Categories
SELANGOR

Premium nominal buat peneroka pertanian Kampung Sungai Samak

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 8 SEPT: Penantian hampir 20 tahun peneroka tanah pertanian, Kampung Sungai Samak berakhir hari ini apabila Kerajaan Negeri bersetuju memberikan kelulusan pemberimilikan tanah (Notis 5A).

Berita gembira itu diumumkan sendiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) di Balai Penghulu Sungai Samak, di sini.

Lebih menggembirakan, Kerajaan Negeri hanya mengenakan bayaran premium nominal berjumlah RM505 untuk tanah berkeluasan 0.6 hektar.

IMG_7249“Dalam konteks Sungai Samak, premium harga tanah berdasarkan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH), satu hektar bernilai RM570,000.

“Kita perkenalkan premium nominal kepada peneroka berkeluasan 0.6 hektar yang hanya perlu membayar premium RM505 walaupun harga semasa RM379,000,” katanya.

Seramai 23 penerima Notis 5A terdiri daripada peneroka asal dan waris peneroka hari ini mempunyai keluasan tanah pertanian keseluruhan sekitar 0.4 hingga 0.6 hektar.

Menurutnya, nilai hartanah semasa di Selangor semakin meningkat selari dengan kerancakkan pembangunan setempat.

Beliau berkata, peneroka yang menerima Notis 5A diingatkan supaya tidak menjual tanah mereka sebaliknya terus memajukan tanah berkenaan mengikut peraturan ditetapkan.

Secara keseluruhan, hampir 1,600 permohonan diluluskan sejak tiga tahun menjadi Mohamed Azmin memikul tanggungjawab selaku Dato’ Menteri Besar.