Categories
AGENDA NASIONAL

JAKIM nafi pegawai minta caj daftar premis proses daging halal

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan kononnya pegawai jabatan itu meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di ibu negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, JAKIM mempunyai mekanisma kawalan serta mengamalkan sistem integriti yang tinggi dan telus bagi mengelakkan berlaku amalan rasuah dalam kalangan kakitangannya.

“Mekanisma ini termasuklah kerjasama yang rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping penempatan pegawai SPRM secara sepenuh masa di bahagian yang berisiko tinggi berlakunya rasuah,” katanya.

Mohamad Nordin mengulas berhubung artikel bertajuk ‘Malaysia Halal Crisis’ oleh Murray Hunter di laman web Asia Sentinel bertarikh 10 Oktober lalu yang mendakwa berlakunya isu integriti dan kompetensi kakitangan JAKIM dalam proses pensijilan halal Malaysia.

JAKIM turut menggesa penulis artikel itu serta semua pihak untuk tampil mengemukakan bukti bagi diteliti serta diambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

“Isu ini amat serius kerana ia boleh menyebabkan reputasi halal Malaysia tercemar dengan fitnah dan tuduhan tidak berasas,” katanya menambah JAKIM sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan integriti.

Mohamad Nordin turut menolak dakwaan di dalam artikel itu mengatakan kakitangan JAKIM angkuh dan tidak membantu dalam proses pendaftaran, sebaliknya mereka bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan melibatkan kakitangan JAKIM atau masalah berkaitan permohonan sijil halal secara dalam talian. Kami sentiasa membantu semua pihak dan syarikat untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.

Tambahnya, JAKIM komited mengekalkan reputasi pensijilan halal yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memantapkan kualiti sijil halal JAKIM.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wajibkan vaksin: Jakim akan bincang dengan KKM, KPM

MELAKA, 7 MAC: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pelajaran (KPM) mengenai kajian mewajibkan suntikan vaksin imunisasi ke atas kanak-kanak sebelum memasuki sesi persekolahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, jabatan itu sedia membantu kedua-dua kementerian berkenaan bagi meneliti cadangan mewajibkan suntikan vaksin imunisasi sebelum menetapkan sebarang dasar berhubung perkara terbabit.

“Apabila seseorang kanak-kanak tidak mengambil suntikan vaksin imunisasi, dia boleh memudaratkan orang lain seperti mana kes yang berlaku baru-baru ini ada kanak-kanak meninggal dunia disebabkan jangkitan difteria.

“Dari sudut ‘maqasid syariah’, (tanpa pengambilan vaksin) membahayakan nyawa orang lain, jadi kita perlu buat dasar mewajibkannya namun ia memerlukan fatwa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Townhall Maqasid Syariah peringkat Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Fuziah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai KKM bersedia menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua daripada 12 vaksin bawah Program Imunisasi Kebangsaan yang akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Adly berkata, Kerajaan Melaka sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi membincangkan pelbagai tuntutan syariah dalam Islam.

Melaka adalah negeri pertama melaksanakan program sesi perbincangan maqasid syariah sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan Persekutuan bagi membincangkan pelbagai perkara demi kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran negeri dan negara.