Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penularan influenza di sekolah terkawal

SHAH ALAM, 22 JAN: Penularan influenza A di sekolah berada dalam keadaan terkawal dengan langkah pencegahan diambil, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini hanya dua sekolah ditutup iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan di Perak (mulai 11 hingga 19 Januari) dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru di Sabah (mulai 22 hingga 28 Januari).

“Penutupan kelas pula dilaksanakan di tiga sekolah di Pulau Pinang yang setiap satunya membabitkan tempoh berlainan hasil perbincangan antara pejabat kesihatan dan pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata majoriti laporan jangkitan saluran pernafasan diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) untuk tiga minggu pertama membabitkan institusi pendidikan.

Categories
SELANGOR

Petaling Perdana catat 185 kes influenza

SHAH ALAM, 17 JAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor merekodkan 717 kes influenza A dan H1N1 di 10 daerah membabitkan 248 buah sekolah sehingga 9 pagi hari ini.

Daerah Petaling Perdana merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 185 diikuti Klang (143 kes) dan Petaling Utama 102 kes.

“Semua kes yang dilaporkan sudah menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil. Mereka diberi cuti dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Petaling Utama melibatkan kawasan di sekitar Petaling Jaya sementara Petaling Perdana meliputi sekitar Shah Alam.

Jumlah itu meningkat berbanding 548 kes membabitkan 194 sekolah yang direkodkan semalam.

JPN Selangor turut memaklumkan pejabat kesihatan daerah menjalankan langkah pencegahan di 15 sekolah di negeri ini yang dikategori ILI (Influenza like illness) dan proses itu diteruskan di 10 sekolah lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Influenza A: Jangan panik, ambil langkah pencegahan

SHAH ALAM, 16 JAN: Orang ramai dinasihatkan tidak panik dengan penyakit influenza A berikutan jangkitan itu masih terkawal di Selangor, kata EXCO kesihatan.

“Saya memberi jaminan statistik penyakit ini tidak sepatutnya menyebabkan panik dalam kalangan masyarakat,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada sidang media di SUK hari ini.

Katanya, walaupun tiada kematian direkodkan, namun masyarakat digesa membuat langkah pencegahan dengan memakai topeng muka, menjaga kebersihan diri selain mengurangkan aktiviti luar.

Setakat minggu ke tiga tahun ini, sebanyak 330 kes direkodkan dengan 237 adalah positif.

Jabatan Pendidikan Negeri pula melaporkan hanya 0.06 peratus kes disyaki influenza A membabitkan 548 kes berbanding 909,443 keseluruhan murid di Selangor.

Jumlah kes ini juga rendah berbanding minggu sama pada 2018 dan 2019.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

387 kes influenza A, tiada sekolah ditutup di Selangor

SHAH ALAM, 15 JAN: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor merekodkan 387 kes influenza A di 10 daerah melibatkan 149 sekolah di negeri ini.

Namun tiada sekolah ditutup setakat maklumat 9 pagi tadi, kata jabatan itu dalam kenyataannya hari ini.

Daerah paling tinggi ialah Klang sebanyak 127 kes daripada 42 sekolah diikuti Petaling Perdana (97 kes daripada 38 sekolah), Sepang (53 kes daripada 12 sekolah), Petaling Utama (23 kes daripada 10 sekolah).

Selain itu, Kuala Langat (17 kes daripada lapan sekolah), Gombak (28 kes daripada 16 sekolah), Hulu Selangor (16 kes daripada lima sekolah), Hulu Langat (10 kes daripada lapan sekolah), Kuala Selangor (8 kes daripada enam sekolah), Sabak Bernam (7 kes daripada tiga sekolah).

Kesemua mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

“Mereka diberi cuti dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari. Pesakit yang menerima rawatan di wad ada yang telah dibenarkan pulang,” kata jabatan berkenaan.

Bagi mencegah penularan wabak itu jabatan menyarankan:

1. Sekolah seluruh Selangor perlu mengaktifkan Bilik Rawatan (sick bay) seawal sebelum persekolahan bermula untuk pengasingan.
2. Pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) wajib menyediakan termometer untuk saringan awal.
3. Mewujudkan pasukan khas penyakit berjangkit yang terdiri daripada PIBG, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pusat Kesihatan Daerah.

4. Mengadakan sesi pendengaran awam, pendidikan kesihatan di semua sekolah dan dijadikan sebagai takwim tahunan.
5. Memasukkan slot penyakit berjangkit dalam taklimat semasa mesyuarat PIBG atau sebarang program bersama ibu bapa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan kes influenza direkodkan di Setiu

KUALA TERENGGANU, 13 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan dua kluster penyakit seperti influenza (ILI) melibatkan sembilan kes berusia lingkungan tiga hingga 38 tahun bagi tempoh 5-7 Jan lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata kedua-dua kluster tersebut berlaku di daerah Setiu melibatkan dua keluarga yang berbeza.

“Daripada sembilan orang yang dilaporkan dijangkiti influenza itu, lima kes positif influenza A, tiga kes positif influenza B manakala seorang lagi tidak dikenal pasti kerana tidak membuat ujian.

“Kesemua kes telah disahkan oleh fasiliti swasta dan kesemua mereka telah diberi rawatan tamiflu. Keadaan semua kes adalah stabil dan tidak dimasukkan ke wad hospital ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu akan terus memantau kejadian itu dan kluster ILI adalah terkawal setakat ini, menurutnya.

Sehubungan itu, orang awam dinasihat menjaga kebersihan diri dan sekiranya mengalami batuk dan bersin, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik manakala golongan berisiko dinasihat untuk mendapatkan vaksin influenza di klinik swasta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pegawai kesihatan pantau sekolah ada influenza A

KUALA SELANGOR, 12 JAN: Pegawai kesihatan daerah kini memantau keadaan di sekolah yang dikesan wujud jangkitan wabak influenza A sebagai usaha mengekang penularan wabak tersebut dalam kalangan pelajar, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kementerian turut mengingatkan pihak sekolah berkenaan supaya sentiasa membuat pemantauan berhubung jangkitan wabak itu sebagai langkah memastikan kesihatan pelajar sekolah berkenaan terjamin.

“Kita turut mengingatkan supaya pihak berkenaan di fasiliti (sekolah) mengambil langkah sepatutnya supaya penularan wabak tersebut dapat dibendung,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada 170 warga emas dalam kalangan masyarakat Cina bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Tian Hock di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata jangkitan influenza yang dikesan berlaku di beberapa sekolah termasuk di Selangor masih terkawal dan tiada arahan penutupan sekolah dibuat setakat ini akibat wabak itu.

“Masyarakat juga tidak perlu khuatir kerana bekalan ubat-ubatan untuk merawat influenza termasuk di klinik swasta mencukupi,” katanya.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hospital pakar rawat lebih 50 kes influenza minggu ini

SHAH ALAM, 11 JAN: Hospital Pakar Ampang Puteri merawat lebih 50 kes influenza minggu ini susulan penularan virus berkenaan di negara ini.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkitnya Dr Muhamad Yazli Yuhana berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Hospital mencatat lebih banyak kes berbanding tahun sebelumnya. Justeru, kami berharap masyarakat mengambil langkah pencegahan untuk melindungi diri dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menggesa masyarakat lebih peka terhadap suntikan vaksin, memastikan kebersihan tangan dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami batuk atau selsema.

Sementara itu, FMT melaporkan pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Ara Damansara dan Desa ParkCity menerima lebih banyak kes berbanding kebiasaan.

Selain itu, Hospital Assunta dan Pusat Perubatan Thomson di Petaling Jaya turut memaklumkan sudah kehabisan katil, manakala Pusat Pakar Damansara masih menunggu bekalan ubat influenza.

Tinjauan Harian Metro di beberapa klinik swasta sekitar Kuala Lumpur dan Selangor turut mendapati terdapat peningkatan berganda terhadap vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan tiada kes baharu dilaporkan di Selangor berhubung influenza A setakat ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Exco saran jaga kesihatan elak jangkitan influenza A

SHAH ALAM, 10 JAN: Orang ramai disaran menjaga kesihatan terutama ketika musim jangkitan influenza A semakin merebak di negeri ini, kata exco kesihatan kebajikan pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata walaupun penularannya masih terkawal namun langkah berjaga-jaga adalah penting terutama di kalangan ibu bapa bagi memastikan anak mereka sentiasa terkawal dan tidak terdedah dengan penyakit itu.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak kerap ke kawasan mudah terdedah contohnya di pusat membeli belah atau taman permainan.

“Masyarakat juga disaran lebihkan minum air mineral, memakai penutup muka dan hidung, menggunakan tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, perkongsian peralatan peribadi seperti tuala dengan individu lain perlu dielakkan selain mendapatkan rawatan segera jika menghadapi batuk, demam atau sakit tekak.

Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan penularan influenza A di Selangor terkawal dengan pemantauan berterusan supaya tidak merebak ke kawasan lain namun Kerajaan Negeri akan memberikan pelepasan cuti sekolah sekiranya jangkitan terus meningkat.

Semalam, SelangorKini melaporkan 21 kes influenza A dikesan di lapan sekolah seluruh Selangor sejak 1 Januari, namun tidak membabitkan penutupan sekolah.

Jumlah itu membabitkan 20 pelajar di empat daerah Petaling Utama dan masing-masing satu di Sepang, Kuala Langat, Klang serta Petaling Perdana termasuk seorang guru wanita di Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang, Kuala Langat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Jangkitan influenza A terkawal, tutup sekolah jika merebak

SHAH ALAM, 10 JAN: Penularan influenza A di Selangor terkawal dengan pemantauan berterusan supaya tidak merebak ke kawasan lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri juga akan memberikan pelepasan cuti sekolah sekiranya jangkitan terus meningkat.

“Kita sedang mendapatkan maklum balas terakhir daripada EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga (Dr Siti Mariah Mahmud) dan dimaklumkan berhubung kes di Cyberjaya.

“Jika terdapat tanda-tanda serius (penyebaran ke tempat lain), kita mungkin akan ambil keputusan menutup sekolah dan menegah penduduk supaya tidak berada di kawasan yang mudah tersebar,” katanya.

Amirudin ditemui pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Menaik Taraf Jalan B49 Persiaran Mokhtar Dahari di sini hari ini.

Semalam, SelangorKini melaporkan 21 kes influenza A dikesan di lapan sekolah seluruh Selangor sejak 1 Januari, namun tidak membabitkan penutupan sekolah.

Jumlah itu membabitkan 20 pelajar di empat daerah Petaling Utama dan masing-masing satu di Sepang, Kuala Langat, Klang serta Petaling Perdana termasuk seorang guru wanita di Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang, Kuala Langat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua kelas di sebuah sekolah di Pulau Pinang ditutup akibat influenza A

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Penularan kes jangkitan influenza di negara ini menyaksikan dua buah kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Pulau Pinang ditutup selama 12 hari bermula hari ini.

Penutupan itu susulan 19 murid di dua kelas itu dijangkiti influenza.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata murid-murid itu telah menunjukkan simptom seperti demam, batuk dan selesema sebelum pemeriksaan di klinik mendapati mereka dijangkiti influenza.

“Berdasarkan maklumat, enam daripada 19 murid itu sedang menerima rawatan di dua buah hospital swasta, manakala yang lain telah mendapatkan pemeriksaan serta rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan serta swasta. Semua mereka dalam keadaan stabil.

“Pemeriksaan oleh pasukan perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ke atas 72 lagi murid di Kelas 2 Taat dan 2 Damai itu semalam mendapati mereka tidak mengalami simptom influenza, namun mereka turut diberi cuti sehingga 19 Januari ini. Dua kelas itu akan dibuka semula pada 20 Januari,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Terdahulu Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan telah menerima laporan penutupan sekolah-sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan beberapa buah negeri lain apabila ada dalam kalangan muridnya disahkan positif influenza A.

Pihak sekolah telah diminta supaya mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan, dengan sebarang operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Di Selangor, Pengarah Pendidikan Negeri Dr Mahanom Mat Sam berkata tiada penutupan mana-mana sekolah dilakukan setakat ini berkaitan wabak Influenza A.

Katanya, hanya 10 pelajar pelbagai darjah di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya sahaja yang dikuarantin sementara di rumah masing-masing kerana dikhuatiri dijangkiti virus wabak berkenaan.

“Buat masa ini, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor belum menerima maklumat mengenai penutupan mana-mana sekolah di negeri ini berkaitan wabak Influenza A.

“Namun, pelajar yang dikhuatiri dijangkiti virus berkenaan diberi cuti kuarantin sejak Isnin lepas hingga Jumaat ini. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan terus memantau mengenai perkembangan penularan wabak berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi semakan Bernama dengan beberapa Jabatan Kesihatan Negeri seperti di Kedah, Perlis, Perak dan Sabah, tiada kes influenza A dikesan berlaku.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kementerian gesa sekolah patuhi SOP kes influenza A

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan menerima laporan penutupan sekolah di beberapa negeri, antaranya Pulau Pinang dan Selangor apabila terdapat pelajar yang disahkan positif influenza A.

Kementerian kini meneliti perkembangan terkini wabak itu di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah.

“Kementerian melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan melakukan pemantauan berterusan di sekolah-sekolah yang terlibat,” menurut KPM dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak sekolah juga telah diminta supaya mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan, dengan sebarang operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Sekolah diingatkan juga untuk memantau pelajar atau warga sekolah yang dijangkiti wabak ini. Sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, pelajar perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pengetua dan guru besar turut diingatkan untuk sentiasa mewujudkan kesedaran akan bahaya wabak itu kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.

“Kerjasama juga diharap daripada ibu bapa supaya peka terhadap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah.

“KPM memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas dan serius bagi memastikan kesihatan pelajar dan warga sekolah sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

– BERNAMA