Categories
NASIONAL

PAS JI, DAP Komunis Dakwaan Liar

SHAH ALAM 24 JULAI : Dakwaan liar tanpa bukti yang mengaitkan PAS dengan gerakan JI dan DAP dengan komunisme amat dikesali serta tidak wajar berlaku.

Sambil menafikan sekerasnya penglibatan Pakatan Rakyat (PR) dengan gerakan ekstremis tersebut, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan yang dibuat oleh seorang pegawai cawangan khas Bukit Aman (SB) itu juga dilihat sebagai sangat meragukan.

“Kami memandang ia sebagai dakwaan ‘bias’ dan berat sebelah serta sama sekali tidak patut didedahkan kepada umum tanpa memaklumkan dahulu kepada pihak kami.

“Jika benar seperti didakwa mengapa tidak disertakan bukti serta senarai pemimpin yang terlibat untuk diambil tindakan, namun sebaliknya beliau bertindak mendedahkan kepada umum.

“Ia seolah-olah menunjukkan pihak Cawangan Khas bekerja untuk Umno-BN dalam usaha terdesak menakut-nakutkan rakyat terhadap Pakatan menjelang PRU ke 13 nanti,” jelasnya yang dihubungi melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau memohon agar cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dijadikan alat oleh parti pemerintah untuk kepentingan politik mereka.

Sementara itu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Mohd Nasir Hashim ketika dihubungi TVSelangor memberitahu beliau tidak dapat mengulas lanjut selagi dakwaan tersebut tidak disertakan bukti kukuh.

“Pakatan Rakyat sering menjadi mangsa permainan sebegini, jadi saya mohon agar tuduhan atau dakwaan kali ini disertakan bukti dan bukan sekadar dakwaan kosong yang senang-senang dilemparkan.

“Jika beliau tidak dapat menyertakan bukti kukuh atau didapati dakwaan tersebut tidak benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap pegawai SB itu atas dakwaan yang mampu mencetus keadaan bimbang di kalangan rakyat,” tegasnya yang juga Adun Kota Damansara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penyanyi Antara Penerima Geran di Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM, 1 JULAI : Penyanyi pop yeh yeh, Datuk Jefrydeen Imbrom Soekaman, adalah antara 20 penerima surat hakmilik tanah daripada Kerajaan Selangor di Kampung Melayu Subang Tambahan di sini hari ini.

Beliau yang menetap di kampung tersebut sejak 1996 mengucapkan rasa syukur kerana impiannya bagi memiliki hak kepada tanah yang diduduki akhirnya tercapai.

“Saya berasa syukur dan gembira kerana menunggu lebih 10 tahun dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin akan masalah ini serta meluluskan permohonan saya.

Sebelum ini saya pernah memohon beberapa kali sejak 1999 tetapi gagal,” kata penyanyi 65 tahun yang popular dengan lagu “Kenanganku”.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Penduduk kampung tersebut di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dihadiri Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Rodziah Ismail, serta ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.

Seorang lagi penerima, Che Nah Salleh, 60, berkata pemberian hakmilik itu adalah bukti Kerajaan Negeri amat mengambil berat akan kebajikan rakyat di Selangor.

Pesara kakitangan kerajaan itu pernah membuat permohonan hakmilik pada zaman pentadbiran Umno-BN tetapi keputusannya menghampakan.

“Selepas 2008 barulah segalanya berubah dan akhirnya masalah ini dapat diselesaikan. Memang saya gembira dengan anugerah ini,” kata ibu tunggal lima anak yang kematian suami pada 1981 itu.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mendapati masih ramai penduduk di sesuatu kawasan penempatan di Selangor yang masih tidak dapat hakmilik.

Ini kerana mereka adalah terdiri dari penduduk yang telah mendiami kawasan perumahan tersebut dalam tempoh yang lama.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri telah meminta Pegawai Daerah dan Pejabat Tanah untuk menyelesaikan masalah ini.

Walaupun masanya agak lama untuk selesai, iaitu lebih dari setahun, tetapi saya rasa bila sudah diselesaikan, ia memberikan ketentuan kepada pemiliknya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Janji MB Tertunai, MBPJ Baiki Lif, Pam Air Di Kota Damansara dan Putra Damai

KOTA DAMANSARA 5 JUN : ‘Janji’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditunaikan apabila lif dan pam air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara dan Putra Damai di sini berjaya dibaiki.

Oktober tahun lalu Menteri Besar melawat kawasan berkenaan dan berjanji menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

Sejumlah RM3.2 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membaiki kemudahan ini dan bermula pertengahan November tahun lalu melibatkan 12 unit lif bagi PPR Kota Damansara, sementara 17 unit lif untuk PPR Putra Damai.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, kerja-kerja baikpulih itu siap sepenuhnya pada April lalu selepas mendapat arahan daripada Menteri Besar.

“Lawatan hari ini adalah susulan daripada lawatan yang dilakukan Menteri Besar semasa melawat kedua-dua PPR ini untuk meninjau masalah utama iaitu lif.

“Beliau kemudiannya mengarahkan MBPJ untuk segera melakukan kerja-kerja baikpulih di mana kos bagi kesemua lif untuk kedua-dua PPR adalah RM2.9 juta, sementara kos membaiki pam air adalah lebih RM285,000,” katanya.

Iskandar berkata, demikian semasa mengadakan lawatan di PPR Seksyen 8, Kota Damansara di sini bagi meninjau keadaan lif dan pam air yang siap dibaikpulih.

Lawatan itu turut disertai Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPJ, Cheremi Tarman serta Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kota Damansara, Johari Nander.

Selain baikpulih, tambahnya, MBPJ turut menyediakan penghadang di bilik motor lif supaya insiden kecurian kabel tidak lagi berlaku seperti sebelum ini.

Beliau berkata, penempatan dua orang pengawal keselamatan juga dilaksanakan sebagai langkah keselamatan di kawasan pangsapuri berkenaan.

Dalam pada itu, Iskandar turut mengingatkan penduduk supaya menjaga kemudahan yang diberikan dengan baik kerana ia dibaiki dengan kos yang tinggi.

“Untuk atasi vandalisme, saya berharap Adun di kawasan ini dapat menganjurkan program komuniti untuk menanam sifat tanggungjawab di kalangan penduduk bagi menjaga kemudahan yang ada.

“Penduduk jangan merasakan bahawa lif ini adalah hak milik kerajaan dan tidak perlu dijaga. Sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penduduk boleh sama-sama menghalang atau ambil tindakan,” ujarnya.