Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jerebu: Miros nasihat pemandu ambil langkah lebih berhati-hati

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pemanduan dan penunggangan yang lebih berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan jalan raya ketika musim jerebu.

Ketua Pengarahnya Dr Siti Zaharah Ishak berkata, walaupun rekod daripada pangkalan data Polis Diraja Malaysia menunjukkan kemalangan lebih banyak berlaku ketika cuaca baik disebabkan sikap memandu laju, namun risiko kemalangan dalam cuaca buruk juga tidak rendah disebabkan permukaan jalan licin dan masalah penglihatan yang terhad.

Sehubungan itu, Miros telah menggariskan beberapa panduan keselamatan jalan raya bagi membantu pengguna jalan raya memandu dan menunggang dalam keadaan cuaca buruk ini.

“Dalam keadaan berjerebu ini sudah pasti menjejaskan jarak penglihatan, oleh itu pengguna jalan raya diminta memastikan semua lampu kenderaan berfungsi dengan baik dan hidupkannya bagi menambah tahap kebolehlihatan pengguna jalan raya lain.

“Elak menggunakan lampu tinggi kerana partikel air yang wujud dalam udara boleh membias serta memantulkan cahaya itu dan hanya gunakan lampu tinggi jika perlu. Sekiranya jarak penglihatan sangat terhad, nyalakan lampu kabus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kadar pencahayaan yang tinggi daripada lampu kabus ini boleh meningkatkan kadar kebolehlihatan.

Selain itu, katanya jarak penglihatan yang terhad akibat jerebu, memerlukan pemandu lebih peka terhadap persekitaran dan mereka perlu memperlahankan kelajuan berbanding tahap kelajuan yang biasa untuk memberi ruang bertindak sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.

“Ruang selamat juga boleh ditingkatkan dengan menambah jarak mengekori kenderaan di hadapan. Bergantung kepada keadaan semasa, jarak mengekori boleh berubah dari empat sehingga 12 saat. Ruang selamat ini penting bagi memastikan pemandu sempat bertindak seperti secara tiba-tiba sekiranya perlu dalam situasi kecemasan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati penunggang motosikal supaya memakai pakaian berwarna terang atau jaket pemantul cahaya serta berhenti di tempat selamat seperti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekiranya tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

Pejalan kaki pula, katanya perlu lebih peka terhadap keadaan sekeliling dan hanya melintas di tempat yang ditetapkan kerana dikhuatiri pemandu atau penunggang tidak dapat melihat mereka.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MIROS: Pengeluar motosikal disaran tumpu aspek reka bentuk

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Syarikat pengeluar motosikal digesa supaya lebih menitikberatkan aspek reka bentuk sesebuah motosikal terutama bagi model enjin berkapasiti kecil (kapchai) bagi menjamin keselamatan penggunanya di jalan raya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Suret Singh berkata, pengeluar motosikal tidak seharusnya terlalu ghairah menghasilkan rekaan motosikal yang menumpukan kepada ciri-ciri kepantasan semata-mata.

“Sudah masanya pengeluar memberi penekanan kepada rekaan motosikal yang lebih ‘solid’ untuk digunakan di samping ciri-ciri keselamatan dan teknologi yang sentiasa dipertingkatkan memandangkan statistik merekodkan lebih 4,000 penunggang kapchai maut setiap tahun.

“Tambahan pula 92 peratus daripada 15 juta motosikal berdaftar dan berlesan di negara ini terdiri daripada pengguna motosikal ‘kapcai’ iaitu di enjin di bawah 150 cc di mana rata-rata adalah golongan B40,” katanya lapor BERNAMA.

Suret berkata, MIROS menjalankan pelbagai kajian terperinci berkenaan aspek keselamatan penunggang motosikal dan hasilnya akan disampaikan kepada pihak berkepentingan dalam usaha mencari penyelesaian masalah membabitkan golongan berkenaan.

“Kita perlu persetujuan dan sokongan daripada semua agensi termasuk kerajaan. Kami juga bercadang kumpulan Safety First dilibatkan bersama dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di peringkat negeri,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

MIROS: Trend pasang dashcam satu perkembangan positif

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Trend pemasangan kamera ‘dashboard’ atau ‘dashcam’ dalam kenderaan oleh pemilik kenderaan terutama golongan muda sekarang ini adalah satu perkembangan yang positif.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak berkata, ia kerana dashcam yang mampu merekodkan pelbagai kejadian di atas jalan raya boleh dijadikan sebagai maklumat tambahan untuk mengenal pasti punca sesuatu kemalangan.

“Contohnya, apabila berlakunya satu kemalangan, pada mulanya ia dikatakan terjadi kerana kecuaian pemandu. Namun selepas siasatan dibuat melalui rakaman dashcam, kita mendapati kemalangan berlaku kerana faktor lain seperti tayar meletup sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, di sini.

Beliau berkata, pemasangan dashcam juga selari dengan usaha MIROS dan Kementerian Pengangkutan untuk menggalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat termasuk berkaitan kemalangan jalan raya.

Pada 20 Januari lalu, satu kemalangan ngeri di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang yang mengorbankan seorang penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 dipandunya dilanggar sebuah kereta lain jenis Toyota Vios, yang mana video rakaman dashcam kejadian itu tular dalam laman sosial.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun menyedari akan kebaikannya, namun kerajaan belum mempunyai cadangan untuk mewajibkan pemasangan kamera itu pada setiap kenderaan di Malaysia kerana tidak mahu membebankan rakyat.

Namun, Anthony memuji usaha pemilik kenderaan yang mengambil inisiatif sendiri memasang dashcam pada kenderaan mereka.

Dalam pada itu, Siti Zaharah berkata, dashcam juga wajar dipasang pada kenderaan keselamatan seperti ambulans, kereta peronda polis dan jentera bomba kerana ia dapat membantu melancarkan operasi pasukan penyelamat dan keselamatan.

“Ada kalanya ambulans memerlukan ruang untuk lalu di jalan raya dengan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi ia dihadang oleh kenderaan lain, melalui rakaman dashcam kita akan dapat kenal pasti pemandu yang tidak bertoleransi itu dan seterusnya membantu pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Oleh itu, katanya, walaupun tidak diwajibkan namun pemilik kenderaan digalak memasang dashcam, apatah lagi pemasangan alat itu tidak membabitkan proses yang sukar dan harganya berpatutan iaitu serendah RM40 bergantung kepada spesifikasi dashcam.

“Ianya boleh dipasang dengan mudah iaitu hanya ‘plug and play’. Tidak mengganggu sistem kenderaan pun. Fungsi asasnya adalah untuk merakam dan merekod sahaja tetapi ada juga versi dashcam terkini yang mempunyai pelbagai fungsi tambahan seperti boleh merakam kemalangan yang berlaku pada waktu malam dengan jelas dan paparan yang luas. Ada juga dashcam yang mempunyai sistem amaran pelanggaran hadapan,” katanya.

Seorang penjawat awam, Syed Iylia Hariz Syed Izman, 31, berkata, beliau telah memasang dashcam pada keretanya sejak dua tahun lalu ekoran pelbagai kejadian penipuan kemalangan dan langgar lari yang sering tular dalam media sosial.

“Dashcam bagi saya amat penting terutama apabila isteri saya yang memandu kereta saya bersendirian supaya dia dapat mempertahankan diri dan tidak menjadi mangsa buli sekiranya berlaku sesuatu pelanggaran,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Rizuwan Zaini, 30, menasihati mereka yang ingin memasang dashcam supaya ‘jangan berkira’ untuk membeli dashcam yang mempunyai kualiti rakaman yang tinggi.

Beliau berkata, dashcam yang dipasangnya sejak 2016 dengan harga RM400 itu mempunyai kamera hadapan dan belakang serta boleh merakam pada waktu malam dengan jelas.

“Pemasangannya pun sekejap sahaja. Tidak sampai dua jam. Jadi tidak salah kita peruntukan sedikit duit dan masa untuk memasang dashcam kerana alat itu mungkin akan sangat membantu kita satu hari nanti,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengenalan kurikulum baharu keselamatan jalan raya tepat

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Langkah kerajaan memperkenalkan kurikulum baharu pendidikan berkaitan keselamatan jalan raya adalah keputusan tepat dalam usaha membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, nilai murni seperti menghormati undang-undang, memandu secara berhemah dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu disemai di peringkat sekolah.

Beliau percaya sekiranya kanak-kanak dididik sejak kecil untuk berpegang pada nilai murni, mereka tidak akan tergamak melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.

“Langkah Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan kurikulum terbabit sebagai sebahagian sukatan pelajaran amat dialu-alukan dan perlu disokong semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kurikulum baharu pendidikan yang bakal menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai sebahagian sukatan pelajaran, akan dilancarkan Februari ini bertujuan memupuk pemikiran rakyat membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Mengulas lanjut, Lee berkata, usaha memupuk kesedaran keselamatan jalan raya amat penting kerana kes kemalangan jalan raya masih menunjukkan peningkatan bagi tempoh sembilan tahun daripada 370,000 kes pada 2008 kepada 530,000 kes pada 2017.

“Terdapat juga kes pemandu memandu di bawah pengaruh dadah yang adalah antara faktor utama kemalangan maut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penurunan sebanyak 456 kes kematian pada tahun lalu berbanding 6,740 kematian bagi tahun sebelumnya.