Categories
NASIONAL SELANGOR

Integriti Dan Ketelusan Jadikan PKNS Lebih Baik

mb integriti PKNS 02

SHAH ALAM 9 JULAI : Pelaksanaan integriti dan ketelusan serta urus tadbir yang baik akan menjadikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) makin baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Kalid Ibrahim berkata, PKNS akan mendapat nilai tambahan jika berjaya melaksanakan konsep ‘transparency’ di dalam perkhidmatannya.

Menurut Abdul Khalid, berdasarkan pengalamannya sewaktu di dalam bidang korporat dahulu, mengamalkan urus tadbir yang baik tidak menjadi penghalang untuk lebih berjaya.

“Saya berjaya ketika di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Guthrie kerana mengamalkan integriti dalam kerja,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ucapan perasmian Persidangan ‘A Conference On Integrity And Good Corporate Governance In Public And Private Sector’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Persidangan sehari ini memberi tumpuan kepada elemen integriti dapat membantu kejayaan sesebuah organisasi.

Dalam pada itu, PKNS melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkukuhkan struktur pengurusan ke arah sistem pengurusan dan pentadbiran yang lebih baik dan mengurangkan karenah birokrasi.

Antara inisiatif berkenaan ialah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti (JKTI), Bahagian Perolehan, Bahagian Pengurusan Organisasi dan Integriti dan mengeluarkan pekeliling polisi tidak menerima hadiah dan hospitaliti atau ‘No gift policy’.