Categories
KENYATAAN MEDIA

Respon siasatan SPRM isu Jana Niaga

Berikutan laporan siasatan yang dimulakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Unisel dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) pada hari ini, Kerajaan Negeri Selangor, termasuklah pihak Unisel dan MBI, bersedia memberi kerjasama penuh dengan pihak SPRM agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pendekatan penyelesaian pertikaian yang diambil oleh Jana Niaga dan Unisel adalah diputuskan di peringkat Lembaga Pengarah.

Setiap proses yang dilaksanakan telah diambil dengan mengutamakan kepentingan universiti dan terutamanya pelajar.

Oleh itu, kami serahkan kepada pihak SPRM untuk melakukan siasatan ke atas perkara ini, dan pada masa yang sama akan memberikan segala bukti serta keterangan yang diperlukan.
NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan serbuan SPRM

Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu Universiti Selangor (UNISEL) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) hari ini.

Ia secara terang-terangan menunjukkan tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej Kerajaan Negeri Selangor yang tuntas berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Meskipun Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan siasatan oleh SPRM berhubung laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak terhadap Kerajaan Negeri, SPRM dituntut supaya menyiasat secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh tekanan politik.

Tekanan politik terhadap SPRM hanya menyebabkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah ini terhakis dan tercalar.

Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung apa jua siasatan yang dilakukan dan pada masa sama, tegas mempertahankan prinsip kebertanggungjawaban dan integriti dalam urus tadbir Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikatnya.

YB Nik Nazmi Bin Nik Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi pada 25 Julai 2017 dan 27 Julai 2017 berhubung dakwaan terhadap isu Jana Niaga Sdn Bhd.

Tindakan Kerajaan Negeri Selangor berhubung perkara ini adalah berdasarkan keputusan mahkamah, yang mana pihak yang terbabit telah bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah.

Penyelesaian yang dimuktamadkan antara UNISEL dan Jana Niaga Sdn Bhd adalah berdasarkan urus tadbir yang baik dan langsung tidak membabitkan Dato’ Seri Menteri Besar Selangor secara peribadi atau atas kapasiti individu yang membuat keputusan penyelesaian pertikaian berkenaan.

YIN SHAO LOONG
Pengarah Komunikasi Strategik
Pejabat Menteri Besar Selangor