Categories
SELANGOR

“Kalau Bawah Umno Dulu Kena Belanja, Sekarang Bawah Pakatan Dapat Senang Saja”.

KUANG 10 MAC : Setelah 30 tahun menanti, impian Yahaya Said untuk memiliki tanah yang sekian lama diduduki keluarganya secara sah akhirnya tercapai pagi ini.

Pesara tentera berumur 60 tahun itu antara 137 penduduk Kampung Melayu Sri Kundang menerima geran tanah daripada kerajaan Selangor yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Yahaya ternyata tidak dapat sembunyikan perasaan gembira dan terharu ketika ditemubual sejurus selepas menerima geran tersebut.

“Alhamdulillah, akhirnya sempat juga kami dapatkan hak ini secara sah sebelum kami menutup mata. Sekurang-kurangnya kami lega adalah harta yang kami dapat wariskan ke atas anak-anak cucu kami kelak,” ujar pesara tentera itu.

Menurut Yahaya lagi, pengalaman duduk di bawah pentadbiran Umno-BN dulu dan pentadbiran Pakatan Rakyat kini jauh berbeza.

“Dahulu di bawah Umno, kami perlu belanja minum dulu, berhibur dulu untuk mendapatkan ruang agar permohonan kami diproses. Yang tidak sebulu dengan mereka langsunglah tidak diendahkan.

“Tetapi sekarang ini jauh berbeza. Kerajaan Pakatan bekerja tanpa mengira sesiapapun. Malah orang Umno pun ada yang terima geran pada hari ini,” beritahu Yahaya sambil menambah program kebajikan pentadbiran Pakatan bukti keikhlasan sebenar sesebuah kerajaan membela rakyat.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata kerajaan akan berusaha menolong penerima yang tak mampu membayar premium tanah.

“Bagi mereka yang tidak mampu menjelaskan jumlah premium, kita akan tolong jelaskan. Tetapi rakyat perlulah lakukan tugas-tugas kebajikan,” jelas Abdul Khalid yang turut memberitahu hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk melihat setiap rakyat negeri ini memiliki tanah sendiri.

Majlis Penyerahan Hak Milik pagi tadi diadakan di Balai JKKK Kampung Sri Kundang. Sebahagian lagi menerima Borang Notis 5A untuk mendapatkan status hak milik.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Permodenan, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen Selayang yang juga Penyelaras Dun Kuang, William Leong Jee Keen, dan juga Pegawai Daerah Gombak, Ahmad Zaharin Mohd Saad.