Categories
AGENDA NASIONAL

18 pemancing serta kru bot ditemui selamat, dua cedera

ALOR SETAR, 27 FEB: Pemancing dan kru yang dilaporkan hilang di perairan Langkawi selepas bot dinaiki mereka disyaki karam petang semalam ditemukan dalam keadaan selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kesemua mangsa diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan.

“Alhamdulillah pada 11.45 malam tadi, kesemua 18 pemancing dan kru bot yang karam itu telah dapat diselamatkan oleh nelayan tempatan sekitar 3 petang di kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Singa Besar.

“Kapal Maritim Tenggol dan juga Bot Penyelamat 5 yang juga berada di lokasi kejadian telah memindahkan atau mengambil semua 18 pemancing dan kru tersebut untuk dibawa ke jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi,” katanya dalam sidang media malam ini.

Beliau berkata dua pemancing mengalami kecederaan iaitu seorang mungkin patah kaki manakala seorang lagi cedera sebelah di tangan kiri.

“Alhamdulillah, 16 lagi pemancing dan kru lain didapati sihat. Bagaimanapun, kita akan melakukan ujian kesihatan untuk mereka,” katanya sambil menasihati orang ramai yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca dan memastikan kelengkapan keselamatan serta komunikasi mencukupi sebelum berbuat demikian.

Terdahulu, tekong utama Syed M Hidayat Syed Mohd Bakhir, 33, berkata bot itu sebenarnya membawa 13 pemancing dan dikendali oleh seorang tekong bersama empat kru.

Beliau bagaimanapun tidak turun ke laut dan telah digantikan dengan orang lain.

“Saya dapat berhubung dengan seorang kru selepas insiden itu dan dia memaklumkan mereka selamat selepas terapung selama enam jam di dalam laut apabila bot dinaiki karam pada 2 petang.

“Mereka kemudian diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada di kawasan itu dan kini dalam perjalanan ke Maritim Malaysia Langkawi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata bot itu keluar ke laut dari Langkawi pada Khamis dan sepatutnya pulang pada Sabtu.

Bagaimanapun, kru itu memaklumkan cuaca buruk telah menyebabkan ombak besar membadai bot tersebut menyebabkan ia hampir karam dan dimasuki air.

“Bot tersebut mempunyai satu unit telefon satelit yang boleh digunakan pada saat kecemasan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

14 pemancing, empat kru hilang bot dipercayai karam di Langkawi

ALOR SETAR, 26 FEB: Sebuah bot yang dipercayai membawa empat kru dan 14 pemancing hilang selepas bot dinaiki mereka disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2 petang tadi.

“Kita telah menggerakkan aset iaitu KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Maklumat berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor operasi telah diperluas daripada lima batu nautika hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek yang timbul di permukaan air seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot terbabit.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang. Sehingga kini, pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot berkenaan.

“Aset Maritim juga telah ditempatkan di sektor berkeluasan 10 batu nautika bersama aset agensi yang lain,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
EXCO SELANGOR

Tasik ikan toman di Unisel, tarikan baharu kaki pancing

BESTARI JAYA, 18 SEPT: Kerajaan Negeri menyokong usaha Universiti Selangor (Unisel) mewujudkan tasik pancingan tangkap dan lepas ikan toman sebagai tarikan baharu kepada pemancing setempat dan luar.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata tasik The Tomanz dengan keluasan 30 ekar di kampus Bestari Jaya mampu berkembang menjadi pelopor kepada sukan rekreasi di negeri ini.

“Setelah melihat sendiri persekitaran The Tomanz, saya yakin tasik ini boleh menjadi salah satu lokasi ekopelancongan menarik di Selangor kerana suasananya berlatar belakang landskap hijau.

“Semestinya tasik ini mampu memberikan pengalaman yang baik kepada kaki pancing yang mahukan suasana alam semulajadi,” katanya selepas merasmikan pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman dan pembukaan The Tomanz di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Pada majlis itu, Mohd Khairuddin turut mengumumkan insentif RM10,000 bagi merancakkan aktiviti di tasik berkenaan.

Sementara itu, Dr Mohammad Redzuan berkata kira-kira 200 ekor ikan toman lagi akan ditambah bagi memberi peluang kepada pemancing mendapat tangkapan.

“Apabila orang memancing sudah tentu mereka nak dapat ikan, agak sukar untuk mereka tangkap jika ikan tidak cukup dan setakat ini lebih 100 ekor toman dilepaskan ke dalam tasik.

“Projek The Tomanz bukan sekadar tangkap dan lepas tetapi kita bercadang untuk menjalankan penyelidikan bagaimana membiakkan ikan toman bagi tujuan komersial,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemancing dikhuatiri lemas di Batu Laut Morib, Banting

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah terjatuh dari bot semasa dalam perjalanan untuk pergi memancing ikan di Batu Laut Morib, Banting, kira-kira 50 kilometer dari sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.53 malam dan tiba di lokasi pada 9 malam.

“Tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting telah ke lokasi dan membuat pencarian di persisir pantai dan membuka pos kawalan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafisham berkata sebarang informasi terkini mengenai mangsa berusia 27 tahun itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

— BERNAMA