Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh Jawatankuasa Siasat Banglo Runtuh

SHAH ALAM 24 OKT : Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian bumbung rumah banglo dua tingkat yang runtuh minggu lalu.

Datuk Bandar Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Selain MBSA, jawatankuasa ini turut melibatkan Jabatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), polis, Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan Kementerian Perumahan.

“Pihak kami mahu berlaku adil, oleh itu kami mahu mendengar dan berbincang dengan semua pihak mengenai perkara ini.

“MBSA juga tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dan tidak mahu menghukum sesiapa. Biar jawatankuasa itu yang membuat keputusan selepas perbincangan dengan beberapa jabatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBSA, di Wisma MBSA, di sini.

Jaafar berkata, jawantankuasa itu ditubuhkan rentetan daripada terdapat dakwaan yang mengatakan pemilik rumah sudah menerima kelulusan untuk membuat pengubahsuaian rumah, namun pihak MBSA tidak menerima permohonan daripada pemilik terbabit.

Dalam kejadian kira-kira empat petang, Jumaat lalu, dua pekerja buruh yang dikenali sebagai Ghadami maut ditempat kejadian manakala Totok Mochamad Anthony meninggal dunia di hospital.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Kasmuji masih dirawat di hospital.

Kejadian itu berlaku ketika enam buruh binaan berkenaan sedang melakukan ubah suai di banglo mewah milik seorang ahli perniagaan yang masih belum diduduki di Jalan Jed 1 7/5A, Seksyen 7.