Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kaji selidik IDE: Lebih 70 peratus rakyat tolak darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Sebanyak 77.39 peratus rakyat tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat di negara ini yang menjadi spekulasi sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) semalam menunjukkan mereka yang menolak darurat lebih cenderung memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Majoriti yang menyokong pengisytiharan darurat (22.61 peratus) adalah mereka yang turut cenderung menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai perdana menteri.

“Hanya 17.71 peratus memilih untuk pembubaran parlimen dan bersetuju Pilihan Raya Umum diadakan,” menurut kenyataan institusi itu di Facebook.

Pungutan pendapat yang dinamakan ‘Rakyat Malaysia Bersuara’ disertai 51,147 rakyat daripada pelbagai latar belakang yang dijalankan dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam tadi.

Antara soalan yang dikemukan adalah adakah mereka bersetuju pengistiharan darurat, apakah pilihan terbaik untuk rakyat sama ada Muhyiddin kekal berkuasa, Anwar dilantik sebagai perdana menteri atau bubar parlimen.

Desas-desus darurat mula diperkatakan apabila Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pada Jumaat sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sebelah petang.

Semalam, Al-Sultan Abdullah dilaporkan akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan perdana menteri.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Atasi sasaran, catat 31.6 peratus rizab hutan simpan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan 31.6 peratus dalam usaha mengekalkan rizab hutan simpan kekal dan ia berjaya melepasi sasaran ditetapkan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata Kerajaan Negeri komited dalam usaha itu bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan tanah biarpun Selangor adalah negeri paling padat dengan industri, penduduk dan termaju di Malaysia.

“Kita mempunyai dasar perlindungan hutan terbaik di negara ini di mana sejak 2009, telah melaksanakan moratorium selama 25 tahun tiada pembalakan komersial.

“Kita telah menggubal enakmen negeri yang baru bagi memastikan pendengaran awam sebelum sebarang warta keluar rizab hutan simpan kekal dilaksanakan,” katanya dalam majlis perasmian Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 di bangunan IDE, di sini, hari ini.

IDESelain perlindungan hutan, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga melaksanakan kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) bagi mewujudkan komuniti dan persekitaran lestari selain melancarkan kempen #Bebas Plastik sejak 2009 dalam usaha pemeliharaan alam sekitar juga kepelbagaian biologi.

Katanya, usaha Institut Darul Ehsan menganjurkan muzakarah membincangkan isu berkaitan alam sekitar dipuji dan sewajarnya digalakkan kerana ia mempertemukan ahli akademik, pembuat dasar dan masyarakat untuk berbicara serta berkongsi idea dalam isu berkenaan.

“Isu alam sekitar adalah isu global yang penting untuk diwacanakan.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memelihara akam sekitar tetapi usaha ini dilihat masih gagal dalam mewujudkan kesedaran dan pengurusannya yang lebih berkesan.

“Dalam isu ini, saya melihat peranan agama dan budaya perlu diangkat secara serius dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam semula jadi diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.

Elizabeth berkata, beliau percaya setiap agama sejagat tanpa mengira bangsa dan keturunan, berpegang kepada prinsip semua makhluk adalah khalifah yang mesti menunaikan tanggungjawab menyayangi segala ciptaan tuhan.

“Ini jelas menunjukkan mana-mana agama amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan menolak sebarang eksplotasi ke atasnya.

“Prinsip penjagaan alam sekitar harus ditegakkan da dilaksanakan merentasi perbezaan agama,” katanya.

Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 anjuran IDE bertema “Pembangunan Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar” menghimpunkan beberapa ahli akademik dan pihak berkaitan bagi membincangkan isu berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi IDE, Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Ahli Lembaga Pengarah IDE, Dato’ Kamarudin Jaafar dan hadirin lain.

=EZY=