Categories
AGENDA NASIONAL

Kereta dihempap pokok ketapang, tiga sekeluarga selamat

SHAH ALAM, 20 NOV: Tiga beranak berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dihempap sebatang pokok ketapang ketika melalui laluan Batu 1, Jalan Kapar menghala ke Kuala Selangor, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an serta anak perempuan mereka berumur dua tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 6.16 pagi.

Tiga sekeluarga terselamat selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok ketapang ketika melalui Batu 1 Jalan Kapar menghala ke Kuala Selangor pada 20 November 2021. Foto ihsan JBPM Selangor

“Pemeriksaan mendapati kereta itu dihempap pokok setinggi sembilan meter. Semua mangsa bagaimanapun selamat dan keluar sendiri daripada kereta sebelum bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam pihaknya bertindak memotong batang pokok kelapa berkenaan dan mengalihkan ke kawasan selamat.

“Kita turut mengalihkan kenderaan yang dihempap tersebut bagi kelancaran lalu lintas,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba Selangor sedia hadapi perubahan monsun, tingkat latihan menyelamat

SHAH ALAM, 19 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor siap siaga menghadapi peralihan Monsun Timur Laut termasuk memastikan kemahiran menyelamat dalam air anggota dipertingkat.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata latihan berkenaan penting bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan ketika melaksana tugas menyelamat.

“Latihan menyelamat mangsa dalam pelbagai situasi ini juga penting kepada anggota bagi mengelak kejadian tidak diingini kepada mereka ketika sedang bertugas.

“Bagi memastikan anggota dan pegawai mencukupi sepanjang tempoh berkenaan hanya 10 peratus dari 1,600 warga bomba Selangor dibenarkan bercuti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jentera seperti bot diselenggara sebaiknya selain peralatan menyelamat sentiasa dipantau bagi memastikan dalam keadaan sedia digunakan jika berlaku kecemasan.

Kelmarin, penduduk negeri ini dinasihat bersedia terhadap insiden banjir kilat dan tanah runtuh sepanjang tempoh Monsun Timur Laut antara bulan ini hingga Mac tahun depan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri turut mengingatkan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri mengarahkan semua pihak terlibat membuat persediaan awal bagi menghadapi banjir, banjir kilat, tanah runtuh, ribut dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan.

Categories
SELANGOR

Empat sekeluarga, jiran maut dalam kebakaran di Klang

KLANG, 4 NOV: Empat sekeluarga dan seorang jiran mereka maut dalam satu kejadian kebakaran di satu deretan lima unit rumah di Lorong Mokhtar, Kampung Delek di sini kira-kira pukul 3.40 pagi tadi.

Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri Fauzi Daut, 44, dan Sarimah Yusuf, 37; kakak Fauzi, Fauziah Daut, 50; anak saudara pasangan itu, Mohd Amirudin Ali, 12, serta jiran mereka Ubaidilah Ayob, 48.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada kira-kira pukul 3.56 pagi dan setibanya di lokasi sembilan minit kemudian, api dilihat sedang sangat marak.

Beliau berkata tindakan pantas pihaknya juga berjaya mengelakkan tiga lagi unit rumah sederet di situ musnah dalam kebakaran itu dan kira-kira lapan penghuni rumah berkenaan juga sempat menyelamatkan diri.

“Kita dimaklumkan terdapat lima mangsa terperangkap dalam dua daripada tiga rumah yang terbakar. Pemeriksaan mendapati empat mayat dijumpai bersembunyi dalam bilik air dan mayat kanak-kanak itu pula berada berdekatan pintu bilik air,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pagi ini.

“Mereka dipercayai cuba mengelakkan diri daripada kebakaran berkenaan. Siasatan awal mendapati pintu rumah tersebut berkunci dan mangsa-mangsa bersembunyi di bilik air mungkin disebabkan mereka panik akibat tidak jumpa kunci rumah,” tambahnya.

Norazam berkata pemeriksaan awal mendapati mayat Mohd Amirudin terbakar 30 peratus manakala mayat Fauzi, Sarimah dan Fauziah pula terbakar 80 peratus, dan mayat Ubaidilah tidak terbakar, dan dia dipercayai maut akibat terhidu asap tebal.

Beliau berkata saksi memberitahu ada terdengar bunyi letupan namun pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kebakaran dan ia dipercayai bermula daripada rumah pertama dihuni oleh Ubaidilah.

Katanya semakan mendapati rumah sederet itu dipercayai rumah sewa yang dibina sekitar tahun 1994 namun tidak pernah dirujuk kepada pihak bomba untuk pemeriksaan ciri-ciri keselamatan, dan kebakaran itu merebak dengan pantas.

Norazam berkata kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pembakaran terbuka disyaki dilakukan warga asing – bomba

SHAH ALAM, 27 OKT: Warga asing dikenal pasti melakukan pembakaran di tempat pelupusan sampah haram bagi mendapatkan barang berharga.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata susulan itu, pembakaran terbuka kerap berlaku sekurang-kurangnya tiga kali sebulan sehingga mengganggu penduduk setempat.

“Contohnya di Bukit Kerayong, Kapar. Semalam baru kita padam sepenuhnya selepas tiga hari terbakar dan ini merupakan kali ketiga sepanjang tahun ini.

“Kita percaya mereka bakar kabel yang dibuang untuk dapatkan tembaga di dalamya. Berkemungkinan ia (pembakaran) berlaku lagi bulan hadapan,” kata Norazam Khamis kepada pemberita selepas operasi sanitasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan pemantauan, selain Klang pembakaran itu juga kerap berlaku di Cyberjaya, Puchong, Sepang dah Hulu Langat.

“Bagi mengatasi masalah ini, bomba Selangor bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Fenomena air pasang: Limpahan berlaku, tiada penduduk terjejas

SHAH ALAM, 17 OKT: Paras air laut meningkat dari kebiasaan pagi ini akibat fenomen air pasang namun semuanya terkawal, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong pengarah operasi berkata limpahan air berlaku di beberapa kawasan antaranya Kuala Langat, Kuala Selangor dan Tanjong Karang tetapi tidak menjejaskan penduduk.

“Air naik sedikit ke permukaan jalan serta halaman rumah tetapi tiada penduduk yang dipindahkan. Paras air tertinggi direkodkan pagi ini ialah 5.7 meter.

“Semua anggota bersedia dari jam 4.30 pagi bagi memastikan sebarang aktiviti kecemasn dapat ditangani dengan lancar,” kata Hafisham Mohd Noor kepada SelangorKini.

Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Fenomena air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam bermula hari ini hingga Isnin depan antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bomba: Cuaca baik kurang risiko banjir ketika air pasang besar

SHAH ALAM, 20 SEPT: Keadaan cuaca baik ketika ini mengurangkan risiko banjir di kawasan yang terdedah dengan fenomena air pasang besar bermula semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata hujan lebat berpotensi menyebabkan air melimpah sekali gus menjejaskan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai.

“Pagi tadi air naik di pekan Kuala Selangor menyebabkan kesesakan jalan raya. Kita kesan air setinggi 5.7 meter pada jam 7.50 pagi.

“Bagaimanapun, keadaan terkawal dan banjir menyurut. Pemantauan di sekitar Kapar tidak menunjukkan sebarang risiko banjir,” kata Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor ketika dihubungi.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga.