Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Nilai jualan asing mengecil kepada RM331.04 juta minggu ini

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih minggu ini, namun, jumlah nilai aliran keluar bersih mengecil kepada RM331.04 juta daripada RM444.92 juta minggu lepas.

Dari 29 Jun hingga 2 Julai, purata penyertaan asing berkurangan kepada 15.5 peratus berbanding dengan 16.3 peratus bagi tempoh sebelum itu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dalam jangka tersebut, penjualan bersih oleh runcit tempatan pula bernilai RM39.7 juta dengan purata penyertaan sebanyak 36.49 peratus berbanding dengan pembelian bersih RM266.93 juta pada minggu sebelum ini.

Sementara itu, nilai pembelian bersih oleh institusi tempatan meningkat kepada RM370.75 juta dengan purata penyertaan mereka pada 48.02 peratus, daripada RM177.98 juta pada minggu lepas.

Beliau berkata penjualan bersih asing tidak banyak berubah pada awal minggu apabila dana luar pesisir hanya menjual ekuiti tempatan bernilai RM12.7 juta bersih pada Isnin.

“Kekurangan aktiviti penjualan adalah sejajar dengan peningkatan semula FBM KLCI sebanyak 0.5 peratus pada hari yang sama, dalam persekitaran minat baru terhadap kaunter sarung tangan dan penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, penjualan bersih asing meningkat kepada RM79.2 juta pada Selasa, menjadikan nilai aliran keluar bersih asing bagi keseluruhan Jun 2020 berjumlah RM2.98 bilion.

Mohd Afzanizam berkata dagangan Julai bermula suram berikutan dana antarabangsa meningkatkan aktiviti penjualan pada Rabu, dengan menjual RM142.1 juta bersih nilai ekuiti tempatan, tertinggi untuk minggu ini.

Beliau berkata walaupun begitu, institusi tempatan pula aktif membeli ekuiti tempatan bernilai RM180.9 juta pada hari yang sama, didorong peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia, yang melonjak kepada 51 pada Jun — paras tertinggi sejak September 2018 — daripada 45.6 pada Mei.

Pada Khamis, penjualan bersih asing susut kepada RM97.0 juta, meneruskan jualan sehingga 12 hari berturut-turut.

“Sentimen optimis pada Khamis — yang mengehadkan aliran keluar asing — dipacu oleh harapan daripada keputusan percubaan yang positif bagi kemungkinan vaksin COVID-19 yang diusahakan Pfizer (firma utama farmaseutikal Amerika Syarikat) bersama-sama dengan BioNTechm (syarikat bioteknologi Jerman),” katanya.

Beliau berkata berbanding dengan rakan serantau ASEAN — Thailand, Indonesia dan Filipina — Malaysia mencatatkan nilai aliran keluar asing kedua tertinggi iaitu RM16.52 bilion selepas Thailand setakat ini bagi 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Aliran keluar dana asing RM444.92 juta minggu lepas

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Dana asing kekal sebagai penjual bersih minggu lepas, dengan aliran keluar berjumlah RM444.92 juta dari Isnin hingga Khamis.

Ini, bagaimanapun, kurang daripada jumlah dalam tempoh sama pada minggu sebelumnya (15-18 Jun) sebanyak RM445.35 juta.

Sebaliknya, runcit dan institusi tempatan mencatatkan belian bersih sebanyak RM444.91 juta.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dilihat terdapat sentimen penghindaran risiko berikutan peningkatan jumlah jangkitan baharu Covid-19 baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran mereka untuk penguncupan global daripada 3.0 peratus, yang dibuat pada April, kepada -4.9 peratus pada 2020.

Indeks Volatiliti CBOE yang berpangkalan di Chicago turut meningkat kepada 34.73 mata pada Jumaat lepas, menunjukkan keresahan pasaran mengenai berita terkini berhubung kadar jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi.

Mohd Afzanizam berkata kebimbangan utama adalah ia boleh menjejaskan pembukaan semula ekonomi yang telah dilaksanakan sejak Mei.

Mengenai masa depan, katanya pasaran akan memberi tumpuan kepada tahap peningkatan kes Covid-19 baharu dan bagaimana ia akan berkembang, terutamanya berkaitan dengan pembukaan semula ekonomi.

“Data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) menggalakkan dan ia belum mengambil kira peningkatan baru-baru ini. Oleh itu, peserta pasaran dijangka terus berhati-hati minggu depan,” katanya kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah diperbetulkan dengan agak ketara berdasarkan ia merosot di bawah purata pergerakan 200 hari.

“Mungkin pasaran cuba melihat sama ada peningkatan jumlah jangkitan baharu baru-baru ini di AS boleh menjejaskan pembukaan semula ekonomi mereka.

“Oleh itu, FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,480 dan 1,490 mata. Data adalah menggalakkan seperti IPP Komposit AS, yang meningkat kepada 46.8 mata pada Jun daripada 37 mata pada Mei,” katanya.

Begitu juga di United Kingdom dan Zon Euro, IPP Komposit, masing-masing naik kepada 47.6 mata (Mei: 30.0) dan 47.5 mata (Mei: 31.9) pada Jun.

Tuntutan Pengangguran Awal AS dapat memberi gambaran mengenai keadaan ekonomi dan data terkini menunjukkan tuntutan pengangguran lebih tinggi daripada anggaran konsensus bagi minggu berakhir 19 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan dana asing masuki minggu kedua bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Pasaran ekuiti Malaysia mencatatkan prestasi lemah minggu lepas dalam keadaan sektor luaran yang tidak menentu serta ketidakpastian berhubung kelayakan bon kerajaan Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bagi tempoh 23-26 September, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih, membawa keluar kira-kira RM13.6 juta daripada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, aliran keluar itu berkurangan perlahan-lahan apabila dibanding dengan hari dagangan pendek minggu sebelumnya pada 17-20 September di mana dana asing dijual sebanyak RM249.3 juta. Pasaran ditutup pada 16 September sempena cuti Hari Malaysia.

“Kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi perlahan akan terus menjejaskan sentimen. Langkah siasatan rasmi ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang dibuat oleh dewan perwakilan membayangkan ketidakstabilan politik di AS mungkin juga akan menjejaskan sentimen minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, para penganalisis juga mempunyai pandangan berbeza tentang kelayakan bon Malaysia untuk kekal dalam senarai pemerhatian FTSE Russell sehingga semakan semula seterusnya pada Mac 2020.

Meskipun MIDF Research berkata berita itu menyediakan sentimen positif kepada ringgit, ekuiti tempatan memberikan reaksi negatif, dengan seorang penganalisis menyatakan agak sukar untuk mengekang jualan asing.

FTSE Russel berkata ia mengekalkan bon Malaysia dalam senarai pemerhatian pendapatan tetapnya sehingga semakan semula seterusnya pada Mac.

Sementara itu,Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata trend aliran keluar dana asing di dalam negara meningkat sejak beberapa minggu lepas berikutan pertumbuhan perlahan ekonomi global.

Beliau berkata setakat ini, aliran keluar dana bersih adalah sebanyak RM7.8 bilion.

“Saya percaya saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar sebuah daripada anak syarikat Petronas menjadi syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia akan menarik lebih ramai pelabur menyertai institusi itu.

“Idea itu sepatutnya sekurang-kurangnya dapat mengurangkan aliran keluar dana, jikapun tidak dapat meningkatkan aliran masuk dana, yang seterusnya dapat menstabilkan aliran keluar dana yang kita lihat hari ini,” katanya.

Pada Jumaat, Tun Dr Mahathir menamakan Petronas Carigali sebagai satu daripada calon, sambil menambah, terdapat juga beberapa kemungkinan lain.

Ketika ini, Petronas Chemicals, Petronas Dagangan dan Petronas Gas merupakan antara 30 syarikat berkaitan indeks di Bursa Malaysia.

Nazri Khan berkata para pelabur juga menunggu Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Okt depan.

“Kami berharap pengumuman positif daripada belanjawan itu akan membantu menarik lebih banyak aliran masuk dana ke dalam negara,” katanya.

FBM KLCI Bursa Malaysia berada pada 1,592.93 pada paras penutup Isnin (23 Sept) dan mengakhiri minggu tersebut (27 Sept) pada 1,584.14.

Bagi asas mingguan, indeks tersebut turun 13.27 mata daripada paras penutup 1,597.41 Jumaat minggu sebelumnya (20 Sept).

Sementara itu, ringgit, yang ditutup pada 4.1770 pada Isnin, mengakhiri minggu ini pada 4.1860 pada Jumaat .

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Surat Jusuf Kalla Bukti Tidak Pernah Diwawancara Berita Harian

yusufkalla

SHAH ALAM 19 JULAI : Mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam satu surat menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perolehan dana asing melancarkan perhimpunan Blackout 505.

Dalam satu surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarang akhbar Berita Harian (BH), Jusuf bertegas tidak pernah diwawancara berhubung isu berkenaan dan menyanggah berita yang diterbitkan akhbar tersebut pada 28 Jun 2013 dengan tajuk ‘Anwar dapat dana asing lancar Blackout 505’.

“Saya ingin jelaskan bahwa tidak pernah ada wawancara khas antara Azharri Siddiq dengan saya, kerana Azharri datang untuk membawa surat permintaan ketemu 8 jurnalis Malaysia yang saya tolak.

“Pertemuan tersebut (1 Jun 2013) hanya silaturrahim singkat kerana diatur seorang anggota Parlimen Indonesia.

“Apa yang ditulis sebagai interview di Berita Harian tidak realistis, karena itu Azharri sudah meminta maaf kepada saya beberapa kali,” ujar Jusuf dalam surat yang bertarikh 18 Julai 2013 yang turut diberi salinannya kepada Anwar.

Pada 16 Julai lepas, Anwar yang juga Ketua Umum PKR memutuskan untuk menyaman akhbar BH berikutan laporan fitnah yang menyatakan beliau memperolehi dana asing yang besar daripada Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk digunakan pada perhimpunan Black505.

Laporan akhbar berkenaan kononnya dipetik daripada satu wawancara khas mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.

Anwar, di Dewan Rakyat pada Selasa lalu turut memberitahu menerima panggilan dan kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada Jusuf yang kesal kenyataannya diputar belit.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menjelaskan mengapa kementerian berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan mengenai isu ini sedangkan penjelasan serta bantahan telah dibuat oleh Jusuf sendiri.

 

Categories
NASIONAL

Fitnah Dana Asing, Anwar Mahu Saman BH

anwar black505 padang merbok 02

KUALA LUMPUR 16 JULAI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan akan menyaman akhbar Berita Harian (BH) berikutan laporan fitnah yang menyatakan beliau memperolehi dana asing yang besar daripada Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk digunakan pada perhimpunan Black505.

Laporan akhbar berkenaan pada 29 Jun lalu memetik satu wawancara khas mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.

Menurut Anwar, beliau dihubungi Jusuf melalui telefon dan memberitahu tidak menyangka kenyataannya akan diputar belit sedemikian.

“Tulisan itu tak benar, tidak datang dari saya, saya akan bantah,” kata Anwar ketika membacakan kiriman pesanan ringkas (SMS) Jusuf di dalam Dewan Rakyat pagi ini.

Anwar turut mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menjelaskan mengapa kementerian berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan mengenai isu ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, Jusuf menghantar empat surat bantahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif BH, Ketua Pengarang BH, Eksekutif BH dan Ketua Pengarang Kumpulan BH dan New Strait Times.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada pembetulan dan penjelasan,” katanya lagi.

Justeru, Anwar menyatakan peguamnya dan Jusuf akan mengambil tindakan undang-undang terhadap BH yang memfitnah kedua-dua mereka.