Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Malaysia perlu sambungan internet stabil pacu ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Malaysia memerlukan infrastruktur dan kesambungan Internet yang amat stabil, teguh dan boleh dipercayai memandangkan penggunaan oleh sektor kerajaan, perniagaan dan rakyat pasti meningkat pada tahun-tahun akan datang untuk pertumbuhan ekonomi digital berterusan.

Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX), Chiew Kok Hin berkata inisiatif MyDigital, yang akan dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, merupakan langkah strategik ke arah mengembangkan lagi ekonomi digital Malaysia.

Beliau berkata semakin banyak pengendali pusat data yang berpindah, dan berpindah ke Malaysia untuk meningkatkan kelajuan data bagi memenuhi keperluan bandar-bandar padat penduduk di rantau Asia Tenggara.

“Ini termasuk pusat data berskala besar yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat yang mereka sokong, selain menawarkan penggunaan mampan dan boleh skala serta portfolio perkhidmatan penstoran kepada individu dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata Malaysia memiliki kelebihan dalam infrastruktur Internet susulan kedudukan geografinya yang strategik, akses mudah dan kos awal pula agak rendah.

Chiew berkata negara mempunyai kelebihan strategik dari segi menempatkan penyedia tempatan dan antarabangsa.

“Peserta asing yang mewujudkan operasi pusat data di Malaysia termasuk Alibaba, Hitachi, NTT, Microsoft, IBM dan Bridge Data Centres.

“Justeru, dasar kerajaan sewajarnya perlu sentiasa mesra pelabur sekiranya kita mahu terus menarik pelabur asing ke Malaysia,” katanya.

Antara strategi dalam rangka tindakan itu yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah menarik lebih banyak pendaratan kabel dasar laut antarabangsa di Malaysia bagi memperluas ketersambungan global untuk menjana peningkatan pelaburan dalam ekonomi digital serta capaian Internet lebih dipercayai dan laju.

Sasaran di bawah strategi ini adalah Malaysia mempunyai bilangan pendaratan kabel dasar laut terbanyak di Asia Tenggara pada 2025.

Chiew berkata aspek itu turut menjadi perhatian firma multinasional asing yang melabur dalam kabel dasar laut di Malaysia.

Beliau berkata isu kontroversi atau utama pada masa ini adalah pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang melaksanakan pembaikan kabel dasar laut seperti dibangkitkan pada November lepas.

Ekoran itu, pembaikan kabel dasar laut mengambil masa sehingga 27 hari di Malaysia, jauh lebih panjang berbanding tempoh di negara lain di Asia Tenggara, dengan 20 hari di Filipina, 19 hari di Singapura dan 12 hari di Vietnam.

“Malaysia perlu menyelesaikan masalah kabotaj, secara khususnya pengecualian kabotaj untuk kapal asing melakukan pembaikan kabel bawah laut perlu diperkenalkan semula secepat mungkin, dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan kabel dasar laut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabel dasar laut rosak: TM berjaya pulihkan lebih awal

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Telekom Malaysia Berhad (TM) telah berjaya memulihkan kapasiti antarabangsa yang terjejas akibat kerosakan kabel dasar laut Rangkaian Kabel Asia Pasifik 2 (APCN2) lebih awal berbanding sasaran iaitu pada 20 April ini.

TM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa syarikat itu juga berjaya mengalih dan mengoptimumkan sepenuhnya trafik melalui laluan sambungan antarabangsa alternatif.

“Penyelarasan rangkaian masih diteruskan dan kami akan terus memantau prestasi rangkaian bersama rakan konsortium di negara lain.

“Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa impak kepada pelanggan adalah minimum berikutan langkah proaktif mengalihkan trafik ke laluan alternatif dan langkah-langkah lain yang diambil serta kerja-kerja baik pulih oleh rakan konsortium sedang dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Menurut TM, sambungan data ke lokasi dan pelayan yang dihoskan di Hong Kong dan Amerika Syarikat telah dioptimumkan sepenuhnya untuk dinikmati pelanggan.

“Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan mengucapkan terima kasih kepada semua kerana bersabar sepanjang tempoh (gangguan) tersebut.

“Kami akan terus memantau perkembangan situasi terkini dan menyesuaikan perkhidmatan kami bagi membantu para pelanggan,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pengguna Internet di negara ini berdepan gangguan minimum susulan kerosakan kabel dasar laut APCN2.

Kabel dasar laut APCN2 itu, yang menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat, merupakan antara 14 sistem kabel dasar laut yang disertai TM di seluruh dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: Kabel dasar laut rosak, gangguan internet minimum

CYBERJAYA, 11 APRIL: Pengguna internet di Malaysia berdepan gangguan minimum susulan kerosakan satu daripada kabel dasar laut Rangkaian Kabel Asia Pasifik 2 (APCN2), demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kenyataan SKMM menyebut bahawa ia dimaklumkan oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) berkaitan kerosakan satu daripada segmen kabel APCN2 yang menghubungkan Chongming di China dan Lantau di Hong Kong (segmen 3).

Kabel dasar laut APCN2 itu, yang menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat, merupakan antara 14 sistem kabel dasar laut yang disertai oleh TM di seluruh dunia.

Menurut SKMM, TM telah memberi jaminan bahawa segala langkah perlu akan diambil bagi mengurangkan kesan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.

“Sementara  konsortium yang menyelenggara APCN2 mengenal pasti lokasi kerosakan untuk kerja baik pulih, TM mengambil tindakan pantas sewajarnya bagi penyuraian aliran trafik yang terjejas melalui rangkaian kabel dasar laut lain miliknya agar impak ke atas pengguna dapat dikurangkan,” katanya.

Selain itu, TM  mengaktifkan kapasiti tambahan melalui sistem kabel dasar laut Cahaya Malaysia yang menghubungkan trafik antarabangsa Malaysia ke Jepun.

“Pengguna internet di Malaysia hanya mengalami gangguan minimum kerana terdapat jaringan kabel dasar laut lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan trafik internet, sekiranya diperlukan,” kata SKMM.

Menurut SKMM, gergasi global seperti Akamai Technologies, Amazon.com, Facebook Inc., Google Inc. dan Microsoft MSN serta beberapa lagi penyedia kandungan antarabangsa telah membuat sambungan ‘peering’ di Malaysia Internet Exchange Malaysia (MyIX) dan kebanyakan mereka menyediakan pelayan ‘cache’ di rangkaian penyedia perkhidmatan Internet tempatan.

“Oleh itu, kandungan ini masih lagi boleh dicapai oleh pengguna internet tempatan tanpa gangguan,” katanya.

SKMM berkata ia akan terus memantau situasi ini bagi memastikan perkhidmatan Internet kepada pengguna tidak mengalami sebarang implikasi yang serius khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sedang berlangsung.

“Kebergantungan masyarakat terhadap perkhidmatan jalur lebar pada ketika ini adalah amat penting terutamanya kepada sektor perniagaan, perkhidmatan malah pendidikan yang kini turut menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian,” menurut SKMM.

-BERNAMA