mengenai berita terkini berhubung kadar jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi.

Mohd Afzanizam berkata kebimbangan utama adalah ia boleh menjejaskan pembukaan semula ekonomi yang telah dilaksanakan sejak Mei.

Mengenai masa depan, katanya pasaran akan memberi tumpuan kepada tahap peningkatan kes Covid-19 baharu dan bagaimana ia akan berkembang, terutamanya berkaitan dengan pembukaan semula ekonomi.

“Data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) menggalakkan dan ia belum mengambil kira peningkatan baru-baru ini. Oleh itu, peserta pasaran dijangka terus berhati-hati minggu depan,” katanya kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah diperbetulkan dengan agak ketara berdasarkan ia merosot di bawah purata pergerakan 200 hari.

“Mungkin pasaran cuba melihat sama ada peningkatan jumlah jangkitan baharu baru-baru ini di AS boleh menjejaskan pembukaan semula ekonomi mereka.

“Oleh itu, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,480 dan 1,490 mata. Data adalah menggalakkan seperti IPP Komposit AS, yang meningkat kepada 46.8 mata pada Jun daripada 37 mata pada Mei,” katanya.

Begitu juga di United Kingdom dan Zon Euro, IPP Komposit, masing-masing naik kepada 47.6 mata (Mei: 30.0) dan 47.5 mata (Mei: 31.9) pada Jun.

Tuntutan Pengangguran Awal AS dapat memberi gambaran mengenai keadaan ekonomi dan data terkini menunjukkan tuntutan pengangguran lebih tinggi daripada anggaran konsensus bagi minggu berakhir 19 Jun.

-BERNAMA