Categories
SELANGOR

Harga rumah di Sabak Bernam masih mampu milik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MEI: Kebanyakan harga rumah di Sabak Bernam berpatutan dan masih dalam kategori mampu milik, kata Penilai Daerah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Klang, Faziah Abd Rasid.

Faziah berkata, berdasarkan kajian pemasaran harga rumah pada 2017-2018, nilai jualan rumah di Sabak Bernam adalah pada paras normal sekitar RM150,000 sehingga RM200,000.

“Jika diikutkan harga itu masih mampu milik untuk masyarakat di Sabak Bernam dan rakyat Malaysia khususnya.

“Manakala, rumah teres dua tingkat di Sabak Bernam pula masih mampu milik kerana tidak melebihi RM300,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam sesi pendengaran awam berkenaan isu projek Pembangunan Perumahan di Taman Air Manis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit yang tiada gerak kerja sejak 10 tahun lalu.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Perancangan asal pembangunan terbabit adalah berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

 

SELCAT : Dua exco dipanggil beri keterangan, 23 Feb ini


Dr Daroyah Alwi dan Ean Yong Hian Wah antara yang dipanggil beri keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) berkenaan wabak denggi di Selangor.