Categories
PENDAPAT RENCANA

Mendaki puncak Kinabalu dengan normal baharu

Oleh Noorazlina Jindeh

RANAU, 9 JULAI: Penularan virus Covid-19 menjadi igauan ngeri penduduk dunia hinggakan ia mengubah kebiasaan kehidupan manusia kepada normal baharu serta memberi kesan kepada aktiviti harian rakyat dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.

Tatacara normal baharu yang berlandaskan tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut terpakai bagi aktiviti rekreasi termasuk pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

Setelah hampir dua bulan aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu ditutup sementara kepada orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Taman Taman Sabah (TTS) telah membuka semula laluan pendakian pada 16 Mei lepas tetapi setiap pendaki perlu mematuhi SOP.

Peluang ini tidak dilepaskan sia-sia oleh media di Sabah termasuk penulis apabila menerima tawaran TTS bagi pembukaan semula pendakian untuk melihat pelaksanaan SOP ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter itu, baru-baru ini.

Rombongan media terdiri daripada wartawan agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro Awani diiringi oleh Penguasa substesen Panalaban Julaimin Kamin, malim gunung, anggota mencari dan menyelamat gunung (MOSAR), renjer TTS dan porter.

Pendakian kali ini bagi penulis amat berbeza selepas kali terakhir mendaki lima tahun lepas ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu yang terletak di Taman Kinabalu, Kundasang kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu.

Selain perlu mematuhi SOP, keadaan cuaca di Taman Kinabalu, yang juga kawasan Tapak Warisan Dunia, ketika itu cukup redup dan mendung menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa.

Pendakian Ke Panalaban

Berdasarkan normal baharu itu hanya 100 pendaki dibenarkan dalam sehari (berbanding kira-kira 165 orang sebelum PKP) untuk mendaki dan setiap pendaki akan diperiksa suhu badan selain mencatat nama pada buku daftar di pintu masuk utama Taman Kinabalu sebelum dibenarkan berada di kawasan taman untuk urusan pendakian.

Menurut Julaimin, setiap pendaki termasuk malim gunung dan porter tidak terkecuali daripada SOP yang ditetapkan itu bagi memastikan keselamatan setiap pendaki terjamin.

Pertamanya, suhu badan pendaki perlu melepasi tahap yang ditetapkan, barulah dibenarkan untuk mendaftar masuk bagi urusan pendakian seperti bayaran insurans, malim gunung, penginapan dan porter.

Waktu pendaftaran pula bermula seawal 7.00 pagi-10.30 pagi sahaja sebelum bergerak ke Timpohon bagi memulakan pendakian ke Panalaban sejauh enam kilometer.

Tepat pukul 9.40 pagi, selepas menandatangani buku daftar masuk di pintu Timpohon, 88 pendaki termasuk media dibenar untuk meneruskan pendakian ke Panalaban yang berketinggian 3,272 meter dari aras laut.

Panalaban adalah tempat perhentian yang menempatkan beberapa asrama penginapan untuk pendaki bermalam sebelum meneruskan pendakian keesokan hari ke puncak Kinabalu.

SOP Pendakian

Julaimin berkata, sepanjang pendakian ke Panalaban, pendaki akan melalui tujuh pondok perhentian iaitu pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Paka dan Waras.

Pemeriksaan suhu badan semua pendaki termasuk malim gunung dan porter akan dijalankan lagi di pondok Layang-Layang yang berada di ketinggian 2,702 meter dari aras laut.

“Jika suhu mereka lebih daripada 37.4 darjah selsius, individu itu akan dikuarantin di bilik yang telah disediakan di pondok Layang-Layang. Tetapi sejak aktiviti pendakian dibuka sehingga kini belum ada lagi yang dikuarantin,” katanya yang telah berkhidmat dengan TTS sejak 2002.

Selepas itu, suhu pendaki diperiksa lagi di pondok Waras; di pintu masuk restoran dan penginapan Laban Rata; sebelum bertolak ke puncak Gunung Kinabalu dan selepas turun dari puncak Kinabalu.

Semasa berada di puncak Kinabalu pula, bagi mengelakkan kesesakan hanya empat orang sahaja dibenarkan dalam satu-satu masa dan perlu bergilir untuk bergambar.

Proses sanitasi juga dibuat di setiap kawasan penginapan yang terdiri daripada beberapa buah antaranya rumah rehat Laban Rata, Pendant Hut, asrama Lemaing, asrama Mokodou dan Kinotoki.

Kedudukan katil di setiap bilik juga disusun dengan jarak yang ditetapkan selain penyediaan cecair pembasmi kuman di setiap pintu masuk bilik penginapan.

SOP Di Restoran Laban Rata

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan, operasi resort Sutera Santuary Lodges Freddi Jude Julani Alexius berkata, bagi penyediaan makanan di restoran Laban Rata, pendaki tidak dibenar untuk mengambil makanan sendiri seperti sebelum ini.

Bagi mematuhi SOP, pelayan di restoran akan membantu meletakkan makanan di pinggan pelanggan.

“Jumlah pendaki yang berada di restoran ini untuk menjamu selera juga dikurangkan kepada 30 orang berbanding 40 orang sebelum ini,” katanya sambil menjelaskan tempoh 30 minit diberikan untuk setiap kumpulan berada di restoran itu.

Freddi Jude berkata, setiap pelayan mahupun tukang masak di restoran itu juga memakai pelitup separuh muka sebagai langkah keselamatan.

Bagi seorang pendaki, Kurong anak Beki, 39, berkata dengan penetapan SOP itu lebih memberi keyakinan kepada pendaki agar merasa lebih selamat.

Berasal dari Sri Aman, Sarawak, beliau yang juga seorang penjawat awam berkata, meskipun baru pertama kali mendaki, SOP itu penting dalam usaha membantu kerajaan membendung penularan Covid-19.

Harungi ‘Sungai Kecil’ Menuju Panalaban

Selain berpeluang merasai pelaksanaan SOP pendakian, pengamal media seramai 10 orang itu juga berdepan dengan pengalaman mendaki dalam keadaan hujan dan meredah air terjun kecil yang deras mengalir di sepanjang laluan menuju ke Panalaban.

Bagi penulis, ia suatu pengalaman pertama mendaki dalam keadaan cuaca hujan lebat sepanjang empat kilometer ke Panalaban selain terpaksa memakai baju hujan berbanding pendakian sebelum ini cuacanya amat baik dan cerah.

Rintik-rintik hujan mula dirasai kira-kira 12 tengah hari itu telah melambatkan perjalanan pendakian yang dijadual tiba pukul 3.00 petang namun hanya tiba di Panalaban pada pukul 6.30 petang kerana laluan yang berbatu dan licin menyukarkan pendakian selain berdepan dengan suhu yang sejuk.

Baju hujan adalah antara keperluan yang perlu dibawa ketika mendaki selain sarung tangan, stokin, makanan ringan, minuman, ubat dan pakaian yang mudah kering selain ringan bagi memudahkan pergerakan.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika mendaki ialah perubahan suhu dan ketinggian akan menyebabkan pendaki merasa pening, loya dan muntah berpunca daripada mabuk gunung (AMS)

“Jika pendaki merasa sesak nafas dan kesejukan yang melampau, mereka perlu maklumkan kepada malim gunung supaya bantuan segera dapat diberikan kepada mereka,” kata Julaimin.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Modul khusus untuk sukarelawan hospital

SERDANG, 24 MAC: Akademi Hospital Ibadah di Hospital Pakar Al-Islam akan menyediakan modul yang khusus untuk sukarelawan hospital bagi memastikan mereka berilmu, mematuhi panduan ziarah pesakit, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) hospital untuk mengelakkan timbul masalah kepada pesakit dan hospital.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, modul dan latihan sukarelawan berkenaan akan diperkenalkan kepada sukarelawan hospital di hospital kerajaan dan swasta.

“Sukarelawan yang menjalani latihan yang dianjurkan oleh Akademi Hospital Ibadah melayakkan mereka menjadi seorang sukarelawan yang diiktiraf,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Sukarelawan Hospital Kebangsaan di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, melalui latihan yang diberi berdasarkan modul yang telah tersedia, perkhidmatan yang disumbangkan oleh sukarelawan akan lebih bersistematik.

“Ini dapat menarik minat masyarakat awam untuk turut sama menyumbang tenaga sebagai sukarelawan dan objektif pelaksanaan ‘1 Keluarga 1 Sukarelawan’ berjaya dicapai,” katanya lagi.

Jelas Dr Wan Azizah, peranan sukarelawan hospital masih baharu di Malaysia namun di negara barat ia merupakan satu program yang berkesan dalam membantu perjalanan hospital selain memberikan impak positif kepada pesakit dan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri turut menyeru pengarah hospital dan seluruh warga kerja hospital agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sukarelawan.

Jelasnya, selain hospital satu lagi tempat yang memerlukan sukarelawan ialah rumah jagaan orang tua. Hasil lawatannya ke sebuah rumah jagaan orang tua di Ipoh semalam mendapati hanya seorang tukang masak yang bertugas menyediakan makanan.

“Sukarelawan boleh membantu tukang masak menyediakan makanan seperti memotong dan membersihkan bahan mentah untuk dimasak,” katanya lagi.

SUMBER: BERNAMA

Selangor Desak Sekolah Tutup Jika Jerebu Cecah IPU 150

elizabeth pakai topeng muka budak jerebu 02

SHAH ALAM 25 JUN : Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong mempersoalkan arahan Kementerian Pelajaran yang hanya membenarkan sekolah ditutup sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300, iaitu paras merbahaya.

Elizabeth berkata adalah lebih munasabah jika sekolah dibenarkan tutup jika masalah jerebu melebihi paras 150 IPU iaitu pada tahap tidak sihat.

“Saya rasa tahap bacaan IPU 300 itu terlalu lambat, lebih baik jika bacaan mencecah 150 terus tutup sekolah kerana kita mesti faham paru-paru kanak-kanak tidak tahan seperti orang dewasa.

“Ini cadangan saya, mereka perlu lihat semula lebih baik tutup sekolah dan diganti persekolahan itu pada hari minggu daripada menjejaskan kesihatan pelajar,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengedarkan topeng muka kepada penduduk Bukit Lanjan di pasar pagi Desa Jaya di Petaling Jaya pagi ini.

Semalam, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) memaklumkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan supaya menutup sekolah sekiranya IPU berada ditahap  melebihi 300.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Persekutuan wajar mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) itu kerana ia akan memberi kesan kesihatan kepada pelajar.

Elizabeth berkata arahan kementerian tidak konsisten dengan tindakannya semalam di mana sekolah-sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor ditutup apabila paras IPU berada di bawah 200.

?Tindakan Kementerian untuk membuka semula sekolah-sekolah di negeri Selangor dan Kuala Lumpur adalah tidak wajar. Semalam keadaan di kebanyakkan tempat dibawah IPU 200 ditutup. Tetapi hari ini bacaan IPU melebihi 200, sekolah dibuka.

“Perkara ini sudah tentu akan merisaukan ibu bapa dan guru,” katanya ketika ditemui di program pemberian topeng muka kepada orang ramai di Bukit Lanjan.

Pada pagi ini, kualiti udara di Pelabuhan Klang, Selangor kini dikategorikan sebagai bahaya apabila bacaan IPU mencatatkan 495 setakat 8 pagi.

Portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melaporkan empat kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya, Banting, Shah Alam dan Kuala Selangor mencatat IPU sangat tidak sihat dengan bacaan lebih 200.

Elizabeth turut memaklumkan Kerajaan Negeri sudah mengedarkan sebanyak 250,000 topeng muka kepada penduduk Selangor termasuk ke sekolah-sekolah kerana mendapat permintaan yang tinggi.