Categories
SELANGOR

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Selangor antara terendah

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 di Selangor setakat kelmarin adalah yang kesembilan dalam negara walaupun jumlah kes harian di negeri ini melebihi 7,000 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata kadar RT di Selangor adalah 1.15 iaitu lebih rendah jika dibandingkan dengan Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang.

“Berdasarkan data terkini pada 23 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.09. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu (1.37) diikuti oleh Kedah (1.23) dan Pulau Pinang (1.22).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan semalam.

Menerusi perkongsian jadual nilai RT negeri-negeri lain adalah Kelantan (1.20), Putarajaya dan Johor (1.19), Sabah dan Pahang (1.17), Melaka (1.12), Kuala Lumpur (1.11), Perak (1.07) Negeri Sembilan (1.04) dan Sarawak (1.03).

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 184 kematian dilaporkan semalam dengan angka korban teramai adalah di Selangor iaitu 87 orang.

Katanya, daripada 184 kematian sebanyak 32 kes adalah kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dan 13 kes adalah di Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kebolehjangkitan lepasi paras 1.0 dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian seluruh negara kembali meningkat melebihi paras ambang 1.0 untuk dua hari berturut-turut.

Menerusi data dikongsi ketua pengarah kesihatan di Facebook, Rt  purata kebangsaan mencatat 1.05 semalam, meningkat daripada 1.04 kelmarin.

Nilai dicatatkan itu adalah Rt tertinggi dalam tempoh 28 hari selepas mencatat 1.06 pada 3 Jun lalu, sebelum turun ke paras terendah 0.90 pada 12 Jun.

Data dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan enam negeri mencatat Rt melebihi purata kebangsaan antara 1.07 hingga 1.19.

Rt tertinggi 1.19 dicatatkan Pahang, disusuli Putrajaya (1.09), Melaka (1.09), Perak (1.08), Kuala Lumpur (1.07) dan Negeri Sembilan (1.06).

Selangor pula mencatat 1.05, manakala Rt terendah direkodkan Terengganu dengan 0.67.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di bawah 1.0 dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 8 JUN: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian di Malaysia terus mencatatkan penurunan di bawah 1.0 untuk dua hari berturut-turut kepada 0.97 semalam.

Data dikongsi ketua pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter menunjukkan Malaysia merekodkan penurunan nilai Rt selama sembilan hari berturut-turut daripada 1.16 pada 29 Mei lalu sehingga mencatat 1.0 Sabtu lalu dan 0.99 pada Ahad.

Penurunan itu menunjukkan risiko jangkitan daripada seorang individu positif Covid-19 kepada individu lain semakin berkurangan, dan virus itu boleh dianggap tidak tersebar jika Rt berada di bawah 1.0.

Bagaimanapun, Rt di beberapa negeri masih melebihi purata kebangsaan semalam, dengan Labuan tertinggi pada kadar 1.26.

Ia diikuti Negeri Sembilan (1.17), Sabah (1.16), Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing 1.04, Selangor dan Melaka masing-masing 1.03 serta Perak dan Johor masing-masing 1.01.

Sementara itu, Perlis mencatatkan Rt terendah semalam iaitu 0.92 diikuti beberapa negeri lain yang merekodkan angka bawah 1.0 seperti Putrajaya (0.93), Kedah (0.95), Terengganu (0.96), Pahang dan Kelantan (0.97) serta Pulau Pinang (0.98).