Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan: Industri hotel rugi RM5 bilion, terpaksa buang pekerja

SHAH ALAM, 16 JUN: Industri perhotelan dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan kadar huni rendah susulan sekatan pergerakan akibat pandemik.

Ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata kadar penghunian mencatat purata 21 peratus pada Januari, 17 peratus (Februari) manakala 27 peratus Mac serta April lalu yang kebanyakannya bagi keperluan kuarantin.

Katanya, kadar itu pada Mei hanya 18 peratus dan purata bagi bulan ini dijangka di bawah 15 peratus.

“Pengurangan pendapatan ini juga mengakibatkan hotel terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos dan kesannya adalah kepada pekerja.

“Dalam tinjauan MAH baru-baru ini, hampir 28 peratus hotel mengurangkan pekerja lebih daripada separuh, manakala 51 peratus melaksanakan pembuangan pekerja,” kata Yap Lip Seng seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Industri hotel rugi RM66 juta

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kira-kira 157,000 tempahan hotel bernilai RM66 juta dibatalkan sehingga Isnin lalu ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19, kata presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH)

Kamaruddin Baharin berkata pembatalan tempahan itu membabitkan warga China, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Vietnam dan Eropah, lapor BH Online.

“MAH menjangkakan trend ini akan berterusan sehingga Mac. Malah ada beberapa kumpulan pelancong juga sudah membatalkan kunjungan mereka ke negara ini pada April,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dengan Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia.

Kamaruddin berkata, bagi mengurangkan kerugian akibat pembatalan itu, MAH bersama pihak berkepentingan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk membincangkan pakej rangsangan mengurangkan impak Covid-19.

Antara cadangan diusulkan, kerajaan diminta menurunkan tarif elektrik kepada pihak hotel selain mengurangkan cukai pelancongan terutama untuk pelancong asing daripada RM10 kepada RM1 untuk setiap bilik semalam.