Categories
AGENDA GLOBAL

Ubah lagu kebangsaan: Polis Indonesia tahan suspek warganegaranya

JAKARTA, 1 JAN: Polis Indonesia menahan seorang pelajar warganegara itu, yang dipercayai terbabit dalam pembikinan video lagu Indonesia Raya, yang diubah suai liriknya dan menghina negara berkenaan.

Menurut Ketua Agensi Siasatan Jenayah Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo seperti dipetik media tempatan menyatakan, suspek ditahan 8 malam tadi di sebuah rumah, di Cianjur, Jawa Barat.

“Polis menahan suspek lelaki, berinitial ‘MDF’, dan menyita satu telefon bimbit, satu SIM card dan set komputer,” katanya.

Setakat ini polis belum mendedahkan identiti lengkap suspek berkenaan. (seperti umur, asal, dan belajar di mana).

Penangkapan itu adalah hasil kerjasama siasatan kes berkenaan melibatkan Polis Indonesia dan Polis Diraja Malaysia.

Sebelum ini, sebuah video dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komen di laman Youtube My Asean, yang memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara Indonesia.

Video di Youtube berkenaan telah dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan, sehingga menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

Semalam, Bernama melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata suspek video berkenaan dilakukan oleh warga republik negara berkenaan, dan bukan dilakukan di Malaysia.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh hasil soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an, yang ditahan di Sabah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek sunting video hina lagu Indonesia Raya disyaki warga Indonesia

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Suspek utama yang menyunting lirik lagu kebangsaan Indonesia seperti tular di media sosial dan bertujuan menghina negara itu disyaki dilakukan warga republik berkenaan dan video tersebut bukan dibuat di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh hasil soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an di Sabah yang juga merupakan salah seorang suspek kes itu.

“Suspek itu ditahan di Sabah, pada Isnin lepas dan polis menemui petunjuk baharu dalam penyiasatan kes berkenaan.

“Ya, polis dapat petunjuk baharu bahawa pelakunya dikatakan berasal dari negara seberang (Indonesia) dan kami sedang menyoal siasat untuk mendapatkan maklumat lanjut pengakuannya siapa yang sunting video itu,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman.

Abdul Hamid berkata maklumat itu telah dikongsikan kepada pihak Polisi Republik Indonesia (POLRI) kerana kedua-dua pihak berkuasa negara mengambil serius tentang perbuatan berkenaan dan suspek utama akan diketahui dalam masa terdekat.

“Dalam kes terbaharu ini, ada manusia durjana yang tidak bertanggungjaawab dan bermotif jahat telah memperlekehkan lagu kebangsaan Indonesia Raya.

“Parodi ini menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia dan saya memberi jaminan bahawa satu tindakan drastik telah diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah iaitu menubuhkan satu pasukan khusus telah diterbangkan ke Sabah pada semalam untuk menjejaki pelaku-pelaku ini,” katanya.

Abdul Hamid menegaskan sebarang perbuatan atau tindakan yang mengaibkan kehormatan sesebuah negara itu merupakan kesalahan yang amat berat.

“Insya-Allah apabila tertangkapnya suspek, kita akan adili dan mendakwanya di mahkamah untuk menerima hukuman setimpalnya.

“Saya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meneruskan aktiviti terkutuk ini dan (perbuatan) yang menimbulkan perasaan sakit hati dalam kalangan rakyat negara jiran kita hentikan,” katanya.

Terdahulu, satu video dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan namun video itu sempat dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia kutuk video ubah lirik lagu hina Indonesia

JAKARTA, 28 DIS: Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi negatif yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video yang menghina Indonesia.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan malam tadi menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan sebuah video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan didakwa memperlekahkan dan menghina Indonesia.

“Sekiranya video itu didapati dimuat naik oleh warganegara Malaysia, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Satu video, dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean pada ruangan komen, memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan telah dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

-BERNAMA