Categories
PBT SELANGOR

Bakul Prihatin MBSA beri manfaat hampir 2,000 keluarga B40

SHAH ALAM, 6 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan lebih RM200,000 bagi menyediakan bakul makanan kepada 1,884 keluarga berpendapatan rendah yang terkesan pandemik Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kos Program Bakul Prihatin MBSA terbabit diperoleh hasil sumbangan terkumpul pihak majlis, orang awam serta kutipan caj beg plastik daripada pasar raya 99 Speedmart.

“EXCO Pemberdaya dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin V Ganabatirau turut menyumbang RM10,000 bagi menggerakkan program ini.

“MBSA mahu program ini dapat membantu golongan terjejas dengan pendekatan ‘Leaving No One Behind’ dalam semua aspek termasuk ekonomi, kebajikan dan kesihatan. Majlis mahu matlamat pembangunan lestari tercapai,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya MBSA menjalin kerjasama dengan 99 Speedmart menerusi pertukaran perjanjian persefahaman bagi melaksanakan program berkenaan.

“MBSA membeli pakej barangan bernilai RM50 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50,000 dari pasar raya terbabit.

“Bakul yang mengandungi makanan asas serta nutrisi bayi diagihkan kepada penerima pada Ramadan nanti,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA edar poster amal norma baharu di sekolah

SHAH ALAM, 25 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengedarkan kain rentang dan poster berkaitan norma baharu kepada sekolah di sekitar kawasan pentadbirannya.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya, berkata edaran percuma itu untuk mendidik guru dan pelajar kepentingan menjadikan norma baharu sebagai budaya bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“…masyarakat kini perlu memainkan peranan penting dan menjadi ‘petugas hadapan’ dalam usaha bersama untuk memutuskan penularan wabak,” kata Shahrin Ahmad.

Hebahan itu memaparkan peringatan basuh tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman, menggunakan pelitup muka serta sentiasa memantau kesihatan.

Sekolah yang menerima edaran ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Ampuan Jemaah, Seksyen 11 Shah Alam.

Categories
PBT SELANGOR

Premis perniagaan wajib laksana sistem SELangkah

SHAH ALAM, 4 MEI: Semua premis perniagaan diwajibkan melaksanakan penggunaan sistem pendaftaran keluar masuk automatik SELangkah ‘Langkah Masuk Dengan Selamat’ secara imbasan kod QR di premis masing-masing.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Twitter memaklumkan pendaftaran boleh dilakukan di www.selangkah.my mulai hari ini.

Premis perlu mencetak poster kod QR dan dipaparkan di pintu hadapan premis. Pelanggan akan mengimbas kod sebelum memasuki premis.

Menerusi sistem ini, nombor telefon dan waktu log masuk pelanggan akan direkodkan. Sekiranya pelanggan didapati positif Covid-19, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan memeriksa rekod log dan memaklumkan pemilik premis tersebut.

Dalam pada itu, menerusi jawapan soalan lazim di www.amirudinshari.com semalam, inisiatif SELangkah diwujudkan bagi memastikan kesiapsiagaan entiti perniagaan dan industri sepanjang aktiviti perniagaan berlangsung.‍

SELangkah bakal melengkapi ikhtiar pengesanan kontak oleh Jabatan Kesihatan Negeri, terutamanya apabila terdapat kes-kes yang dikesan di premis perniagaan seperti pasar awam, pasaraya, dan kedai runcit.

Dengan sistem SELangkah, pihak kesihatan dapat mengenal pasti pelanggan lain yang mungkin terdedah kepada kes Covid-19 semasa menjalankan urusan jual-beli, supaya saringan dan ujian dapat dijalankan lebih awal.‍

SELangkah menggunakan teknologi kod QR yang universal dan boleh diguna pakai telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS ataupun Android.

SELangkah juga merupakan penyelesaian yang berpusatkan premis (premis-centric) berbanding individu (individual-centric), dan hanya menyimpan log kehadiran semasa urusan lawatan atau jual beli.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman www.selangkah.mbiselangor.com.my atau www.selangkah.my‍

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Operasi nyahcemar bersepadu MBSA ikut SOP KKM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Operasi nyahcemar bersepadu yang dijalankan bagi membendung penularan Covid-19 oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama lima hari bermula hari ini telah mendapat khidmat nasihat dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata khidmat nasihat dan panduan berkenaan diberikan oleh pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling dalam mesyuarat sebelum ini.

“Untuk tindakan nyahcemar bersepadu kita telah mendapat nasihat daripada KKM melalui PKD Petaling, dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan agar tugas ini dapat mencapat hasil yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi nyahcemar di Seksyen 6 di sini hari ini.

Mengenai operasi nyahcemar berkenaan, Mohd Rashidi berkata seramai 122 anggota daripada MBSA, Polis Diraja Malaysia, Alam Flora, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Selangor terlibat dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata operasi berkenaan bermula di sekitar Pasar Awam Seksyen 6 seluas satu kilometer dan seterusnya akan meliputi 200km dalam kawasan pentadbiran MBSA.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Jadi tempat kumpul, MBSA roboh struktur binaan tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 3 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan sebuah struktur yang dibina tanpa kebenaran di Seksyen 24 di sini, kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya.

Shahrin Ahmad berkata, binaan tersebut juga dikesan menjadi tempat berkumpul penduduk berdekatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua sedang dikuatkuasakan.

“MBSA hari ini menjalankan operasi meroboh struktur yang dibina tanpa kebenaran di Seksyen 24. Ia juga disyaki menjadi tempat berkumpul untuk tujuan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Sekarang ini kita di bawah PKP, jadi tidak ada siapa pun dibenarkan berkumpul. Bagaimanapun semua individu terlibat sudah ditahan polis malam tadi,” katanya ketika dihubungi.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun sehingga 50 peratus

SHAH ALAM, 17 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk kompaun terpilih melalui Kempen Pengurangan Kompaun sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-19 pada 30 Oktober ini, bermula 10 pagi hingga 7 malam di SACC Mall.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, MBSA juga menawarkan diskaun kompaun Tempat Letak Kereta kepada RM30.

“Kami juga mengalu-alukan warga Shah Alam bertemu dengan pihak pengurusan MBSA bagi menyalurkan aduan dan permasalahan yang dialami di kawasan masing-masing dalam usaha untuk mendekati warga kota Shah Alam secara terus.

“Selain itu, program ini juga merupakan komitmen berterusan pihak Majlis untuk mempertingkatkan serta memperbaiki sistem penyampaian demi kemudahan komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Shahrin berkata, program ini juga merupakan usaha MBSA untuk memberi ruang hebahan dan mempromosikan perkhidmatan kepada pengunjung.

“Antara perkhidmatan yang disediakan semasa program ini adalah seperti penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan dan pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik, semakan aduan, permohonan ubahsuai premis dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Cuba Sembunyi Jumlah Sebenar Anggota Polis – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 10072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Mengapa Kementerian Dalam Negeri enggan menjawab soalan Ahli Parlimen secara penuh dan telus?

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempersoalkan tindakan KDN itu yang tidak mahu memberitahu jumlah sebenar anggota polis.

2. Kementerian Dalam Negeri diminta menjelaskan situasi sebenar jenayah di negara ini, selepas kenyataan terbaru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercanggah dengan kenyataan mantan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum PRU13.

3. Peningkatan kadar jenayah di negara ini sebagai nyata hanyalah alasan Kerajaan untuk mengembalikan Ordinan Darurat yang telah dimansuhkan pada tahun 2011.

4. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa projek River of Life yang dilancarkan Kerajaan Pusat untuk mencantikkan Sungai Klang dan Gombak telah menindas kira-kira 100 penduduk Kampung Puah Seberang.

5. Sempena ketibaan bulan Ramadan, Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) melancarkan kempen pengurangan kompaun dengan menawarkan pengurangan sehingga 80 % kepada orang ramai yang mempunyai tunggakan kompaun dikawasan pentadbiran MBSA.

Categories
SELANGOR

MBPJ Diminta Buat Kajian Bas Percuma Di Kota Damansara

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan Negeri akan meminta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) untuk menyediakan satu kajian terperinci dan mengadakan rundingan supaya dapat menyediakan bas percuma di kawasan Kota Damansara.

Perkara itu dibangkitkan oleh Adun Kota Damansara, Dr Nasir Hashim berikutan ketiadaan pengangkutan awam di kawasannya untuk ke Hospital Sungai Buloh.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berusaha untuk menangani masalah itu.

“Kita difahamkan SPAD mempunyai peruntukkan untuk mewujudkan perkhidmatan bas itu dan kini ianya dalam perbincangan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri.

Ronnie menambah Kerajaan Negeri setakat ini, sudah menyediakan dua buah bas percuma untuk kegunaan warga Putrajaya yang dikawal oleh MBPJ.

“Sebenarnya, bidang kuasa penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kuasa Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri tiada hak untuk merancang, bagaimanapun kita akan cuba melalukan inisiatif itu” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh Jawatankuasa Siasat Banglo Runtuh

SHAH ALAM 24 OKT : Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian bumbung rumah banglo dua tingkat yang runtuh minggu lalu.

Datuk Bandar Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Selain MBSA, jawatankuasa ini turut melibatkan Jabatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), polis, Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan Kementerian Perumahan.

“Pihak kami mahu berlaku adil, oleh itu kami mahu mendengar dan berbincang dengan semua pihak mengenai perkara ini.

“MBSA juga tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dan tidak mahu menghukum sesiapa. Biar jawatankuasa itu yang membuat keputusan selepas perbincangan dengan beberapa jabatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBSA, di Wisma MBSA, di sini.

Jaafar berkata, jawantankuasa itu ditubuhkan rentetan daripada terdapat dakwaan yang mengatakan pemilik rumah sudah menerima kelulusan untuk membuat pengubahsuaian rumah, namun pihak MBSA tidak menerima permohonan daripada pemilik terbabit.

Dalam kejadian kira-kira empat petang, Jumaat lalu, dua pekerja buruh yang dikenali sebagai Ghadami maut ditempat kejadian manakala Totok Mochamad Anthony meninggal dunia di hospital.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Kasmuji masih dirawat di hospital.

Kejadian itu berlaku ketika enam buruh binaan berkenaan sedang melakukan ubah suai di banglo mewah milik seorang ahli perniagaan yang masih belum diduduki di Jalan Jed 1 7/5A, Seksyen 7.