Categories
AGENDA NASIONAL

Kenderaan barangan dibenar berada di jalan raya semasa Aidilfitri

PUTRAJAYA, 21 MEI: Tiada larangan untuk kenderaan barangan berada di jalan raya semasa perayaan Aidilfitri 2020, demikian menurut Kementerian Pengangkutan hari ini.

Ini kerana negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan peraturan sedia ada dalam tempoh PKPB itu telah mengambil kira serta merangkumi kesemua faktor termasuk keselamatan dan ekonomi, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Malaysia lazimnya mengenakan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada berada di jalan raya bagi beberapa hari yang ditetapkan sempena perayaan Aidilfitri.

Ia bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya bagi pengguna yang ingin pulang ke kampung serta mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Pergerakan kenderaan barangan dalam tempoh PKPB ini perlulah mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan,” menurut kementerian itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat dinasihat dapat kebenaran polis sebelum rentas negeri

PUTRAJAYA, 27 APRIL: Orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam untuk tujuan perjalanan rentas negeri diingat supaya mendapat kebenaran atau permit perjalanan daripada polis.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran di balai polis berdekatan terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan bagi mengelakkan kerugian,” menurut Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan di sini hari ini.

Kementerian mengambil maklum mengenai pergerakan orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan termasuk perjalanan rentas negeri apabila syarikat penerbangan kembali membuka operasi untuk penerbangan domestik.

Pada masa sama, katanya, sebagaimana kenyataan media polis semalam, orang ramai dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab-sebab sahih yang ditetapkan.

Kementerian turut menyarankan orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam supaya sentiasa mematuhi garis panduan pencegahan wabak Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MH370: Kementerian Pengangkutan jumpa PM bincang pampasan kepada waris

PUTRAJAYA, 8 MAC: Kementerian Pengangkutan dijangka bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu hadapan bagi membentangkan kertas Kabinet berkaitan pampasan kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Ketua Setiausahanya Datuk Isham Ishak berkata pampasan itu adalah sebagai penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman waris mangsa terhadap kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan.

“Saya telah mengemukakan permintaan untuk bertemu Perdana Menteri minggu hadapan supaya dapat membentangkan kertas yang telah disediakan sebelum pembubaran kerajaan baru-baru ini.

“Kami sepatutnya mendapatkan sokongan ini untuk ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang. Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapat sokongan yang anda inginkan sejak enam tahun lepas,” katanya pada majlis ulang tahun keenam memperingati kehilangan MH370 di sini semalam.

Isham berkata, kementerian juga akan terus berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan baharu bagi meneruskan misi pencarian MH370 yang telah dihentikan sebelum ini.

“Saya tahu terdapat banyak harapan dan saya dapat rasakan, siapa lagi yang anda harapkan selain daripada kerajaan Malaysia,” katanya.

Majlis yang dihadiri waris mangsa insiden MH370 dari seluruh negara itu turut disertai bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata beliau sepatutnya dijadualkan membentangkan kertas Kabinet berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada 26 Februari lepas namun hasrat itu tidak kesampaian susulan kemelut politik ketika itu.

“Memorandum itu amat penting kerana melaluinya, kita sudah mendapat persetujuan daripada peguam waris mangsa untuk penyelesaian membabitkan kes saman di luar mahkamah dengan memberikan pampasan kepada mereka,” katanya.

Loke berkata, beliau akan menemui menteri pengangkutan yang baharu selepas pembentukan Kabinet bagi memohon supaya misi pencarian pesawat malang itu digerakkan semula.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemandu mabuk berdepan hukuman penjara 20 tahun

PUTRAJAYA, 13 FEB: Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadangkan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang membuat kesalahan tersebut.

“Saya serahkan kepada MOT untuk ambil langkah menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Mereka yang cuai atau mabuk kenalah ambil tanggungjawab dan pastikan diberi hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), di sini hari ini.

Pada 29 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.

Loke dilaporkan berkata ia melibatkan pindaan tiga seksyen di bawah APJ 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45.

Pada masa ini, pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Ditanya mengenai cadangan pihak tertentu supaya pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan maut didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat, Liew berkata, kesalahan jalan raya adalah tertakluk di bawah APJ 1987.

Menurutnya, ia terpulang kepada budi bicara mahkamah selepas meneliti hujahan pihak pendakwa raya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ambil langkah tidak popular demi keselamatan rakyat

Oleh Norshazlina Nor Azman & Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan penyediaan sistem pengangkutan awam, serta tidak ketinggalan tumpuan kepada aspek keselamatan di jalan raya sentiasa menjadi antara nadi dan tonggak Kementerian Pengangkutan dalam merencanakan agenda mensejahterakan rakyat.

Meskipun adakalanya usaha penambahbaikan dan perubahan yang diperkenalkan sejak peralihan kuasa kerajaan dilihat sebagai bukan pendekatan popular, namun kementerian itu enggan menoleh ke belakang dan bertekad mahu terus memampankan aspek keselamatan serta pengangkutan negara.

Memberi contoh kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan tetap dengan pendirian untuk mewajibkan penggunaannya di dalam kereta persendirian bermula Januari depan meskipun mendapat pelbagai tentangan dan reaksi negatif yang tidak bersetuju akan undang-undang tersebut.

Tegasnya, kerajaan tidak pernah berniat untuk menyusahkan atau membebankan ibu bapa, namun pengenalan langkah itu amat diperlukan bagi memberi kesedaran kepentingan melindungi nyawa anak-anak memandangkan terdapat banyak kemalangan yang menyaksikan mereka maut akibat kegagalan menggunakan CRS.

“Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pengangkutan dan keselamatan jalan raya, saya perlu ambil tindakan ini walaupun dikritik mengambil tindakan tidak popular dan sebagainya, tetapi untuk jangka masa panjang, saya yakin ini adalah langkah terbaik untuk keselamatan rakyat.

“Kami tahu banyak suara yang membantah dan mengadu kerana ia akan menambah beban, kos CRS mahal, menyusahkan dan sebagainya… kami tahu maklum balas itu akan berlaku kerana jika dilihat balik apa sahaja langkah keselamatan yang diperkenalkan sebelum ini mengambil masa untuk rakyat menerima dan menyesuaikan diri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Loke berkata umpama pemakaian tali pinggang keledar dan juga topi keledar yang diwajibkan pada tahun 70-an, yang mana mulanya orang ramai membantah penguatkuasaannya tetapi kini kedua-dua peraturan itu menjadi norma dan tidak dipertikaikan kepentingannya.

“Pada zaman itu kereta tidak mempunyai tali pinggang keledar dan apabila diperkenalkan sudah tentu orang membantah… begitu juga topi keledar yang mana pemakaiannya di Malaysia kini sudah mencapai tahap pematuhan yang amat tinggi berbanding negara-negara di rantau ini… jadi kita faham apa sahaja langkah yang diperkenalkan pastinya pada permulaan akan ada bantahan,” katanya.

Beliau berkata meskipun penggunaan CRS itu diwajibkan bermula 1 Jan depan namun tiada saman atau tindakan keras akan dikenakan untuk enam bulan pertama bagi mendidik dan membiasakan rakyat dengan peraturan tersebut.

“Seringkali saya ulang bahawa tujuan saya bukan untuk dapatkan duit saman daripada rakyat, bukan untuk susahkan orang tetapi fokus utama adalah kita mahu rakyat tahu CRS adalah keperluan untuk keselamatan, maka sebab itu pendekatan ‘soft landing’ diambil untuk fasa pertama iaitu fasa pendidikan atau advokasi sebelum fasa penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan orang ramai, Loke berkata beliau percaya ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan penawaran yang tinggi dalam pasaran selepas undang-undang itu digazetkan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan bersikap lepas tangan dan akan terus memantau harga CRS di pasaran, selain kementerian itu telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak mengenakan duti eksesais terhadap CRS supaya harga produk berkenaan dapat dikurangkan.

Dalam bergerak ke hadapan pastinya keselamatan jalan raya bukan satu-satunya perkara yang menjadi fokus utama, malah kementerian itu memasang harapan untuk terus menyediakan dan menambahbaik mobiliti yang lebih efisien kepada rakyat secara berterusan, dari darat hinggalah ke udara, sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030.

“Kita adalah the ‘movement of goods and people,’ bukan sahaja menyediakan pengangkutan untuk rakyat tetapi dalam masa sama kita kena lihat sejauh mana keberkesanan pengangkutan barangan kerana ia melibatkan sektor logistik daripada pelabuhan, lapangan terbang dan pengangkutan darat.

“Semua itu merupakan ekosistem yang besar, maka kita harap dapat menyediakan satu persekitaran yang memudah carakan pergerakan barangan… kalau kita dapat melaksanakan itu dengan lebih efisien maka kos pengangkutan untuk barangan akan jadi lebih rendah dan akan diterjemahkan kepada penurunan kos barangan yang berhubung kait dengan kos sara hidup,” katanya.

Dalam menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pula, pas perjalanan My100 yang memberikan akses tanpa had untuk semua perkhidmatan di Lembah Klang yang disediakan oleh Rapid KL daripada monorel, LRT, MRT, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, bas perantara MRT dan semua bas ganti-ganti Rapid KL, telah diperkenalkan awal tahun ini.

Loke berkata pas eksklusif bulanan untuk warga tempatan itu merupakan inisiatif kerajaan yang dapat meringankan kos sara hidup dan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

“Kita mahu rakyat hidup lebih selesa, mudah dan ada masa lebih dengan keluarga…. dalam masa sama kita akan terus memberi penekanan terhadap penyediaan infra dan pelbagai projek pembangunan pengangkutan terutamanya di bandar-bandar besar selain di Lembah Klang supaya prasarana itu dapat terus dibangunkan secara berfasa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hala tuju untuk tahun 2020 yang bakal menghampiri dalam hanya beberapa hari sahaja lagi, Loke berkata, “Banyak rancangan dan inisiatif yang hendak kita laksanakan… kita mahu terus tambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berurusan dengan rakyat setiap hari.”

Katanya, transformasi perlu dilakukan bagi mendigitalkan perkhidmatan awam yang berkaitan supaya servis mereka dapat ditawarkan melalui ‘online’ agar dapat mengurangkan masalah pengguna yang terpaksa menunggu lama akibat ramai orang berurusan di kaunter, selain dapat mengurangkan penggunaan kertas yang dilakukan secara manual.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa dirinya masih belum berpuas hati dengan segala perubahan dan penambahbaikan yang diperkenalkan serta mahu melihat lebih banyak lagi perubahan positif dilaksanakan sekali gus memperbaiki kelemahan dan kelompangan yang masih wujud dalam sektor tersebut.

“Kita tidak boleh berpuas hati lagi kerana proses menambah baik dalam menyediakan persekitaran dan perkhidmatan yang baik untuk rakyat itu adalah berterusan… kita tahu ada kelemahan-kelemahan yang punya ruang untuk diperbaiki dan kita mahu rakyat sendiri merasai dan berpuas hati dengan semua penambahbaikan termasuklah sistem pengangkutan yang efisien dan murah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengenalan kurikulum baharu keselamatan jalan raya tepat

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Langkah kerajaan memperkenalkan kurikulum baharu pendidikan berkaitan keselamatan jalan raya adalah keputusan tepat dalam usaha membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, nilai murni seperti menghormati undang-undang, memandu secara berhemah dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu disemai di peringkat sekolah.

Beliau percaya sekiranya kanak-kanak dididik sejak kecil untuk berpegang pada nilai murni, mereka tidak akan tergamak melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.

“Langkah Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan kurikulum terbabit sebagai sebahagian sukatan pelajaran amat dialu-alukan dan perlu disokong semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kurikulum baharu pendidikan yang bakal menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai sebahagian sukatan pelajaran, akan dilancarkan Februari ini bertujuan memupuk pemikiran rakyat membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Mengulas lanjut, Lee berkata, usaha memupuk kesedaran keselamatan jalan raya amat penting kerana kes kemalangan jalan raya masih menunjukkan peningkatan bagi tempoh sembilan tahun daripada 370,000 kes pada 2008 kepada 530,000 kes pada 2017.

“Terdapat juga kes pemandu memandu di bawah pengaruh dadah yang adalah antara faktor utama kemalangan maut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penurunan sebanyak 456 kes kematian pada tahun lalu berbanding 6,740 kematian bagi tahun sebelumnya.

Categories
NASIONAL

Kementerian Pengangkutan serius tangani isu beg udara Takata

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kementerian Pengangkutan memandang serius isu beg udara Takata dan akan menghantar surat peringatan kepada pemilik kenderaan berkaitan bagi tujuan penukarannya.

Jurucakapnya berkata, kementerian berasa dukacita dengan reaksi orang ramai tidak memandang serius inisiatif diambil dalam usaha mencegah daripada kejadian maut beg udara Takata berulang kembali.

“Dari 26 Jun hingga 4 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghantar 408,551 pucuk surat peringatan kepada semua pemilik kenderaan berkaitan dan sepanjang tempoh surat peringatan sehingga ke hari ini, sebanyak 70,853 bilangan kenderaan dihantar ke bengkel syarikat pengeluar dan selesai urusan penukaran beg udara.

“Ini menunjukkan peratus orang ramai mengambil tindakan terhadap surat peringatan ini adalah sebanyak 17.43 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, pihak industri automotif terbabit dikehendaki mewujudkan Pelan Komprehensif Panggilan Semula Dan Stok Beg Udara.

“Pengeluar perlu meningkatkan keupayaan Pusat Servis dan penyediaan stok untuk memudahkan pemilik kenderaan memerlukan penukaran beg udara.

“Pihak industri juga dikehendaki untuk mewujudkan pelan promosi lebih efisien di mana syarikat pengeluar perlu memastikan komunikasi serta maklumat mengenai usaha ini sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, JPJ akan meneruskan ‘task force’ selama dua bulan lagi dengan membuat pemantauan terhadap status panggilan semula dan kesediaan stok.

“Bagi melancarkan tindakan gerak kerja ini, pengeluar dikehendaki menyediakan stok mencukupi dalam tempoh dua dan Honda bersetuju akan menghantar peringatan akhir kepada pelanggannya dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kementerian Pengangkutan mahu pemegang lesen terbang serah lesen

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Kementerian Pengangkutan mahu mana-mana pemegang lesen terbang di negara ini tampil dan menyerahkan lesen mereka kepada Unit Integriti, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dalam tempoh sebulan.

Ia susulan pendedahan kira-kira 14,000 lesen terbang dikeluarkan sejak dua tahun lalu oleh sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan memproses maklumat pemohon menggunakan Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara sedangkan pemohon terbabit tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak memiliki lesen memandu di luar negara.

“Kita mahu mereka tampil secara sukarela dan tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka. Bagaimanapun, selepas tempoh itu, mana-mana pihak yang didapati memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan akan dipanggil temu siasat mengikut Seksyen 114, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu hukuman minimum denda RM5,000 atau penjara atau kedua-dua sekali,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anthony berkata, kementeriannya sudah mengambil tindakan tahan kerja terhadap 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Lesen memandu luar negara yang sering digunakan sindiket ini untuk prosedur penukaran adalah dari China, Singapura, Brunei dan Jepun.

“Mereka (sindiket) juga mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,500 bagi setiap lesen.

“Tangkapan ini membabitkan pegawai dan anggota di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan ketika ini serius membanteras kes rasuah dan salah guna kuasa dalam agensi kerajaan.

Katanya, walaupun kakitangan itu belum ditahan tetapi kementerian itu boleh menahan kerja mereka.

“Aktiviti tidak bermoral ini memberi kesan negatif kepada negara termasuk dari segi ekonomi iaitu ketirisan hasil negara dan institut memandu tidak dapat menjana hasil.

“Bagi lesen Kelas B, ketirisan hasil negara adalah RM83 bagi setiap pemohon lesen manakala bagi kelas D adalah RM113 bagi setiap pemohon lesen.

“Untuk institut memandu pula, mereka tidak dapat menjana hasil iaitu lesen kelas B sebanyak RM709 bagi setiap pemohon lesen dan lesen kelas D adalah RM1,007 bagi setiap pemegang lesen,” katanya.

Categories
NASIONAL

Putrajaya diminta hebah peraturan baru cermin gelap kenderaan

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 OKT: Pengamal undang-undang, Zulhazmi Shariff meminta Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai atau Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad menghebahkan kandungan peraturan baru cermin gelap kenderaan yang akan dikuatkuasakan 1 November nanti.

Hal ini kerana para pengguna dan pemain industri harus diberikan ruang masa dan maklumat terperinci berkaitan peraturan baru tersebut sebelum dilaksanakan.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa sehingga hari ini setelah Ketua Pengarah JPJ menyatakan bahawa JPJ akan mula melaksanakan peraturan baru tersebut, tiada sebarang hebahan atau siaran kepada awam apakah isi peraturan baru tersebut.

“Harus diambil perhatian bahawa setiap peraturan yang hendak dilaksanakan atau dikuatkuasakan mestilah diwartakan.

“Kegagalan mewartakan peraturan akan menyebabkan peraturan tersebut tidak sah dan melanggar undang-undang negara malah akan memberi kesan yang teruk kepada para pengguna dan pemain industri,” katanya.

Hasil carian di Portal Rasmi E-Warta Persekutuan (http://www.federalgazette.agc.gov.my/) mendapati tiada sebarang maklumat tentang pewartaan peraturan baru tersebut.

Jelasnya, kenyataan yang menyebut berhubung peraturan membenarkan kadar ketelusan cahaya bagi cermin depan ialah 70 peratus, 50 peratus cermin sisi pemandu, 30 peratus cermin sisi penumpang belakang dan 30 peratus cermin belakang disifatkan tidak lengkap dan tidak jelas.

“Kalau mahu kuatkuasa peraturan baru, perlu siarkan dan hebahkan keseluruhan peraturan baru untuk dilihat & diteliti oleh masyarakat. Bukan setakat sebut sebaris saja,” ujarnya lagi.

Difahamkan, peraturan baru ini adalah hasil Bengkel Kajian Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang telah diadakan selama dua (2) hari di Hotel Holiday Inn Glenmarie Subang pada 2 dan 3 Jun 2014 yang lalu.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah perlaksanaan dan penguatkuasaan juga dikaji semula dan diselaraskan di antara semua agensi penguatkuasa iaitu JPJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menyentuh soal hukuman kepada pesalah yang melibatkan hukuman penjara beliau menyarankan supaya ia dimansuhkan bahkan meminda hukuman lama kerana kesalahan menggunakan cermin gelap bukan kesalahan jenayah berat.

Mengikut peraturan sedia ada, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 iaitu kompaun maksima RM300.

Jika didapati bersalah di mahkamah boleh dihukum dengan denda tidak melebih RM500 atau penjara tidak melebihi dua (2) minggu bagi kesalahan pertama manakala denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi sebulan bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

HM