KLANG 15 FEB : Penduduk Klang khususnya mereka yang tinggal di Kampung Sungai Delek dan Kampung Sungai Sireh di sini bakal menikmati satu lagi kemudahan infrastruktur yang disediakan Kerajaan Negeri.
Dengan kos sebanyak RM 3 juta, jambatan yang dibina di atas Sungai Telok Gadung, Jalan Sri Perantau Kampung Delek dijangka dapat disiapkan dalam tempoh selewat-lewatnya dua bulan lagi.
Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali ketika mengadakan lawatan di tapak projek pagi tadi berkata, usaha Kerajaan Negeri itu selaras dengan dasar pentadbiran Kerajaan Pakatan yang tulus berbakti untuk kepentingan rakyat.
“Pertamanya, dengan adanya jambatan ini dapat memudahkan penduduk sekitar untuk membawa jenazah daripada seberang sungai ke tanah perkuburan di mana sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan yang jauh kerana ketiadaan jambatan.
“Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di waktu puncak kerana laluan sebelum ini sempit dan tidak boleh dilalui kenderaan berat,” ujar Dr Halimah yang juga merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
Sebelum ini, penduduk yang kebanyakannya bekerja di kawasan pelabuhan terpaksa menggunakan jambatan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang hanya mampu memberi laluan kepada satu kenderaan sahaja dalam satu-satu masa.
“Kini, penduduk bakal menikmati kemudahan jambatan yang lebih lebar yang pastinya dapat memberi manfaat kepada mereka dari segi keselesaan, penjimatan masa dan lain-lain,” tambah Dr Halimah.
Beliau sendiri menyempurnakan upacara Majlis Pecah Tanah projek tersebut yang diadakan pada Disember tahun 2011.
Projek yang dimulakan pada awal Januari tahun lalu itu meliputi pembinaan jambatan dengan kelebaran seluas 10.5 meter dengan panjang 23 meter dan dibina mengikut standard R3 iaitu mempunyai laluan dua hala.
Projek itu juga melibatkan penyediaan jalan raya yang baru bagi menghubungkan laluan daripada Kampung Sungai Sireh ke jalan utama.