Categories
EXCO SELANGOR

IKS disaran ceburi CRA, kenali tahap peroleh halal

SHAH ALAM, 10 OKT: EXCO menggesa lebih ramai perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Syarikat Multinasional (MNC) di Selangor untuk terbabit dalam program Penilaian Kesediaan Sijil Halal Pertama dalam Talian (CRA).

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, CRA adalah satu sistem laman sesawang memudahkan usahawan mengetahui tahap untuk melayakkan mereka memohon sijil halal.

Katanya, sistem itu dihasilkan dari syarikat Aspire Flagship dan turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menilai tahap halal sesebuah syarikat.

“Perkembangan sistem ini berada pada integriti tertinggi manakala piawaian halal serta sistem pengurusan Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) direka untuk memenuhi permintaan juga keperluan perdagangan industri halal global.

“Malah, sistem ini juga menyediakan maklumat analisis berkualiti, tidak berat sebelah berkaitan integriti halal dan pematuhan syariah produk serta perkhidmatan sehingga ke pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelancaran Aspire Rating sempena Majlis Pameran Halal Antarabangsa di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Katanya, menerusi sistem itu ketidakfahaman berkenaan kesukaran mendapatkan pensijilan halal akan ditangani sewajarnya.

“Syarikat kini dapat mengakses sistem itu 24 jam seminggu dan menerima laporan kesediaan pensijilan apabila selesai penilaian.

“Aspire Flagship akan membantu IKS atau MNC mendapatkan sijil halal jika mereka berkelayakan dan mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri cari solusi terbaik atasi isu Taman Perindustrian Meru

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAPAR, 25 JAN: Kerajaan Negeri memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi mencari solusi terbaik menangani isu kemudahan infrastruktur dan utiliti di Taman Perindustrian Meru, di sini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, tempoh itu bersesuaian ekoran kemelut dihadapi pengusaha kilang di kawasan terbabit berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan penyelesaian pihak bertanggungjawab.

“Saya minta semua pihak bersabar, khususnya kepada pengusaha kilang ini meskipun menerima pelbagai ugutan daripada pihak tertentu.

“Walaupun masalah ini bukan ditimbulkan Kerajaan Negeri, sebaliknya berpunca daripada pemaju sebelum ini yang telah muflis seterusnya dalam proses itu menyebabkan banyak perkara tidak dapat diselesaikan serta tertangguh.

“Pekilang itu sendiri yang berurusan dengan pihak swasta dan bukan Kerajaan Negeri apabila mereka memberi tanah untuk mendirikan kilang di kawasan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan sesi taklimat dan pembentangan isu di Taman Perindustrian Meru di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Mengulas lanjut, Chan Khim berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat selanjutnya dalam tempoh sebulan bersama pihak berkaitan termasuk mencadangkan beberapa langkah sementara terhadap isu terbabit.

Katanya, inisiatif mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu sewajarnya diambil memandangkan kawasan terbabit mempunyai keluasan lebih 300 ekar yang berpotensi menjana ekonomi negeri.

“Kita akan mendapatkan semua data dan maklumat yang lengkap sebelum dibincangkan pada mesyuarat berikutnya serta membuat keputusan selepas dilihat juga dikaji sebaiknya.

“Dalam tempoh sebulan ini, tindakan perlu diambil dan sebagai langkah sementara beberapa arahan diberi khususnya soal pembersihan yang perlu disegerakan, penampal jalan perlu ditampal serta dibaiki.

“Untuk jangka masa panjang, kita mahu pastikan kilang yang sudah siap mematuhi syarat supaya boleh diberi sijil kelayakan untuk menduduki, selain membuat kutipan cukai untuk kerja penyelenggaraan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan disaran bantu IKS Bumiputra tembusi pasaran eksport

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan disaran meningkatkan usaha membantu pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) milik Bumiputra mengeksport produk masing-masing ke pasaran antarabangsa.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, antara bantuan boleh dihulurkan termasuk membabitkan isu kewangan dan teknikal.

“Sebenarnya banyak produk IKS keluaran Bumiputra berpotensi untuk dipasarkan di luar negara khasnya di negara Islam.

“Bagaimanapun, masih ramai pengusaha IKS ini yang tidak memiliki pengetahuan teknikal dan sumber modal terhad untuk melangkah ke pasaran luar negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia berkata, selain mampu meningkatkan ekonomi Bumiputra, usaha ini juga membantu kerajaan memulihkan ekonomi dan meningkatkan nilai mata wang negara.

Katanya, pengusaha IKS Bumiputra juga perlu memanfaatkan kerancakan industri e-Dagang.

Hal ini berikutan pasaran perniagaan atas talian pada hari ini semakin berkembang pesat dan mampu memberi pulangan tinggi kepada peniaga.

Categories
NASIONAL

Sertai DFTZ, usahawan IKS mampu pasar produk peringkat global

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 15 NOV: Kerajaan menggalakkan penyertaan lebih besar dari kalangan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), supaya produk keluaran mereka dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, usahawan IKS diseru merebut peluang dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi dan modal insan demi perkembangan perniagaan juga kemajuan negara di peringkat global.

“Kita perlu mengikuti perkembangan teknologi terbaharu atau mengalami risiko ketinggalan dalam industri diceburi.

“Perniagaan dalam talian menjadi satu kebiasaan kerana penggunaan teknologi digital merangkumi semua peringkat masyarakat dan perdagangan membabitkan IKS mengalami perubahan pantas menjadi sebahagian daripada ekonomi digital.

“Setakat ini terdapat kira-kira 3,300 usahawan IKS menyertai platform DFTZ sejak dilaksanakan tahun lalu dan ia satu petanda baik,” katanya dalam majlis perasmian Sidang Kemuncak TMEF SME Tech 2018 – KL Grand Finale.

Turut hadir, Pengasas dan Presiden TMEF, Ng Eng Heng serta Naib Presiden TMEF, Amy Loo.

Beliau berkata, adalah dijangka ekonomi Internet Asia Tenggara (Southeast Asia Internet) akan berkembang dari AS$50 bilion hingga AS$250 bilion dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang dan usaha kerajaan menggerakkan Koridor Raya Multimedia pada 1996 adalah tepat dengan menjadikan Malaysia maju dan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan itu.

“E-dagang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat sebanyak 6.1 peratus atau RM74.6 bilion pada 2016 berbanding 5.9 peratus atau RM68.3 bilion pada 2015.

“Ia adalah salah satu industri paling pesat berkembang di Asia Tenggara dan diramal mencatat peningkatan dari AS$10 bilion pada 2017 kepada AS$88 bilion menjelang 2025,” katanya.

Gobind berkata, sebagai sebuah negara terbabit dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia dengan kepelbagaian dimiliki, membuktikan dengan kejayaan diperoleh dalam pelbagai bidang diceburi.

Katanya, kepelbagaian itu memberikan pengetahuan unik dan praktikal juga membolehkan rakyat memajukan diri dengan selesa di arena antarabangsa.

“Rakyat Malaysia mempunyai kelebihan ini dan telah menjadi mahir dalam memahami keperluan pelanggan dari pelbagai budaya dan latar belakang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor aktifkan IKS untuk bantu usahawan pasarkan produk

daroyahSHAH ALAM 26 SEPT: Kerajaan Selangor merancang untuk mengaktifkan semula pusat pengumpulan industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh negeri bagi membantu usahawan desa memasarkan produk masing-masing.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata Belanjawan Selangor 2014 akan menumpu program pembangunan dan pemberdayaan serta mensinergi usahawan.

“Kita aktifkan pusat pengumpulan IKS dengan penjenamaan semula Bazar Darul Ehsan di setiap daerah yang dimulakan di Kuala Langat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Dr Daroyah berkata, pusat pengumpulan IKS di Kuala Langat hanya menunggu untuk diisi usahawan berikutan premis itu sudah wujud.

“Kita akan mulakan sebelum Disember ini bagi mendapatkan usahawan untuk menjadi operator secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan membantu usahawan yang baru sehingga ke peringkat yang memerlukan pemberdayaan untuk meneroka pasaran lebih luas.

“Kita akan pertingkatkan mutu produk mereka melalui program 4P iaitu pengupayaan pembungkusan produk yang usahawan perlukan.

“Kerajaan juga akan menubuhkan Pusat Usahawan Negeri Selangor (PUNS) yang diletakkan di bawah satu bumbung,” katanya.

– FZL