Categories
AGENDA NASIONAL

Polis rampas dadah pil captagon nilai RM221 juta

PELABUHAN KLANG, 8 APRIL: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas 650 kilogram dadah jenis pil captagon atau dikenali sebagai ‘dadah jihad’ bernilai lebih RM221.86 juta di Pelabuhan Klang, Isnin lepas.

Pengarah JSJN Datuk Razarudin Husain berkata rampasan kedua dadah jenis tersebut di Malaysia itu adalah hasil perkongsian maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

“Dadah itu telah dibawa dari negara Timur Tengah dan singgah di Pelabuhan Klang sebelum dirancang untuk menuju ke negara-negara Asia Barat untuk memenuhi permintaan pasaran di sana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata susulan hasil maklumat risikan tersebut pihaknya telah berjaya mengesan sebuah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini pada Ahad lepas.

“Maklumat risikan mendedahkan sebuah kontena daripada kapal tersebut akan dipindahkan ke kapal lain yang akan meneruskan perjalanan ke Singapura pada 6 April,” katanya.

Razarudin berkata dadah yang disimpan di dalam aluminium floor spring itu berjaya dikesan pihak berkuasa melalui hasil imbasan yang menimbulkan imej yang mencurigakan.

Namun katanya tiada tangkapan dibuat dalam operasi tersebut dan JSJN dan pihak berkuasa Arab Saudi akan terus bekerjasama untuk menangkap pihak yang terlibat.

Menurutnya pil itu pada mulanya digunakan oleh Jerman untuk membesarkan otot seawal 1960-an namun telah diharamkan penggunaannya di Amerika Syarikat dan Eropah itu pada 1980-an kerana dikategorikan sebagai dadah.

Razarudin berkata dadah yang mempunyai kandungan amfetamina dan fenethylline itu biasanya digunakan oleh militan Daesh untuk menimbulkan rasa berani dan kini mula digunakan di pusat-pusat hiburan, namun katanya dadah tersebut masih belum memasuki pasaran Malaysia.

“Kita tidak mahu Malaysia dijadikan negara transit dadah dan mahu menyekat dadah ini dari masuk ke dalam negara ini,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

JIPS: Banyak aduan dakwa polis tidak ambil tindakan sindiket dadah, judi

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima banyak aduan daripada orang awam mendakwa segelintir pegawai dan anggota polis tidak menjalankan tanggungjawab sebagai penguat kuasa undang-undang di negara ini.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata antara kes yang didakwa tidak diambil tindakan adalah berkaitan sindiket pengedaran dadah dan perjudian.

Beliau berkata antaranya melibatkan kesalahan tidak melaporkan dan tiada tindakan diambil terhadap kes-kes jenayah dilapor oleh orang awam dengan mendiamkan diri serta membiarkan kawasan tadbiran mereka berleluasa dengan sindiket berkenaan.

“Sebagai contoh terdapat segelintir Ketua Polis Daerah (KPD) yang berpakat dan bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah dan perjudian dengan mengambil habuan tertentu.

“Apabila ada orang awam melaporkan terdapat kegiatan sedemikian (pengedaran dadah dan perjudian), KPD yang menjaga kawasan di bawah pentadbiran masing-masing menafikan menerima aduan atau laporan daripada orang awam,” katanya kepada Bernama.

Zamri berkata isu salah laku dan masalah integriti dalam kalangan anggota dan pegawai masih berterusan walaupun banyak tindakan tatatertib telah diambil sejak 1986.

Beliau berkata habuan sindiket berkenaan dikatakan semakin meningkat mengikut peredaran zaman.

“Jika dahulu, kita hanya ada nombor ekor (tanpa lesen) dan zaman sekarang banyak perjudian dalam talian dan duit yang ditawarkan juga tinggi serta banyak pusat hiburan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota jabatan itu yang didapati terlibat dengan sindiket dadah, sama ada secara langsung mahupun tidak.

“Saya tidak boleh nafikan ada anggota polis yang terlibat penjualan ketum…kami ada terima laporan berhubung perkara ini dan anggota ini akan dituduh di mahkamah.

“…dan tindakan itu bukan sampai di situ sahaja, JIPS juga akan mengambil tindakan sehingga mereka ini boleh dibuang kerja,” katanya dalam nada tegas.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bukit Aman bantu tugas Op Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 14 APRIL: Polis Selangor menerima bantuan anggota tambahan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman.

Menurut hantaran di Facebook Polis Selangor, bantuan sumber manusia itu bagi memperkasakan penugasan Op Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

“Bantuan sumber manusia ini adalah untuk menambah kekuatan di Polis Kontinjen Selangor bagi penugasan di lapangan yang melibatkan sekatan jalan raya.

“Ini selaras persiapan bagi menghadapi PKP yang memasuki fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April 2020,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menyampaikan amanat kepada pegawai kanan dan anggota JSJN Bukit Aman yang terbabit dalam penugasan itu di Dewan Utama IPK Selangor, pagi tadi.