Iskandar Tawar Pemaju Bina Rumah Mampu Milik Di Selangor

iskandar-samad-pink-01

SHAH ALAM 18 DIS : Untuk memenuhi permintaan Rumah Mampu Milik(RMM), Kerajaan Negeri membuka peluang kepada pihak pemaju mengemukakan permohonan membina rumah tersebut bagi menggantikan Rumah Kos Rendah yang mereka perlu bina.

Bagaimanapun, Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad menegaskan kelulusan kepada pemaju tertakluk mengikut syarat yang mesti dipenuhi dan diluluskan oleh Mesyuarat Exco.

“Permohonan akan diluluskan sekiranya kurang permintaan atau kurang permintaan untuk Rumah Kos Rendah di sesuatu kawasan itu.

“Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut,” jelas Iskandar dalam satu kenyataan medianya.

Mesyuarat Exco akan mengambil kira laporan teknikal daripada Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenai sesuatu permohonan.

Berdasarkan ulasan-ulasan teknikal itu, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan permohonan tersebut.

“Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat.

“Jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS sekalipun, ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco yang dibuat secara ‘collective’ dan bukan berdasarkan keputusan Exco Perumahan sahaja,” tegasnya lagi.

RMM Selangor dijual pada harga sekitar RM85,000 hingga RM120,000 dengan keluasan antara 850 hingga 1,000 kaki persegi di samping rekabentuk berkonsepkan ‘green building’.

Pemaju juga perlu mengambil kira penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi termasuk untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya(OKU), mengenakan kos penyelenggaraan yang murah dan keuntungan yang tidak melebihi sepuluh peratus.

 

Categories
SELANGOR

PKNS Terima Keputusan MBPJ Tolak Bangunkan Kompleks Sukan SS7

 

SHAH ALAM, 14 JUN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menolak permohonan PKNS untuk membangunkan semula Kompleks Sukan SS7, Kelana Jaya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Setempat (OSC).

Perkara itu dinyatakan Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TV Selangor semalam.

?PKNS menyokong keputusan Majlis untuk membenarkan jawatankuasa audit dan tadbir urus korporat bebas bagi meneliti percanggahan pada Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2),? katanya.

Beliau berkata, PKNS akan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa berkenaan dan Lembaga Rayuan Selangor yang akan menjalankan pendengaran bebas berhubung isu tersebut.

Menurutnya lagi, Ahli Perbadanan PKNS akan membuat keputusan muktamad berhubung projek pembangunan ini selepas jawatankuasa bebas mengemukakan hasil siasatan mereka.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan percanggahan pada kedua-dua rancangan tempatan yang dikemukakan MBPJ dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) adalah sesuatu yang serius dan akan memberi kesan kepada PKNS serta pemaju-pemaju lain.

?Kami memohon MBPJ dan Lembaga Rayuan Selangor untuk menyiasat perkara ini dengan teliti dan membuat pengumuman terbuka hasil daripada siasatan berkenaan. PKNS juga akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dan pihak yang berkaitan,? ujarnya.

Penduduk SS 7, Kelana Jaya sebelum ini membantah pembangunan di atas padang kompleks sukan berkenaan kerana ia bukan sahaja sudah digazetkan sebagai kawasan lapang, malah mendakwa akan turut menyebabkan masalah kesesakan trafik di kawasan berkenaan jika hasrat itu diteruskan.

Sementara itu, MBPJ dalam satu kenyataan lain memaklumkan tidak akan memberi kebenaran kepada PKNS untuk meneruskan pembangunan di atas tapak padang kompleks sukannya di Kelana Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, ia adalah susulan hasil mesyuarat OSC yang bersidang baru-baru ini, sebulat suara menolak permohonan pembangunan bercampur yang dihantar PKNS pada 8 Jun lalu.