Categories
NASIONAL

PAS JI, DAP Komunis Dakwaan Liar

SHAH ALAM 24 JULAI : Dakwaan liar tanpa bukti yang mengaitkan PAS dengan gerakan JI dan DAP dengan komunisme amat dikesali serta tidak wajar berlaku.

Sambil menafikan sekerasnya penglibatan Pakatan Rakyat (PR) dengan gerakan ekstremis tersebut, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan yang dibuat oleh seorang pegawai cawangan khas Bukit Aman (SB) itu juga dilihat sebagai sangat meragukan.

“Kami memandang ia sebagai dakwaan ‘bias’ dan berat sebelah serta sama sekali tidak patut didedahkan kepada umum tanpa memaklumkan dahulu kepada pihak kami.

“Jika benar seperti didakwa mengapa tidak disertakan bukti serta senarai pemimpin yang terlibat untuk diambil tindakan, namun sebaliknya beliau bertindak mendedahkan kepada umum.

“Ia seolah-olah menunjukkan pihak Cawangan Khas bekerja untuk Umno-BN dalam usaha terdesak menakut-nakutkan rakyat terhadap Pakatan menjelang PRU ke 13 nanti,” jelasnya yang dihubungi melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau memohon agar cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dijadikan alat oleh parti pemerintah untuk kepentingan politik mereka.

Sementara itu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Mohd Nasir Hashim ketika dihubungi TVSelangor memberitahu beliau tidak dapat mengulas lanjut selagi dakwaan tersebut tidak disertakan bukti kukuh.

“Pakatan Rakyat sering menjadi mangsa permainan sebegini, jadi saya mohon agar tuduhan atau dakwaan kali ini disertakan bukti dan bukan sekadar dakwaan kosong yang senang-senang dilemparkan.

“Jika beliau tidak dapat menyertakan bukti kukuh atau didapati dakwaan tersebut tidak benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap pegawai SB itu atas dakwaan yang mampu mencetus keadaan bimbang di kalangan rakyat,” tegasnya yang juga Adun Kota Damansara.