Categories
AGENSI SELANGOR

Polis tahan lapan lelaki gaduh di restoran

KUALA LUMPUR, 19 April: Lapan lelaki ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah restoran di Rawang dalam kejadian awal pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata empat daripada suspek berusia dalam lingkungan 23 hingga 29 tahun itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Gombak untuk memberi keterangan manakala empat lagi hadir serah diri di balai yang sama.

“Kami sedang memburu beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa yang berusia 29 sedang minum di sebuah restoran di Rawang bersama rakan-rakannya dan telah berlaku perselisihan faham dengan sekumpulan lelaki lain akibat ejek-mengejek.

Keadaan semakin kecoh apabila kumpulan berkenaan bertindak membaling botol ke meja pengadu dan perkara yang sama turut dilakukan oleh pengadu dan rakan-rakannya sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

Pengadu mengalami cedera ringan di tangan dan dada dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Arifai turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai berdekatan.

Dua video berdurasi 47 saat dan 17 saat memaparkan pergaduhan antara beberapa individu lelaki di luar sebuah restoran di Rawang.

Dalam kejadian berasingan, polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Damai Perdana, Kajang, yang berlaku 9 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata individu berkenaan dikenali sebagai Yuen Wai Lam, 26 yang beralamat di No 3, Jalan Penghulu 12/3, Bandar Mahkota Cheras.

Sebelum ini, Mohd Zaid berkata polis telah menahan empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun dan telah direman bagi membantu siasatan kes yang dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PKR: Tembak Tanpa Amaran, Zahid Wajar Ditangkap

zahid-surendranSHAH ALAM, 7 OKTOBER: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi wajar ditangkap kerana mahu anggota polis menembak suspek jenayah tanpa amaran.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata kenyataan Menteri Umno-BN itu merupakan satu kesalahan yang serius dibawah pelbagai Kanun Keseksaan seperti 302, 120A dan 107.

“Maknanya Menteri Dalam Negeri sendiri sedang mengarahkan ataupun mengapi-apikan polis untuk melakukan pembunuhan kerana kalau polis tembak tanpa amaran, pakai tembak sahaja suspek maknanya itu ditakrifkan sebagai pembunuhan dibawah Kanun Keseksaan,” kata Ahli Parlimen Padang Serai ini kepada TV Selangor.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap dalam satu ‘Majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat’ pada hari Sabtu lalu.

Dalam majlis itu para wartawan dilaporkan dihalau keluar dan diugut oleh menteri tersebut agar tidak melaporkan kandungan ucapannya.

“Pada pendapat saya Menteri Dalam Negeri perlu ditangkap segera (kerana) meminta supaya pembunuhan dilakukan,” kata Surendran.

Mengikut undang-undang, suspek adalah orang yang disyaki melakukan jenayah. Perbezaan antara suspek dan pelaku adalah suspek tidak diketahui samada melakukan kesalahan, manakala pelaku melakukan kesalahan itu, tetapi tidak semestinya disyaki.

Tatacara penguatkuasa undang-undang yang digunapakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan penggunaan senjata api adalah langkah ekstrem dan tidak boleh digunakan kecuali suspek mengancam nyawa orang lain.

Ekoran kenyataan Zahid itu, Surendren menggesa semua kes tembak sampai mati melibatkan polis dibuka untuk siasatan semula. Sebelum ini, media pernah melaporkan beberapa melibatkan anak-anak muda yang ditembak sampai mati oleh pihak berkuasa. Turut dilaporkan kes-kes rakyat Malaysia ditemui mati sewaktu dalam tahanan polis.

“Kita menyeru Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera. Satu siasatan polis yang bebas juga perlu segera dijalankan keatas kenyataan Zahid, yang dengan jelas melanggar undang-undang,” tegas Surendran.