Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2021: Fokus PKS industri halal tembusi pasaran eksport – HDC

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pembentangan Belanjawan 2021 perlu memberi penekanan terhadap usaha melahirkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri halal untuk mendapat pensijilan halal sekaligus menembusi pasaran eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Hairol Ariffein Sahari berkata kerajaan melalui agensi berkaitan perlu membantu PKS yang menawarkan produk serta perkhidmatan halal untuk mendapat pensijilan halal dengan mudah.

“Setakat tahun ini kira-kira 7,000 daripada 200,000 PKS sahaja yang mempunyai sijil halal. Kerajaan perlu bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Standard Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mencari penyelesaian berkaitan proses pensijilan halal dan bagaimana menjadikannya lebih mesra industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai isu yang perlu diketengahkan pada Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November, 2020.

Hairol berkata pasaran produk dan perkhidmatan halal di peringkat global adalah berjumlah US$3.1 trilion (US$1 = RM4.15) dengan Malaysia mencatat nilai eksport berjumlah US$10 bilion pada 2019.

“Jika lebih banyak lagi PKS yang mempunyai sijil halal, sudah pasti ia mampu meningkatkan lagi pasaran eksport sekaligus menjadikan mereka pemain industri yang berjaya,” katanya.

Pada tahun lepas, sebanyak RM10 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa.

Dalam pada itu, Hairol turut menekankan tentang keperluan meningkatkan keperluan modal insan dan tenaga pakar dalam industri halal dalam Belanjawan 2021.

“Hanya sekitar 20,000 individu sahaja yang terlatih dalam pengurusan industri halal dalam program berkaitan industri halal seperti bioteknologi, teknologi makanan, biomedikal. Kepakaran mereka diperlukan dalam memberi perkhidmatan untuk meningkatkan integriti halal pada rantaian bekalan yang membantu pertumbuhan ekosistem halal secara keseluruhan,” katanya.

Hairol berkata ia juga dapat memberi peluang pekerjaan yang baik kepada mereka selain berpeluang berkhidmat dengan syarikat halal yang berada di luar negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Gabungan teknologi majukan industri halal

SHAH ALAM, 1 OKT: Gabungan teknologi dalam subsektor Internet of Thing (IoT), rantaian blok (blockchain), nanoteknologi, analisis ‘Big Data’ dan teknologi mudah alih mampu mewujudkan kemungkinan baharu bagi industri halal.

Justeru, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meneroka revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang berpotensi memberi banyak manfaat kepada perkembangan industri halal.

“Ini bidang besar tetapi pada masa sama ia memberi impak daripada sudut ekonomi. Negara China, Taiwan dan Eropah sudah terokai industri halal pasaran luar dalam kalangan negara islam.

“Bukan hanya sudut pandangan dolar dan sen, tetapi dengan motivasi keuntungan itu mereka bersungguh-sungguh menyediakan agensi halal untuk mewujudkan kepercayaan pengunjung umat Islam.

“Tetapi bagi umat Islam, dua perkara perlu diutamakan bukan hanya keuntungan, tetapi ia merujuk kepada kebertanggungjawaban kita sebagai umat Islam supaya generasi kita mewarisi deoxyribonucleic acid (DNA) hasil produk halal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptamanya bertajuk Hala Tuju dan Cabaran Institusi Islam dalam Revolusi 4.0 di Konvensyen Tranformasi Pengurusan Hal Ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah, Masjid Negeri, di sini.

Hadir sama Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sejak 2012 Bahagian Pengurusan Halal (BPH) JAIS menggunapakai sistem MYeHALAL dalam pengurusan pensijilan halal.

Malah, katanya, JAIS sedang dalam proses menguji sistem MyHALAL-INGREDIENT yang dibangunkan bagi memperkasakan pemantauan ke atas pemegang Sijil Pengesahan Halal di Selangor.

“Sistem ini turut membantu Jawatankuasa Halal Dalaman Syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal (SPH) untuk menyimpan rekod dan data ramuan bahan yang digunakan dalam pemprosesan produk halal.

“Ini secara tidak langsung membantu syarikat membina rantaian blok di samping sistem jaminan halal. Dengan itu konsep “Halal build from the inside” dapat diterapkan.

“Pelanggaran kepada undang-undang dan prosedur halal juga dapat dielakkan serta integriti halal terjamin,” katanya.

Categories
NASIONAL

Semakin banyak negara mahu guna kepakaran halal Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata semakin banyak negara mencari peluang untuk mempelajari kepakaran Malaysia dalam industri halal khususnya melalui pensijilan serta ekosistem.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, Jepun, Taiwan, Chile, Kazakhstan dan Uzbekistan ialah antara negara yang melahirkan minat untuk memanfaatkan pengalaman Malaysia sebagai perintis pensijilan halal dan ekosistem industri.

“Kita telah mendahului berbanding negara Muslim yang lain,” katanya kepada Bernama, dan menurutnya hasrat tersebut akan mendorong Malaysia untuk terus maju dalam industri halal.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan kepentingan mengubah tanggapan bahawa konsep halal itu hanya melibatkan daging, sedangkan ia merangkumi keseluruhan proses pembuatan sesuatu produk.

Sehubungan itu, beliau berkata Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2019 berhasrat memperkenalkan pensijilan halal kepada produk baharu seperti lampin, tuala wanita serta sarung tangan perubatan menerusi program tahunan itu.

Wan Latiff berkata industri halal ialah satu daripada industri yang diberikan tumpuan istimewa oleh kerajaan meliputi rancangan induk industri, selain penubuhan Majlis Halal Malaysia bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif halal menerusi rancangan induk itu.

“Dengan komitmen kerajaan, kita dapat melihat bahawa industri halal di Malaysia berkembang pesat,” katanya memaklumkan setakat ini terdapat 13 piawaian halal di negara ini yang menjadi panduan bagi syarikat Malaysia berkembang maju dalam industri tersebut.

“Kira-kira 8,000 syarikat Malaysia mempunyai pensijilan halal dengan 1,700 daripadanya merupakan pengeksport,” kata Wan Latiff.

Bagi ekosistem industri, Wan Latiff berkata Malaysia telah mewujudkan sistem komprehensif termasuk pensijilan, kemudahan serta pendanaan bagi membolehkan industri berkenaan terus berkembang.

Beliau berkata industri tersebut menyasar mencecah RM50 bilion nilai eksport menjelang 2020 berbanding RM40 bilion tahun lepas menerusi komponen utama seperti makanan dan minuman (F&B), derivatif minyak sawit, bahan halal, kosmetik dan penjagaan kulit serta produk farmaseutikal dan bahan kimia perindustrian.

F&B terdiri daripada kira-kira 50 peratus daripada eksport berkenaan, katanya.

Memetik laporan Thomson Reuters, Wan Latiff berkata pengguna Muslim membelanjakan kira-kira US$2.1 trilion pada 2018 dengan US$1.3 trilion bagi F&B.

Mengulas minat Jepun dan Taiwan terhadap industri halal, beliau berkata kedua-dua negara telah menandatangani memorandum persefahaman dengan MATRADE pada tahun lepas yang antara lain membuka jalan untuk pembangunan industri halal di negara tersebut.

Katanya, Jepun berhasrat melancarkan kempen halal bagi pelancongan halal bersempena Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Wan Latiff, Jepun menerima 31 juta pengunjung pada 2018 dengan jutaan daripadanya beragama Islam termasuk 400,000 rakyat Malaysia.

“Mereka menyasar menerima 40 juta pelancong pada 2020 termasuk 1.5 juta yang beragama Islam,” katanya.

Wan Latiff berkata Taiwan turut meneroka pelancongan Islam dengan menyasar Malaysia sebagai satu daripada pasaran mereka.

Negara itu berhasrat menganjurkan ekspo ketiganya di Malaysia susulan kejayaan dua ekspo pada tahun lepas, kata beliau.

Bagi Kazakhstan, beliau menjelaskan MATRADE pula bekerjasama dengan Islamic Development Bank (IDB) dan syarikat tempatan untuk membangunkan kewangan Islam di negara itu.

“Mereka juga berhasrat menarik penggiat kewangan Islam Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan tersebut di negara berkenaan selain membantu bank tempatan untuk memahami kewangan Islam,” kata Wan Latiff. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Industri halal perlu manfaatkan Revolusi Industri 4.0

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 3 APR: Industri halal masa kini perlu menggunakan landasan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang kini sedang berkembang pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, gabungan teknologi termasuk Internet of Thing (IoT), rantaian blok (blockchain), nanoteknologi, analisis ‘Big Data’ dan teknologi mudah alih di antara sektor yang boleh diterokai bagi memantapkan industri halal.

Katanya, contohnya, melalui penggunaan aplikasi telefon mudah alih berkaitan halal banyak membantu perkembangan industri berkenaan.

“Melaluinya, pelancong mampu mencari restoran halal, masjid dan arah kiblat dengan mudah.

“Pad masa sama, pihak bertanggungjawab dalam industri halal juga boleh mengeluarkan sijil halal menggunakan teknologi blok rantaian, yang bukan hanya mengeluarkan sijil halal itu sendiri, tetapi juga menyimpan semua rekod pengeluaran dan pengedaran oleh pengeluar halal terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHas 2019) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Mujahid berkata, GHas 2019 adalah penjenamaan semula program Minggu Halal Dunia, yang menghimpunkan pemikiran dan profesional dalam industri halal dunia dianjurkan sejak 2004.

Katanya, ia adalah acara berprestij yang membolehkan industri halal dibangunkan dan menjadi penyumbang utama ke arah pembangunan satu piawaian global halal.

“Saya percaya semua perwakilan akan mendapat manfaat daripada sesi perbincangan, sesi perkongsian pengetahuan, aktiviti padanan rangkaian dan peluang perniagaan, seterusnya meningkatkan lagi industri halal dunia,” katanya.

Categories
SELANGOR

Industri Halal Selangor makin berkembang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Industri halal semakin berkembang dengan kadar menggalakkan di Selangor selepas wujudnya Halal Hub di Pulau Indah.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, hasil produk halal itu menjadikan ia sebagai sasaran industri halal di seluruh dunia.

“Apa yang lebih menggalakkan ialah hasil produk halal ini menjadikan pasaran dunia sebagai sasaran industri ini.

“Usaha berkenaan memperkukuhkan Selangor sebagai pusat industri produk terunggul di dunia,” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim kini mengetuai delegasi Selangor ke ‘Smart City Expo World Congress 2018′ (SCEWC) di Barcelona bagi mempromosikan, membincangkan dan mempamerkan teknologi pintar serta pogram inovasi sosial bandar.

Pada 2015, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Selangor Halal Hub di kawasan seluar 60 hektar di Pulau indah.

Halal Hub diwujudkan bagi memenuhi permintaan produk halal yang semakin meningkat sekali gus menjadikan Selangor sebagai pusat dagangan halal tersohor di dunia.

Sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan produk halal di rantau ini.

Selangor Halal Hub menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan industri baik dari dalam mahu pun luar negara termasuk negara bukan Islam.

Terdahulu, beliau berkata demikian bagi mengulas syarikat NH Foods Ltd dari Jepun merancang untuk mengeksport makanan beku halal yang dikeluarkan daripada kilangnya di Pulau Indah, Selangor, pada separuh kedua 2019.

Dengan kapasiti pengeluaran 1,200 tan sebulan untuk fasa pertama, fasiliti makanan beku halal itu direka bagi memenuhi keperluan bukan sahaja bagi pasaran tempatan tetapi untuk dieksport ke Timur Tengah, Singapura dan Jepun.

Syarikat itu meramalkan kilang di Pulau Indah akan mengeksport 60 peratus daripada produknya menjelang 2019.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Komited tingkat pembangunan modal insan industri halal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 SEPT: Program Halal Technical Competent Person (HTCP) yang dilancarkan oleh Halal International Selangor (HIS) membuktikan komitmen serius Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pembangunan modal insan bagi menyertai industri dan dagangan Halalan Toyyiban Antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, hal itu dapat dibuktikan menerusi program selama dua bulan kepada peserta bagi memberi kefahaman dan pengetahuan serta kemahiran.

Katanya, peserta didedahkan menerusi bidang Shariah, Sistem dan Pengurusan Halal serta Standard dan Piawaian Perdagangan Halal Antarabangsa.

“Seramai 13 peserta mengikuti program selama dua bulan ini. Peserta ini menjalani sesi pembelajaran komprehensif.

Certificate presentation by YB Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi, Joint Deputy Chairman Halal International Selangor Council - full“Mereka juga dikongsikan pengalaman yang memberikan pendedahan peserta keperluan industri Halal yang membolehkan mereka mempraktikkan dan mengekalkan jaminan Halal Toyyiban dalam sesebuah organisasi,” katanya di Majlis Penyerahan Sijil HTCP, di Hotel Saujana.

Mahmud yang juga Ahli Lembaga Pengarah HIS berkata, melalui pembangunan Hab Halal Selangor, pegawai bertanggungjawab memantau produk atau perkhidmatan berkaitan dengan halal.

“Melalui latihan HTCP ini, pegawai terbabit bertanggungjawab bagi memastikan jaminan kualiti Halal. Pegawai HTCP juga dirujuk sebagai mewakili ‘Single Community Global Markets’,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, Halal Trade Delivery Assurance (HTDA) juga merupakan satu lagi komponen HIS sebagai pusat perkhidmatan perdangangan halal yang menyelaras program akreditasi dan proses jaminan halal.

“Ianya juga berfungsi penarafan prestasi dan sistem rating bagi produk, integriti perkhidmatan, kebolehpercayaan, keselamatan serta kualiti,” katanya.

Pada masa sama, Mahmud berkata, baru-baru ini Kerajaan Negeri memberikan komitmen serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk pembangunan modal insan di bawah program
HTCP dan HTDA ini.

Katanya, inisiatif itu dijangka memberikan peluang SME terbabit bagi memasuki pasaran Halal tempatan dan global yang lebih luas.

“Akses kepada rangkaian global menjadi langkah kerjasama utama HIS dalam menyediakan perundingan perniagaan dan pembangunan sumber manusia.

“Ini termasuk mewujudkan kerjasama antara negara luar dalam membangunkan industri halal dan pelancongan mesra Muslim dengan menerapkan aspek kepercayaan, integriti, keselamatan dan jaminan pasaran dagangan halal global,” katanya.

HIS merupakan anak syarikat Central Spectrum (M) Sdn Bhd yang merupakan platform Perdagangan dan Industri Halalan Toyyiban Global membangunkan 10 program utama iaitu Hartanah, Jaminan Penyampaian, Rantaian Pengedaran, Pembangunan Pasaran, Pembangunan Kapasiti, Pembangunan Industri, Pembangunan Sumber Manusia, Lesen dan Royalti, Dana & Kewangan serta Gaya Hidup.

=EZY=