Categories
AGENDA NASIONAL

1,047 ditangkap kes dokumen pengenalan diri palsu

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 2013 hingga 30 September 2019, sebanyak 1,047 tangkapan melibatkan orang awam dibuat dan didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 2,100 operasi penguatkuasaan terhadap sindiket penipuan dan pemilikan dokumen pengenalan diri palsu atau milik orang lain yang dijalankan dalam tempoh tersebut.

“Perbuatan penjualan atau pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu ini dilakukan atas kapasiti individu berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah melalui cara yang salah.

“Justeru, kuasa penuh diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang didapati bersalah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik penipuan sindiket MyKad sejak 2013.

Mengulas lanjut, Mohd Azis memberitahu berhubung penambahbaikan JPN, satu Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian JPN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri diadakan pada 18 September 2019.

“(Jawatankuasa itu) memutuskan beberapa langkah penambahbaikan serta-merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada JPN,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Che Abdullah mengenai bentuk penguatkuasaan komprehensif yang akan dilakukan KDN bagi mengatasi masalah sindiket itu, Mohd Azis berkata bukan mudah untuk dalang terbabit mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Ia (proses mendapatkan pengenalan diri) bukan soal bahasa sahaja, seksyen lain juga ada. Setiap seksyen, pegawai yang terlibat juga adalah berlainan, bukan ‘one-man show’ (dikelolakan sendirian).

“Tetapi pada masa ini, kerajaan mempertimbangkan untuk memastikan ada satu mekanisme untuk memastikan bahawa bayi yang lahir itu mempunyai pertalian secara langsung kepada sijil lahir yang dikeluarkan,” katanya.

-BERNAMA

Selangor Desak Sekolah Tutup Jika Jerebu Cecah IPU 150

elizabeth pakai topeng muka budak jerebu 02

SHAH ALAM 25 JUN : Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong mempersoalkan arahan Kementerian Pelajaran yang hanya membenarkan sekolah ditutup sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300, iaitu paras merbahaya.

Elizabeth berkata adalah lebih munasabah jika sekolah dibenarkan tutup jika masalah jerebu melebihi paras 150 IPU iaitu pada tahap tidak sihat.

“Saya rasa tahap bacaan IPU 300 itu terlalu lambat, lebih baik jika bacaan mencecah 150 terus tutup sekolah kerana kita mesti faham paru-paru kanak-kanak tidak tahan seperti orang dewasa.

“Ini cadangan saya, mereka perlu lihat semula lebih baik tutup sekolah dan diganti persekolahan itu pada hari minggu daripada menjejaskan kesihatan pelajar,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengedarkan topeng muka kepada penduduk Bukit Lanjan di pasar pagi Desa Jaya di Petaling Jaya pagi ini.

Semalam, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) memaklumkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan supaya menutup sekolah sekiranya IPU berada ditahap  melebihi 300.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Persekutuan wajar mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) itu kerana ia akan memberi kesan kesihatan kepada pelajar.

Elizabeth berkata arahan kementerian tidak konsisten dengan tindakannya semalam di mana sekolah-sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor ditutup apabila paras IPU berada di bawah 200.

?Tindakan Kementerian untuk membuka semula sekolah-sekolah di negeri Selangor dan Kuala Lumpur adalah tidak wajar. Semalam keadaan di kebanyakkan tempat dibawah IPU 200 ditutup. Tetapi hari ini bacaan IPU melebihi 200, sekolah dibuka.

“Perkara ini sudah tentu akan merisaukan ibu bapa dan guru,” katanya ketika ditemui di program pemberian topeng muka kepada orang ramai di Bukit Lanjan.

Pada pagi ini, kualiti udara di Pelabuhan Klang, Selangor kini dikategorikan sebagai bahaya apabila bacaan IPU mencatatkan 495 setakat 8 pagi.

Portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melaporkan empat kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya, Banting, Shah Alam dan Kuala Selangor mencatat IPU sangat tidak sihat dengan bacaan lebih 200.

Elizabeth turut memaklumkan Kerajaan Negeri sudah mengedarkan sebanyak 250,000 topeng muka kepada penduduk Selangor termasuk ke sekolah-sekolah kerana mendapat permintaan yang tinggi.