Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: 17 tapak pembinaan gagal patuh SOP ditutup

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Dalam tempoh 20 April hingga 14 Jun lepas, sebanyak 17 tapak pembinaan di seluruh negara diarah tutup operasi buat sementara selepas didapati gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tapak terbabit adalah antara 7,699 lokasi yang diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, sebanyak 370 tapak pembinaan yang tidak patuh diberikan amaran, katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan projek Bukit Bintang City Centre bagi memantau SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Menurut Fadillah, selain tidak patuh SOP, syarikat pembinaan yang terbabit juga tidak menerima kelulusan beroperasi daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, ditanya mengenai kegusaran pemaju akan dikenakan penalti kerana projek lewat disiapkan, beliau berkata perkara tersebut akan diselesaikan menerusi undang-undang berkaitan Covid-19.

Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Covid-19 (Langkah-langkah Sementara) apabila Parlimen bersidang bulan depan, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Awan Megah Gagal Siap Projek, Rafizi Hairan Kementah Tidak Tuntut RM72.5 Juta

rafizi

PETALING JAYA 9 JAN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan(Kementah) yang tidak mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah Sdn Bhd akibat kegagalan menyiapkan projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).

Beliau mendakwa dalam perjanjian, Kementah mensyaratkan penyediaan bon tanah dengan nilai itu sebagai jaminan projek terbabit akan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Lebih membimbangkan, katanya apabila bon tanah itu luput secara automatik pada 3 Februari 2011.

“Jadi, Kementerian Pertahanan perlu menjawab perkara itu sedangkan dengan wang RM72.5 juta itu ia boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan Puspahanas,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Projek pembinaan Puspahanas itu lewat dimulakan oleh Awan Megah Sdn Bhd walaupun perjanjian dimeterai tahun 2005 dan sepatutnya siap Januari 2011 mengikut jadual yang didaftarkan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kementerian Pertahanan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ini antaranya mengapa Kementerian tidak menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd dari projek ini apabila sudah terbukti ia tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran.

“Adakah Awan Megah Sdn Bhd menyediakan bon tanah baru bagi menggantikan bon tanah asal yang luput,” katanya.

Tinjauan Rafizi ke tapak pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya menunjukkan bahawa hanya dua daripada 12 bangunan utama sedang dibina.

Menurut maklumat yang diperolehi dari kakitangan sub kontraktor di tapak pembinaan, kerja pembinaan hanya bermula dalam bulan Ogos lalu.

Sehubungan itu, satu jelajah nasional ke kawasan kem tentera akan diadakan mulai esok bagi menerangkan isu salah guna wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Jelajah itu akan dimulakan di Setiawangsa, Lumut, Bandar Tun Razak, Kuantan dan Butterworth.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh Jawatankuasa Siasat Banglo Runtuh

SHAH ALAM 24 OKT : Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian bumbung rumah banglo dua tingkat yang runtuh minggu lalu.

Datuk Bandar Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Selain MBSA, jawatankuasa ini turut melibatkan Jabatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (bomba), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), polis, Jabatan Kerja Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan Kementerian Perumahan.

“Pihak kami mahu berlaku adil, oleh itu kami mahu mendengar dan berbincang dengan semua pihak mengenai perkara ini.

“MBSA juga tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dan tidak mahu menghukum sesiapa. Biar jawatankuasa itu yang membuat keputusan selepas perbincangan dengan beberapa jabatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBSA, di Wisma MBSA, di sini.

Jaafar berkata, jawantankuasa itu ditubuhkan rentetan daripada terdapat dakwaan yang mengatakan pemilik rumah sudah menerima kelulusan untuk membuat pengubahsuaian rumah, namun pihak MBSA tidak menerima permohonan daripada pemilik terbabit.

Dalam kejadian kira-kira empat petang, Jumaat lalu, dua pekerja buruh yang dikenali sebagai Ghadami maut ditempat kejadian manakala Totok Mochamad Anthony meninggal dunia di hospital.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Kasmuji masih dirawat di hospital.

Kejadian itu berlaku ketika enam buruh binaan berkenaan sedang melakukan ubah suai di banglo mewah milik seorang ahli perniagaan yang masih belum diduduki di Jalan Jed 1 7/5A, Seksyen 7.

Categories
NASIONAL

Projek untuk habuan Kroni Akhirnya Terbengkalai


TANJUNG KARANG, 12 MAC: Gara-gara obses dengan projek pembangunan yang menjanjikan pulangan lumayan untuk parti, kroni dan diri, undang-undang tidak lagi menjadi persoalan bagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Projek yang sepatutnya melalui prosedur dan kelulusan pihak tertentu sebelum kerja pembinaan dimulakan juga dipandang sebelah mata sekaligus menjadikan kemudahan yang dibina bakal menjadi satu lagi projek gajah putih BN.

Terbaru, projek pembinaan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bagan Pasir Penambang yang hampir 90 peratus siap juga tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak termasuk kelulusan kerajaan negeri.

Menurut Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri hari ini, projek yang menelan kos lebih RM22 juta itu juga tidak memiliki pelan yang diluluskan oleh pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan mestilah kemukakan Permohonan Kebenaran Merancang dari pihak kerajaan tempatan dan pihak berkaitan dengan mengemukakan Pelan Pendirian Bangunan dan Pelan Susunatur.

“Contohnya kelulusan Jabatan Alam sekitar, Jabatan Penilaian, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Pembangunan, Indah Water, TNB, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perancangan Pembangunan dan kesemuanya lebih kurang ada 19 pihak perlu meneliti sesuatu projek.

“Oleh kerana ia melibatkan pembinaan jeti, projek ini juga mesti dapatkan komen dan kelulusan dari jabatan maritim atau pun marin.

“Komen-komen dari jabatan-jabatan atau agensi yang saya sebutkan ini amat penting sebab ia melibatkan struktur bangunan itu sendiri supaya tidak timbul isu keselamatan atau bangunan runtuh apabila diduduki nanti.

“Jadi bila dah tak ada kelulusan pelan pembinaan, macamana pihak MDKS nak bagi sijil menduduki (CF) bila siap nanti sebab dah tentu mereka tahu tiada jaminan jeti itu selamat digunakan.

“Saya pasti Jeti itu nanti akan jadi satu lagi projek gajah putih BN sebab tak boleh dapat CF.

“Ini memang jelas, kalau tanya pada pihak majlis pun, mereka akan ‘confirm’ tiada kelulusan” ujar Yahya.

Tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan peruntukan RM22 juta terhadap projek yang tidak mendapat

kelulusan RM22 juta juga menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Kenapa Menteri Pertanian, tergesa-gesa mengeluarkan peruntuk yang besar tanpa mahu berbincang dengan kerajaan negeri dan menunggu pemeriksaan pihak berkuasa tempatan untuk dapatkan kelulusan?

“Adakah semata-mata mahukan projek ini jalan supaya dapat habuan untuk kroni, parti dan diri sendiri sahaja, maklumlah sekarang dah dekat pilihan raya dah ni.

“Sekiranya projek ini beri manfaat kepada rakyat Selangor dan mematuhi undang-undang saya pasti pihak kerajaan negeri tentunya tidak akan menghalang,” katanya lagi.

Selain itu Yahya turut mempersoalkan infrastruktur yang belum dibina meskipun proses pembinaan bangunan tersebut telah mencapai lebih 80 peratus.

Menurut beliau lagi, keadaan ini berlaku disebabkan ketiadaan pelan perancangan yang diluluskan.

Yahya turut menggesa pihak SPRM, Jabatan Audit Negara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) segera campur tangan dalam isu yang melibatkan kepentingan awam ini.

Dalam isu yang sama, Setiausaha MDKS, Azahari Sairin memberitahu TVS hari ini, permohonan kelulusan pelan yang dihantar oleh pemaju telah tidak mendapat kelulusan pihak MDKS.

“Pemaju ada hantar pelan perancangan tetapi pihak MDKS kembalikan kerana didapati tidak menepati piawaian.

“Lepas itu mereka tak hantar semula untuk penilaian MDKS hinggalah sekarang yang menyebabkan pelan pembangunan Jeti LKIM tu memang tak diluluskan MDKS,” ujar beliau.