Categories
AGENDA NASIONAL

14 pemancing, empat kru hilang bot dipercayai karam di Langkawi

ALOR SETAR, 26 FEB: Sebuah bot yang dipercayai membawa empat kru dan 14 pemancing hilang selepas bot dinaiki mereka disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2 petang tadi.

“Kita telah menggerakkan aset iaitu KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Maklumat berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor operasi telah diperluas daripada lima batu nautika hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek yang timbul di permukaan air seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot terbabit.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang. Sehingga kini, pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot berkenaan.

“Aset Maritim juga telah ditempatkan di sektor berkeluasan 10 batu nautika bersama aset agensi yang lain,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Bot Karam: Mayat ke-10 ditemui, sebuah lagi karam di Sepang

BANTING, 19 JUN: Satu lagi mayat ditemui pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian nahas tongkang karam di Banting meningkat kepada 10 orang.

Mayat berjantina lelaki itu ditemui pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jam 9.15 pagi dan dibawa ke jeti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sekitar jam 9.55 pagi.

Daripada 10 mayat yang sudah ditemui, lapan daripadanya adalah lelaki.

BOATCAPSIZED_180614_TMIAFIF_002-700x466Tragedi tongkang karam itu berlaku pada awal pagi 17 Jun lalu di luar pantai Selangor, berdekatan Sungai Air Hitam, Banting, yang mana ia membawa 97 penumpang terdiri daripada pendatang asing Indonesia.

Mayat yang ditemui semalam dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat lapor Astro Awani.

Sementara itu, sebuah bot pancung membawa 27 warga Indonesia karam di perairan Sepang awal pagi tadi selepas kejadian sama mengakibatkan 97 hilang.

Ketua Pengarah Operasi APMM, Leftenan Komander Mohd Hambali Yaakup, berkata bot pancung itu cuba keluar melalui Pantai Morib ke Tanjung Balai, kira-kira jam 3 pagi.

“Bot pancung ini terbalik di kawasan Api Gila Perairan Sepang. Pihak kami berjaya menyelamatkan 18 orang dan sembilan masih hilang. Salah seorang yang kami selamatkan ini cedera parah di bahagian perut,” katanya dipetik BH Online.