Categories
AGENDA NASIONAL

Jajaran baharu ECRL jimat kos, lindungi permatang kuarza Selangor

SHAH ALAM, 6 JULAI: Jajaran baharu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diputuskan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini bukan sahaja menjimatkan kos malah mampu menyelamatkan Permatang Kuarza Genting Klang di Gombak, Selangor.

Anthony Loke Siew Fook berkata pengurangan kos sehingga RM21.5 bilion dapat dilakukan setelah PAKATAN memutuskan untuk tidak membina terowong sepanjang 18 kilometer di Banjaran Titiwangsa merentasi Genting Highlands ke Gombak.

“Keputusan itu sekali gus menyelamatkan Permatang Kuartza Genting Klang yang bakal musnah sekiranya terowong dibina. Kawasan tersebut merupakan khazanah semula jadi negara yang akan diiktiraf UNESCO,” kata bekas menteri pengangkutan dalam kenyataan hari ini.

Ahli parlimen Seremban turut menyeru lebih banyak pihak menyatakan pendirian supaya ia dapat diteruskan kerana turut memberi tempias pembangunan kepada daerah kurang membangun.

“Jajaran baharu yang melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor boleh memberikan kesan pembangunan kepada kawasan berkaitan dan ia juga dijangka terus sampai ke Pelabuhan Westport juga melalui kawasan Pulau Carey.

“Dengan adanya laluan keretapi di sana, ia bakal menyumbang kepada pembangunan strategik di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita perniagaan yang menyebut Putrajaya sedang membincangkan kemungkinan mengembalikan jajaran projek ECRL sama seperti dirancang kerajaan Barisan Nasional.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Kerajaan belum cadang sekat kemasukan kapal persiaran

Koronavirus: Kerajaan belum cadang sekat kemasukan kapal persiaran

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Kementerian Pengangkutan belum berhasrat menyekat kemasukan kapal persiaran yang berlabuh di negara ini berikutan penularan koronavirus 2019.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan sekatan itu hanya akan dibuat selepas mendapat saranan daripada Kementerian Kesihatan berdasarkan bukti tertentu.

“Kita hanya sekat kepada warganegara China dari wilayah Hubei atau pun mana-mana wilayah yang diisytiharkan oleh kerajaan China sebagai sekatan pergerakan keluar masuk (lock down).’

“Kalau ada mana-mana wilayah yang telah diisytiharkan ada curfew atau lockdown oleh kerajaan China, maka kita akan menyekat kemasukan warganegara China daripada wilayah tersebut,” katanya selepas merasmikan Perkhidmatan Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap mengambil semua langkah pencegahan termasuk memeriksa suhu badan dan tahap kesihatan pelancong di pintu masuk negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Operator pengangkutan awam diminta tingkat kebersihan

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Pengangkutan mengarahkan kesemua operator pengangkutan awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap kebersihan bagi mencegah penularan koronavirus 2019, kata menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Dalam mesyuarat pasca Kabinet di sini semalam, beliau berkata semua agensi di bawah kementeriannya diarahkan untuk menyediakan cecair pembasmi kuman tangan selain memastikan kebersihan tempat pengangkutan awam sentiasa terjaga.

“Semua pihak ada tanggungjawab dalam mencegah koronavirus. Setakat ini Kementerian Pengangkutan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Tahun Baharu Cina dan perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Loke berkata terminal pengangkutan awam yang dikendalikan pihak swasta juga disarankan mengambil langkah sama seperti di lapangan terbang.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 14 kes positif koronavirus membabitkan 10 warganegara China dan empat rakyat tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belum ada keputusan sekat penerbangan dari China

SEREMBAN, 31 JAN: Tiada keputusan setakat ini dibuat bagi menyekat penerbangan dari China ke Malaysia di sebalik langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar darurat kesihatan global pada Khamis berhubung jangkitan koronavirus 2019.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu dibuat secara bersama oleh Kabinet termasuk mengambil kira arahan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini kita belum sekat mana-mana penerbangan dari China. Apa dilaksanakan di Sabah ialah warganegara China yang terbang dari China tidak dibenarkan masuk ke Sabah, itu keputusan kabinet Sabah.

“Tetapi bagi kerajaan Persekutuan, (sekatan penerbangan di) pintu-pintu masuk lain perlu dibuat bersama oleh Kabinet dan setakat ini belum ada keputusan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini hari ini.

Ditanya sama ada langkah untuk menyekat penerbangan dari China akan dipertimbang kerajaan, Loke berkata pelbagai implikasi harus dilihat terlebih dahulu.

“Implikasi banyak, kita tidak boleh dengan mudah sekat penerbangan dari China sebab kita ada juga warganegara Malaysia di China dan warga China juga ada ramai di Malaysia. Kalau sekat (penerbangan) mereka akan terkandas di sini.

“Setakat ini pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memeriksa tahap kesihatan penumpang dari China. Tetapi kita juga akan pantau secara dekat untuk lihat perkembangan setiap hari,” kata Loke.

WHO mengisytiharkan darurat kesihatan global berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan virus itu, selepas mesyuarat jawatankuasa kecemasan badan itu yang berlangsung di Geneva.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew semalam pula mengumumkan kerajaan negeri mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan dicarter dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata 13 pekerja ECRL yang merupakan warga China dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan pulang ke Malaysia buat sementara waktu.

Katanya, cuti khas diberikan kepada pekerja warga China itu selepas mereka pulang ke Wuhan untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan koronavirus yang berlaku di Wuhan, China… Kita minta mereka tangguhkan perjalanan dahulu, dan kita berikan mereka cuti khas sehingga keadaan ini (kes koronavirus) reda.

“Bagaimanapun kerja-kerja tidak terjejas, ia berjalan seperti biasa kerana kebanyakan kerja awal sudah pun dilakukan oleh pekerja tempatan sedia ada,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terminal bas bakal laksana sistem beli tiket tanpa tunai

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Kementerian Pengangkutan berusaha untuk memastikan semua terminal pengangkutan bas awam di seluruh negara melaksanakan sistem pembelian tiket menggunakan e-dompet, sekali gus menyokong agenda masyarakat tanpa tunai.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat terminal yang masih belum melaksanakan sistem pembelian tiket secara berpusat (CTS).

“Kalau boleh kita mahu semua (terminal guna sistem tanpa tunai) tetapi kita kena lihat juga kepada kemudahan yang ada dan keadaan di terminal, jadi yang belum ada kemudahan CTS mungkin sukar untuk kita bagi satu tempoh masa,” katanya pada sidang media selepas meninjau penumpang yang pulang ke kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.

Loke berkata untuk syarikat bas terutama bas henti-henti yang mendapat subsidi daripada kerajaan, mereka disyarat melaksanakan sistem pembelian tiket tanpa tunai dan akan dilaksanakan berperingkat.

Beliau juga yakin syarikat bas ekspres yang melalui destinasi utama turut dapat melaksanakan usaha tanpa tunai memandangkan beberapa terminal bas utama di negara sudah mengamalkan sistem berkenaan.

Ketika ini, antara terminal yang mengamalkan pembelian tiket tanpa tunai adalah Terminal Amanjaya di Ipoh, Perak serta TBS yang melancarkan sistem pembelian menggunakan e-dompet hari ini.

TBS menggunakan tiga pengendali platform e-dompet iaitu Boost, Touch ‘n Go dan GCash.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dipantau

BENTONG, 22 JAN: Tahap kesedaran penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) akan dipantau pihak berkuasa sepanjang operasi keselamatan jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun tiada tindakan kompaun dikenakan sejak undang-undang itu berkuatkuasa pada 1 Januari pengguna jalan raya perlu diberikan kesedaran mengenai kepentingan CRS.

“Pemantauan akan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kerana kita mahu meningkatkan kesedaran.

“Dasar penggunaan CRS hanya akan menjadi efektif, jika pengguna jalan raya mempunyai kesedaran sendiri,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Sambutan Tahun Baru Cina Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Hentian Bentong arah Barat di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Loke berkata tindakan menguatkuasakan penggunaan CRS pada kenderaan persedirian terpaksa dilakukan bagi memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak ekoran statistik kematian golongan itu yang membimbangkan.

“Sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017. Sokongan daripada pihak swasta dan media amat penting, dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar penggunaan CRS dengan berkesan,” katanya.

Pada perkembangan lain, Loke berkata beliau mengalu-alukan maklum balas pelbagai pihak, berhubung pemeriksaan awam Jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau Seksyen C yang dipaparkan sejak 14 Jan lalu, kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Sementara itu, Nik Fauzi berharap pengguna merujuk jadual cadangan waktu perjalanan kerana dijangkakan purata trafik harian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT 1 akan meningkat sebanyak 60 peratus sempena musim cuti Tahun Baru Cina iaitu kira-kira 250,000 kenderaan berbanding 156,000 pada hari biasa.

“Kami memastikan semua aset berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan peningkatan ini, termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan trafik dari udara selain meningkatkan rondaan serta penugasan lebih 550 kakitangan bahagian tol dan trafik,” katanya.

Nik Fauzi berkata Anih Berhad menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna kenderaan persendirian atau kelas 1 bagi pada 25 Januari ini di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT 1 bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam.

Pada majlis itu, Anih Berhad turut melancarkan kempen keselamatan jalan raya bagi menggalakkan pengguna jalan raya memakai tali pinggang keledar dan berehat setiap dua jam selepas memandu, dengan tema hashtag #PasangSokmo dan #MohSinggah sempena musim cuti Tahun Baru Cina.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan galak pembayaran tanpa tunai di hentian rehat dan rawat

KUALA KELAWANG, 21 JAN: Kementerian Pengangkutan menggalakkan pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam sistem pengangkutan awam dan di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) di seluruh negara.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata ia bertujuan memodenkan sistem pengangkutan awam, di samping memberi dorongan kepada masyarakat untuk lebih bersedia ke arah sistem ekonomi digital.

“Di peringkat kementerian kita memang alu-alukan penggunaan pembayaran tanpa tunai ini dan saya rasa penggunaan e-dompet ada potensi yang sangat besar, ia perlu diperluaskan ke pelbagai bidang termasuk di R&R dan sistem pengangkutan awam khususnya bas henti-henti.

“Kita mahu modenkan sistem pengangkutan awam, sekali gus melicinkan perjalanan bas, selama ini bas henti-henti memang kita tahu guna duit syiling atau wang kertas dan kadang-kadang tidak begitu efisien sehingga menyukarkan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Dewan Orang Ramai Titi di sini, semalam.

Turut hadir Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad.

Loke yang juga ahli parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah berkata beliau meminta pengusaha pengangkutan awam melaksanakan sistem tanpa tunai untuk kebaikan dan kemudahan orang ramai.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa data peribadi mereka dilindungi.

“Saya rasa kerajaan sudah berikan pelbagai penjelasan dan jaminan bahawa tiada isu penyalahgunaan data peribadi dan pendaftaran e-dompet hanya mengambil maklumat asas sahaja sama seperti penggunaan aplikasi lain.

“Tambahan, kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan mana-mana pihak yang mendapati terdapatnya penyalahgunaan data peribadi mereka, laporan polis boleh dibuat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerusi keselamatan kanak-kanak: Penguatkuasaan selepas enam bulan

SEREMBAN, 14 DIS: Tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam setiap kereta persendirian hanya akan dibuat selepas tempoh enam bulan perlaksanaannya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menegaskan perkara itu, beliau berkata, peraturan berkenaan berkuat kuasa 1 Januari hadapan dan tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar selepas tamat tempoh enam bulan pertama yang diperuntukkan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam aspek keselamatan.

“Saya tak nak selalu fokus peringkat saman. Enam bulan kita kata tak ada apa-apa tindakan saman dikenakan tetapi selepas itu sudah tentunya kalau undang-undang itu tidak dikuatkuasakan, (maka) undang-undang itu tidak berkesan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Klik Untuk Keselamatan Komuniti di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Suret Singh; Pengarah Urusan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Datuk Azman Ismail dan Penolong Pengarah Pemantauan Operasi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Salmi Yahya.

Mengulas lanjut, Loke sekali lagi menegaskan, bahawa menerusi peraturan itu, bukan bermaksud kementeriannya mengambil pendekatan yang keras sebaliknya mahu mendidik masyarakat supaya menitik berat soal keselamatan kanak-kanak.

“Kita tak buat pendekatan keras sebegitu cuma kita nak masyarakat faham, dah berkali-kali kita cakap dan saya akan terus mengatakan bahawa peraturan ini adalah untuk keselamatan demi melindungi nyawa anak kita sendiri dan bukannya untuk orang lain.

“Kita harap ibu bapa faham walaupun kita faham ada sedikit beban yang perlu ditanggung yang memerlukan kos tambahan tetapi itu adalah untuk satu perbelanjaan yang akan melindungi nyawa anak kita sendiri,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, memandangkan penggunaan CRS adalah sebahagian daripada keperluan kenderaan, pihaknya dari semasa ke semasa akan melihat bagaimana untuk mengurangkan kos CRS berkenaan.

“Kita akan adakan kerjasama dengan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan kita galakkan mungkin ada syarikat korporat boleh beri bantuan tajaan kepada golongan keluarga yang kurang berkemampuan. Tapi ini (pemberian subsidi untuk CRS) tak boleh kepada semua orang sebab ini melibatkan satu jumlah yang cukup besar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkasa CAAM menerusi penggabungan

PUTRAJAYA, 13 DIS: Langkah penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah untuk memperkasakan CAAM serta mengukuhkan kedudukan kewangannya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, keupayaan kewangan CAAM adalah satu daripada faktor yang membawa kepada keputusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuaan (FAA) Amerika Syarikat untuk menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia daripada Kategori 1 kepada Kategori 2.

“Satu daripada isu yang membawa kepada penurunan penarafan oleh FAA itu adalah CAAM tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk mengupah kakitangan teknikal yang berkelayakan terbaik.

“Apabila kita melakukan penggabungan ini, kita mahu memastikan kita dapat memperkasakan mereka dari segi kewangan, memberikan CAAM lebih kuasa dari segi menetapkan yuran. Bagi tempoh jangka panjang, mereka boleh mengupah kakitangan dan membayar pada kadar yang lebih baik,” katanya kepada media selepas pelancaran #JOMTEKSI di sini, hari ini.

Loke berkata, susulan mandat daripada Kabinet, kementerian beliau akan melakukan segala yang perlu dalam beberapa bulan akan datang untuk membawakan pindaan itu ke Parlimen.

Menurutnya, entiti yang digabungkan itu akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada industri dan CAAM akan menjadi pengawal selia utama.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengumumkan kerajaan akan menggabungkan kedua-dua entiti itu dan fungsi utama Mavcom akan dipindahkan kepada CAAM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kaji semula caj pengendalian bungkusan e-dagang

SEPANG, 13 DIS: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji semula caj pengendalian untuk bungkusan e-dagang yang dikenakan pengendali lapangan terbang minggu depan, dalam usaha menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dalam industri.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata caj pengendalian itu sentiasa dibangkitkan oleh peserta logistik.

“Pada masa ini, apabila kami menjalankan e-dagang di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) atau di mana-mana lapangan terbang di Malaysia, bagi setiap bungkusan yang keluar dari lapangan terbang, terdapat caj RM5 dikenakan.

“Kami mahu mengkaji semula, dan kami sedang berbincang dengan MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) tentang cara untuk menjadikannya lebih cekap dan berdaya saing,” katanya kepada media selepas pelancaran Hab Kargo Udara GTR di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group (CEO) Tan Sri Tony Fernandes, Presiden AirAsia Group (Syarikat Penerbangan) Bo Lingam, Presiden dan CEO SATS Alex Hungate, CEO GTR Kevin Chin dan CEO AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Loke berkata kerajaan merancang untuk mengkaji semula caj pengendalian itu bagi mengurangkan kos keseluruhan setiap bungkusan.

“Ciri e-dagang (ialah) kadangkala bungkusan itu tidak begitu tinggi nilainya. Misalnya, anda membeli t-shirt yang mungkin hanya berharga RM30 ke RM40.

“Pada masa anda membeli t-shirt itu dan ia sampai di sini dan dihantar kepada anda, jika caj terlalu tinggi, ia menjadikan seluruh aktiviti e-dagang tidak terlalu kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Loke menggesa syarikat logistik untuk meninjau potensi Sabah berikutan terdapat permintaan yang tinggi terhadap makanan lautnya dari China dan Hong Kong.

“Kami melihat banyak potensi di Sabah, dan jika kita dapat membangunkan kemudahan kargo udara di Kota Kinabalu dan Sandakan, saya fikir ia boleh pergi jauh dari segi mengeksport lebih banyak makanan laut dari Sabah ke seluruh dunia.

“Ia merupakan sektor yang menjana keuntungan dan kita perlu memanfaatkannya,” katanya.

Mengenai pelancaran Hab Kargo Udara GTR, Loke berharap ia akan membantu meningkatkan lagi KLIA dan klia2 sebagai pintu masuk logistik utama, sejajar dengan Pelan Induk Logistik Kebangsaan kementerian untuk membangunkan Malaysia sebagai hab logistik.

GTR (Ground Team Red), usaha sama antara AirAsia Bhd dan SATS Ltd, mengendalikan hab kargo udara di Kargo Udara KLIA Terminal 1 (KACT1). Terletak di terminal penerbangan tambang rendah sebelum ini di Sepang, kemudahan itu seluas 93,000 kaki persegi dan dibina dengan kos sebanyak RM23 juta.

Hab kargo udara baharu itu membolehkan GTR memperluaskan keupayaannya dengan mengendalikan operasi kargo pesawat berbadan kecil dan lebar dan mempunyai sistem pengendalian bahan bermotor yang memudahkan pengendalian Unit Beban Peranti (ULD).

Hab kargo udara baharu itu juga mempunyai kemudahan rantaian sejuk setinggi 10,000 kaki persegi yang dibina khas untuk pengendalian khusus bagi produk mudah rosak dan farmaseutikal serta zon yang ditetapkan untuk barangan berbahaya, haiwan peliharaan dan pengendalian kargo berharga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJeBid jana RM47 juta dalam tujuh bulan

SEREMBAN, 20 NOV: Sistem bidaan nombor pendaftaran secara dalam talian Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJeBid) berjaya menjana hasil RM47 juta dalam tempoh tujuh bulan pelaksanaannya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata hasil itu diperoleh daripada penjualan 39 siri nombor pendaftaran dengan purata kutipan bagi setiap siri sebanyak RM1.2 juta.

“Sistem JPJeBid ini mula dilaksana secara berperingkat sejak April lalu dan hari ini Negeri Sembilan menjadi negeri terakhir atau negeri ke-13 yang kita lancarkan pelaksanaan sistem ini dengan siri NDN, sekali gus merealisasikan sasaran pelaksanaan sistem itu di seluruh negara.

“Jadi hanya dalam tempoh tujuh bulan ia dilaksanakan, kutipan hasil mencecah RM47 juta melalui bidaan bagi 39 siri nombor pendaftaran dengan siri ALL merekodkan hasil sebanyak RM3.4 juta manakala nombor bidaan tertinggi iaitu ALL 1 pada harga RM278,000… ini merupakan satu pencapaian yang saya rasa amat baik untuk meningkatkan hasil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Siri NDN melalui sistem JPJeBid di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata pelaksanaan sistem bidaan atas talian itu juga bukan sahaja untuk meningkatkan hasil kerajaan di samping memudahkan orang ramai tetapi juga dapat mengelakkan berlakunya ketirisan.

“Berdasarkan kaedah manual sebelum ini, ketirisan direkodkan sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 2016 sebanyak RM21 juta; 2017 RM17 juta manakala tahun lepas RM22 juta, ketirisan ini berlaku apabila seseorang itu tidak membayar baki 50 peratus daripada nilai bidaan dan ini mungkin kerana nombor yang telah mereka bida tidak ada pembeli dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dalam tempoh tujuh bulan pelaksanaan sistem JPJeBid itu, seramai 109,361 orang telah membuat pendaftaran dalam sistem tersebut dan mereka boleh membuat bidaan bila-bila masa sahaja yang mereka mahu tanpa perlu membuat ‘deraf bank’ sebagai deposit dan sebagainya.

Loke optimis bahawa sistem itu akan menjadi contoh di kalangan negara ASEAN yang lain dengan melihat pendekatan yang dipraktikkan negara ini.

Mengenai pelancaran bidaan nombor pendaftaran bagi siri NDN hari ini, Loke berkata bidaan akan dibuka pada 28 November ini bermula 12 tengah malam hingga 2 Disember 11.59 malam melalui aplikasi dalam telefon bimbit atau laman sesawang JPJeBid, dengan kaedah pembayaran menggunakan kad kredit atau kad debit.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan diperkukuhkan lagi struktur organisasinya dan pihaknya juga akan mengambil langkah sewajarnya bagi memperkuatkan CAAM sebagai memenuhi penemuan audit yang dibuat Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

FAA sebelum ini menurun taraf CAAM daripada kategori satu kepada kategori dua sekali gus menjejaskan imej penerbangan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tegas isu keselamatan jalan raya

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat termasuk isu berkaitan kenderaan dan pemandu itu sendiri.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menegaskan walaupun menyedari ramai di kalangan pemandu lori dan bas mendesak kementerian melonggarkan undang-undang terhadap khidmat pengangkutan perdagangan itu, kementerian tidak dapat berbuat demikian kerana melibatkan soal keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Kita faham soal kebajikan pemandu kenderaan berat ini, tetapi mereka juga kena faham tentang keselamatan orang ramai, jadi kementerian tidak boleh berkompromi dalam soal ini.

“Kalau (pemandu) ada latar belakang tidak baik, kenalah ambil tindakan. Jadi kita harap jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu ini kerana ia bukan untuk kepentingan satu pihak sahaja, tetapi kepentingan semua,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang bertanyakan tentang langkah yang diambil oleh kerajaan bagi membantu golongan pemandu lori dan bas di negara ini.

Mengulas tentang bantahan yang dikemukakan oleh pemandu lori akan syarat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menghendaki golongan itu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan memperbaharui lesen, Loke berkata ia bukanlah satu perkara baharu.

“Pada zaman kerajaan terdahulu lagi syarat pemeriksaan kesihatan telahpun dikenakan kepada pemandu kenderaan berat sebelum mereka dibenarkan memperbaharui lesen.

“Jadi pemeriksaan itu dijalankan secara biasa, kalau doktor kata mereka fit untuk memandu, maka tidak ada masalah…itu pengesahan daripada doktor, bukan bermaksud sesiapa sahaja ada kencing manis dan darah tinggi mereka terus tidak boleh memandu,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya JPJ juga sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dalam usaha mencegah peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berkenaan.

Kerajaan juga telah melaksanakan Sistem Mata Demerit berkuat kuasa 15 April 2017 di mana pemandu kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan berjadual akan dikenakan mata demerit yang lebih tinggi berbanding pemandu kenderaan persendirian.

Selain itu pemandu kenderaan berat yang disabitkan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu yang menyebabkan kematian, kecederaan atau memandu di bawah pengaruh dadah boleh hilang kelayakan memandu selama tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.

Beliau menjawab soalan asal P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang bertanyakan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan pihak majikan tidak mengambil pemandu bas yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah untuk mengelakkan kemalangan jalan raya.

-BERNAMA