Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN cadang agihan Ehsan ASB dikekal, tumpu golongan B40

SHAH ALAM, 23 DIS: Pemberian dividen khas bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) perlu dikekalkan dengan keutamaan kepada akaun golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Wakil rakyat Setiawangsa berkata langkah itu bagi memastikan golongan terbabit mendapat keuntungan lebih tinggi berbanding pemegang unit yang memiliki jumlah pelaburan besar.

Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan hampir 80 peratus atau 7.4 juta pemegang unit ASB mempunyai unit kurang RM5,000 pada 2018 sementara 0.24 peratus memiliki RM500,001 dan ke atas.

Menurutnya, pemegang unit ASB dalam kalangan B40 hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.

“Pendekatan ASB selama ini relevan ketika penubuhannya dahulu tetapi perlu ada penyesuaian agar penerima manfaat terbesar adalah golongan Bumiputera B40 dan M40,” katanya yang juga ketua pengelola setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam kenyataan.

“Saya berasa tiba masanya untuk Permodanan Nasional Berhad (PNB) menjadikan pemberian dividen bertingkat sebagai dasar tetap bagi akaun B40 dan M40 seperti dilaksana Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura.”

PNB hari ini mengumumkan agihan pendapatan 5.0 sen seunit untuk dana unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 30 Disember 2020.

Pendapatan merangkumi 4.25 sen seunit dan agihan Ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama sempena ulang tahun ke-30 ASB.

Categories
AGENDA NASIONAL

PNB umum dividen ASB 4.25 sen, agihan Ehsan 0.75 sen

SHAH ALAM, 23 DIS: Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan bayaran agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Ini membabitkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan tambahan pembayaran Ehsan sebanyak 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama ASB yang dimiliki oleh pemegang.

Ketika mengumumkannya, Pengerusi PNB Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyifatkan prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah lain dan terus menjadi pilihan yang baik untuk individu dengan profil risiko rendah serta menyasarkan pelaburan jangka panjang.

“Sejak beberapa tahun ini, pengagihan pendapatan ASB kekal kompetitif walaupun (indeks petunjuk utama) FBM KLCI mencatat prestasi negatif dalam tempoh lima tahun daripada enam tahun ini,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya di sini, hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PNB lancar aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan Raiz, aplikasi mudah alih pelaburan mikro pertama Malaysia, yang membolehkan rakyat negara ini melabur dengan nilai bermula serendah RM5.

Semasa pelancaran Raiz secara maya hari ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata pihaknya menyasarkan lebih 60,000 pendaftaran bagi aplikasi itu menjelang akhir 2020 dan ia kini mempunyai 15,000 pengguna.

Aplikasi inovatif itu dibangunkan oleh Raiz Malaysia Sdn Bhd, syarikat usaha sama 30:70 di antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn Bhd dengan Raiz Invest Australia Ltd (Raiz Invest) iaitu unit Raiz Invest Ltd yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX).

Beliau berkata warga Malaysia boleh memuat turun, mendaftar dan menggunakan aplikasi itu untuk mula melabur dengan nilai serendah RM5 dalam akaun masing-masing.

“Ini merupakan perkembangan semula jadi bagi usaha capaian PNB untuk memastikan produk unit amanah kami boleh diakses secara mudah oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata aplikasi itu merupakan satu lagi inisiatif yang memanfaatkan pengalaman digital untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan dan melabur.

“Susulan pelancaran aplikasi Raiz, dan dengan lebih 90 peratus rakyat Malaysia kini menggunakan telefon pintar, ini bermakna hampir semua orang boleh mula melabur secara mudah menerusi kaedah ini.

“Seperti kata peribahasa, berdikit-dikit lama-lama menjadi bukit. Dalam era teknologi masa kini, kita tidak perlu lagi menyimpan duit dalam tabung syiling, sebaliknya, kita dapat melakukannya dengan Raiz,” katanya dalam ucapan.

Beliau berkata untuk memudahkan usaha itu, Raiz Malaysia telah memeterai perkongsian eksklusif dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk membolehkan pengguna aplikasi Raiz menghubungkan aplikasi itu dengan kad debit Maybank masing-masing.

“Pada peringkat awal, kami bermula dengan Maybank memandangkan capaiannya kepada pelanggan adalah luas.

“Tahun depan, Raiz akan tersedia untuk kerjasama dengan bank lain dan kami mengalu-alukan lebih banyak kerjasama daripada institusi perbankan dan penyedia e-dompet lain untuk menjadi sebahagian usaha ini, kerana agenda kita ialah menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan dan melabur walaupun dalam nilai wang yang kecil,” katanya.

PNB menerusi kenyataan berasingan berkata Raiz merupakan aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) secara proaktif berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing.

“Ia adalah cara unik untuk pengguna memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan dengan bakinya boleh disimpan dan dilabur,” katanya.

Selain daripada pelaburan yang dibundarkan, pengguna boleh memilih untuk melabur secara pelaburan sekali gus dan pelaburan berulang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PNB: Salur idea belia dalam operasi

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Kalangan korporat, perniagaan dan organisasi perlu mewujudkan pendekatan tepat dan sesuai untuk membolehkan idea sentiasa dicetuskan serta disalurkan dalam operasi, terutama daripada bakat muda.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Jalil Rasheed berkata Malaysia memiliki tenaga kerja yang menyerlah dan bijak seperti dilihat dalam kalangan diaspora Malaysia luar negara.

“Kita mungkin telah ‘mengeksport’ (sejumlah) bakat terbaik di dalam dunia. Lihatlah diaspora kita di luar negara, mereka melaksanakan tugas dengan baik di sana.

“Justeru, saya berpendapat, kita perlu memikirkan sama ada kalangan organisasi kita hari ini telah distrukturkan dengan baik untuk membolehkan idea sentiasa dihasilkan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi anggota panel bagi tajuk ‘Agenda Korporat: Pencetus Perubahan Merevolusikan Industri Malaysia’ pada Forum Ekonomi Belia 2019 di sini, hari ini.

Forum sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Alumni Perdana Felow.

Jalil, yang menerajui pengurus dana terbesar negara, PNB, berkuat kuasa 1 Oktober lalu berkata organisasi hari ini masih bergerak secara tradisional dan beroperasi secara berasingan.

“Saya rasa itulah masalah yang lebih besar. Bagi saya, ia mengenai langkah melonggarkan hierarki, menjadikannya fleksibel, inilah yang sebenarnya saya cuba laksanakan dalam tempoh enam minggu lalu sejak saya memegang jawatan itu — cuba untuk tidak menekankan hierarki tersebut dan berusaha untuk memastikan semua idea dapat disalurkan.

“Idea yang terhasil lazimnya menerusi banyak usaha berkaitan teknologi yang kita usahakan adalah daripada golongan muda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata antara cabaran yang dihadapi CEO ialah menggabungkan tenaga kerja muda dan lama di tempat kerja berikutan jangkaan dan pengalaman yang berbeza.

“Antara cabaran sebagai CEO ialah anda perlu mewujudkan infrastruktur dengan tenaga kerja muda berpandangan mereka juga berhak dalam menentukan hala tuju masa depan syarikat dan mereka mempunyai peluang untuk membuat perubahan.

“Bagaimanapun pada masa sama, dalam menguruskan kumpulan tenaga kerja yang lebih berusia, mereka merasa agak tergugat ketika ini berikutan teknologi selain tenaga kerja muda pula mempunyai pendapat serta pandangan yang berbeza,” katanya.

Korporat, perniagaan dan organisasi boleh mengalami prestasi buruk sekiranya mereka tidak dapat menguruskan jurang tersebut dengan memahami kelompok generasi ini dalam persekitaran kerja mereka, katanya.

“Contohnya, lihatlah industri media pada hari ini, berapa syarikat telah mengalami masalah dan kesukaran sehingga ada membawa kepada penutupan operasi, kerana mereka tidak mempedulikan perkara ini. Agak pelik memandangkan pelanggan mereka adalah Generasi Y dan mereka tidak mengambil berat mengenai apa yang berlaku dengan Generasi Y.

“Mereka sama sekali terus (beroperasi dalam) industri dan ia seperti syarikat pada 20 tahun lepas. Ini merupakan cabaran besar, dan apabila kita bercakap mengenai perubahan pemikiran, saya berpandangan kita perlu bermula dengan lembaga pengarah terlebih dahulu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM: PNB jangan salah guna kuasa, jaga amanah pelabur

SUNGAI PETANI, 21 APRIL: Kepimpinan dan pengurusan Permodalan Nasional Bhd (PNB) diingatkan supaya tidak leka menunaikan tanggungjawab dan menjaga amanah dalam mendukung harapan serta aspirasi pelabur.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tanggungjawab PNB amat berat kerana pelaburnya sentiasa mengharapkan pulangan baik untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, salah guna kuasa dalam tadbir urus, kemerosotan integriti, penyelewengan dan rasuah serta ketirisan seperti yang berlaku dalam institusi pelaburan lain perlu dielakkan dalam PNB.

“(Jika berlaku) akhirnya kerajaan terpaksa campur tangan, tapi ia bukanlah satu penyelesaian kerana imej yang tercalar tidak mudah untuk diperbaiki dan keyakinan rakyat khususnya pelabur tidak mudah dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi rakaman video pada perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika berlaku penyelewengan dalam PNB, maruah bangsa juga akan tercalar selamanya kerana peranan PNB bukan hanya terhad untuk kepentingan ekonomi semata-mata malah turut meliputi kepentingan sosial.

“PNB banyak menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang memberi impak tinggi kepada masyarakat yang berteraskan pendidikan sehingga kepada penajaan melalui pemberian biasiswa, kebajikan dan lain-lain sumbangan yang memberi manfaat signifikan kepada pelbagai lapisan masyrakat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pencapaian PNB itu adalah merupakan manifestasi profesional PNB dalam menggembleng pelaburan rakyat yang setia dan memberi kepercayaan kepada PNB.

“Ia tidak mungkin akan dicapai sekiranya PNB tidak menjalankan tanggungjawab dengan berintegriti dan amanah,” katanya.

Katanya, PNB berjaya mengumpul dan mengembangkan asetnya sehingga mencecah RM298.5 bilion dengan jumlah 13.8 juta pemegang akaun yang membawa nilai aset sebanyak RM236.6 bilion.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua lapisan rakyat mengambil peluang untuk mengunjungi MSAM bagi mendapatkan pendedahan mengenai cara mengurus kewangan dan pelaburan dengan bijak di samping memahirkan diri dengan teknologi dalam urusan kewangan.

Katanya sejak edisi pertama MSAM 20 tahun lalu, penganjurannya menerima lebih 3.8 juta pengunjung secara kumulatif termasuk masyarakat dari luar bandar. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zeti Aziz dilantik Pengerusi PNB, mula tugas 1 Julai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JUN: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik menjadi Pengerusi dalam Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 1 Julai ini.

Berdasarkan kenyataan rasmi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), pelantikan Dr Zeti bagi menggantikan penyandangnya sebelum ini, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang akan bersara berkuat kuasa pada 30 Jun.

Sebelum ini, Dr Zeti merupakan salah seorang Ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang diamanahkan untuk memberi nasihat kepada Kerajaan berkenaan ekonomi dan kewangan.

Bagaimanapun, Lembaga Pengarah YPB dan PNB mengalu-alukan pelantikan Dr Zeti serta yakin bahawa pengalaman beliau yang luas itu mampu memberikan kepimpinan kukuh kepada Kumpulan PNB.

Malah, PNB juga yakin Dr Zeti mampu mencapai mandat asasnya untuk memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Lembaga Pengarah PNB mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sepanjang berkhidmat di Kumpulan PNB sejak pelantikannya pada Ogos 2016.

Memetik kenyataan itu, Abdul Wahid sudah banyak mengukir pelan hala tuju untuk PNB demi mencapai tiga mandat yang komprehensif, pulangan mampan dan meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera.

Manakala, Datuk Dr Awang Adek Hussin juga akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research mulai 30 Jun ini.

Dalam kenyataannya PNB berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mulai 28 Jun.

Sesuai dengan pelantikan itu, katanya, Lembaga Pemegang Amanah YPB disusun semula dengan memasukkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Azmin Ali, Zeti dan bekas bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

PNB perlu batal hasrat jual saham KESAS kepada GAMUDA

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 3 JAN: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) mendesak supaya Permodalan Nasional Berhad (PNB) membatalkan hasrat menjual pegangan saham Kesas Holding kepada GAMUDA bagi menghalang kenaikan tol di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Ketuanya, Syarhan Humaizi Halim, berkata selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertindak untuk tidak menandatangani perjanjian jual beli itu demi memastikan hak dan kebajikan rakyat terpelihara.

imageBeliau berkata, jika kerajaan pusat ikhlas untuk menjaga kebajikan rakyat, maka tindakan PNB itu perlu dihalang kerana ia dilihat ‘green light’ kepada syarikat konsesi menaikkan kadar tol sewenang-wenangnya.

“PNB bertindak menerima tawaran daripada GAMUDA itu sebagai cubaan mengaut keuntungan tanpa memikirkan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat.

“Kami berpandangan kerajaan pusat melalui PNB harus bekerjasama dengan kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghalang kenaikan harga tol.

“Jika PNB di pihak PKNS, maka pegangan 50 peratus saham mereka mampu menghalang kenaikan harga. Jika PNB jual, ini menjadikan GAMUDA memiliki 70 peratus saham berbanding PKNS 30 peratus,” katanya dalam laman Facebook, di sini, hari ini.

Syarhan berkata, tindakan PNB itu menunjukkan kerajaan pusat tidak prihatin dengan masalah peningkatan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat dan lebih mementingkan keuntungan kroni.

“Keperitan rakyat khususnya pengguna lebuh raya bakal menjadi lebih parah lagi selepas GAMUDA memuktamadkan tawaran pembelian pegangan lain dalam Kesas Holding Bhd,” katanya.

Baru-baru ini, Amcorp Properties Bhd dan PNB bersetuju untuk menjual keseluruhan pegangan 20 peratus masing-masing kepada GAMUDA dan menjadikan komposisi sahamnya 70 peratus dan PKNS 30 peratus.

Hal itu, menunjukkan PKNS akan memiliki saham minoriti, sekali gus mengurangkan kuasa untuk menghalang kenaikan kadar tol oleh KESAS.

Menurut laporan Maybank Investment Bank Research November 2013, KESAS mencatatkan peningkatan kenderaan lima peratus setiap tahun membabitkan 490,000 penguna setiap minggu dengan menyumbangkan keutungan berganda 121 peratus antara tahun 2008 hingga 2012.

Sebelum ini, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat Selangor akan menggunakan pegangan saham di lebuh raya KESAS, Sprint dan Damansara-Puchong untuk menolak kenaikan tol seperti yang diumumkan Barisan Nasional.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Integriti Dan Ketelusan Jadikan PKNS Lebih Baik

mb integriti PKNS 02

SHAH ALAM 9 JULAI : Pelaksanaan integriti dan ketelusan serta urus tadbir yang baik akan menjadikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) makin baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Kalid Ibrahim berkata, PKNS akan mendapat nilai tambahan jika berjaya melaksanakan konsep ‘transparency’ di dalam perkhidmatannya.

Menurut Abdul Khalid, berdasarkan pengalamannya sewaktu di dalam bidang korporat dahulu, mengamalkan urus tadbir yang baik tidak menjadi penghalang untuk lebih berjaya.

“Saya berjaya ketika di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Guthrie kerana mengamalkan integriti dalam kerja,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ucapan perasmian Persidangan ‘A Conference On Integrity And Good Corporate Governance In Public And Private Sector’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Persidangan sehari ini memberi tumpuan kepada elemen integriti dapat membantu kejayaan sesebuah organisasi.

Dalam pada itu, PKNS melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkukuhkan struktur pengurusan ke arah sistem pengurusan dan pentadbiran yang lebih baik dan mengurangkan karenah birokrasi.

Antara inisiatif berkenaan ialah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti (JKTI), Bahagian Perolehan, Bahagian Pengurusan Organisasi dan Integriti dan mengeluarkan pekeliling polisi tidak menerima hadiah dan hospitaliti atau ‘No gift policy’.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Undi Pakatan Hapus Tol Lebuhraya, Undi Umno-BN Dapat Dua Lagi Lebuhraya Tol

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01

KUALA LUMPUR, 11 APR : PAS mendakwa Umno-BN telah memetrai beberapa perjanjian projek pembinaan lebuh raya baru yang disembunyikan bagi meredakan sentimen pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, kerajaan Umno-BN hampir memuktamadkan dua perjanjian untuk lebuhraya bertol walaupun projek tersebut belum diumumkan.

Dua lebuhraya tersebut adalah Damansara-Shah Alam (DASH) dan Ulu Kelang Selatan. Kedua-duanya dimiliki syarikat Prolitas yang seratus peratus milikan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Antara projek lain adalah Lebuhraya Kinrara-Damansara dan pemanjangan Lebuhraya Duta-Ulu Klang.

Maklum Dr Dzulkefly lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mengulangi pengumuman tidak menaikkan tol sehingga 2016.

Namun beliau gagal untuk menciplak tawaran Pakatan Rakyat (PR) menangani lebuhraya bertol memandangkan mereka sudah sebati dengan sistem ‘patronage’ dan ‘monopoli’ yang memperkayakan kroni berkepentingan, kata Dr Dzulkefly.

“Kenapa selepas 2016 kadar tol akan terus meningkat pada kadar lima peratus setiap tiga tahun sehingga tahun 2037? Nyata Najib tidak punya kommitmen menurunkan kos saraan hidup rakyat.

“Lebih malang lagi kerajaan Najib bercita-cita untuk meneruskan agenda penswastaan lebuhraya sebagai kaedah pembinaan lebuhraya dan merangsang sektor pembinaan,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS.

Jelasnya lagi, BN dengan bangga meletakkan Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway) dalam manifesto mereka yang akan mengenakan tol.

Walaupun faedah subsidi empat peratus telah dihapuskan setelah dilalui rundingan baru, projek ini tidak berdaya saing dan kini terpaksa diberikan suntikan RM 2.2 bilion pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus, ujar Dzulkefly lagi.

Sejajar dengan prinsip Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat kekal dengan pendirian menghapuskan tol secara berperingkat bermula dengan lebuh raya yang sudah mendapat pulangan modal.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Wilayah Persekutuan Akan Dapat Saham Air Jika PR Tawan Putrajaya

mb anwar umum calon bandar tun razak 03

BANDAR TUN RAZAK, 11 APRIL : Penduduk di Wilayah Persekutuan berpeluang memperolehi saham air hasil penstrukturan industri air Selangor jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menguasai pentadbiran negara selepas pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha ini boleh dilaksanakan berdasarkan pengalaman beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Semasa di PNB beliau telah berjaya melaksanakan pengeluaran lapan juta saham amanah kepada rakyat Malaysia termasuk skim terkenal Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra.

“Jadi perkara ini bukan satu perkara impian tetapi kenapa tidak dapat dilakukan kerana mereka (BN) yang tidak melakukan ini apabila mereka tidak menjaga kepentingan rakyat.

“Hari ini kita memilih dua pasukan dengan satu daripada Pakatan Rakyat dan satu lagi daripada Umno-BN?.

?Yang mana satu memikirkan keuntungan korporat (BN) dan satu lagi memikirkan keuntungan rakyat (Pakatan Rakyat),” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Pakatan Rakyat yang diadakan di Padang Bolasepak Jalan Jujur di sini semalam.

Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan hasratnya untuk menterbitkan saham industri air Selangor untuk lima juta penduduk di Selangor sekiranya PR diberi mandat mentadbir sekali lagi.

Penawaran saham air merupakan satu lagi penterjemahan cita-citanya sebagai Menteri Besar yang mahu rakyat Selangor memiliki kekayaan negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Walaupun Hendak Bayar Sewa, PR Tak Dapat Stadium Merdeka

pemuda PR memo stadium merdeka 01

KUALA LUMPUR 7 JAN : Pengurusan Stadium Merdeka masih tidak memberi kebenaran kepada Pakatan Rakyat untuk menggunakan lokasi bersejarah itu untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat pada Sabtu ini.

Delegasi Pemuda Pakatan Rakyat yang hadir ke ibupejabat Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini bagi mengemukan permohonan untuk menggunakan stadium itu langsung tidak dilayan pengurusan PNB.

Ini berlaku walaupun PR mahu membayar sewa untuk kegunaan stadium itu pada 12 Januari. Stadium tersebut diuruskan PNB.

Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata pihaknya berasa kesal dengan layanan yang diberikan oleh pihak pengurusan stadium walaupun mereka datang dengan cara baik.

Katanya, sebelum ini, pengurusan stadium langsung tidak memberi maklumbalas terhadap permohonan untuk mengadakan pertemuan.

Delegasi mereka yang juga dianggotai setiausaha Angkatan Muda Malaysia (AMK), Julailey Jemadi menunggu di lobi PNB selama dua jam tetapi masih lagi gagal menemui pengurusan stadium.

Selepas menunggu hampir dua jam, seorang wakil pun tidak turun untuk berjumpa dengan kami dan memberi alasan sedang bermesyuarat,” katanya.

“Ini negara demokrasi, mereka tidak patut tidak memberi kebenaran sedangkan tindakan kami ini mengikut apa yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan di stadium.

“Kita bukan memintanya percuma, kami akan bayar sewa stadium pada hari itu,” katanya.

PR mensasarkan sejuta peserta di dalam himpunan tersebut yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Categories
SELANGOR

PKNS Perlu Berkembang Ke Peringkat Global

SUBANG JAYA, 24 NOV : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) disarankan untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa dan berani menceburi bidang-bidang baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, PKNS perlu membuat anjakan pemikiran supaya ia tidak hanya tertumpu kepada pembangunan hartanah dan perumahan di Selangor sahaja.

Ianya bagi memastikan perbadanan yang ditubuhkan sejak tahun 1964 itu mampu bersaing dalam dunia perniagaan di peringkat global.

 

 

Ujar Abdul Khalid, PKNS perlu belajar kejayaan perniagaan daripada Permodalam Nasional Berhad (PNB) dan syarikat Guthrie yang berjaya berkembang di peringkat global dalam beberapa bidang perniagaan strategik.

Abdul Khalid berkata, PKNS juga boleh mengambil contoh Perbadanan Kemajuan Negeri Johor (PBNJ) yang mengembangkan perniagaannya ke rantau Asean.

 

“Sekarang PBNJ bukan sahaja berjaya dalam bidang hartanah tetapi juga berjaya dalam memberikan perkhidmatan kesihatan, sektor perladangan dan beberapa bidang lain,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa Merasmikan Hari Keluarga PKNS di Padang Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya di sini.

Semetara itu, Pengurus Besar PKNS, Othman Omar berkata, sokongan ahli keluarga memberikan galakan kepada kakitangan PKNS untuk menjayakan misi dan visi syarikat tersebut.

“Malah dengan semangat dan dokongan padu mereka inilah maka maka PKNS dapat kukuh berdiri selama 48 tahun,” katanya.

Program itu dirancang untuk mengukuhkan semangat kerja berpasukan dan mengukuhkan hubungan ukhuwah antara warga kerja PKNS dan keluarga mereka.

Turut hadir Exco Selangor, Teresa Kok dan Ahli-Ahli Lembaga PKNS serta kira-kira 2,000 warga kerja dan keluarga PKNS.