Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan wujud kartel polis tidak dapat disahkan, kata Suruhanjaya Integriti

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Dakwaan wujud ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Pengerusi EAIC Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

“Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.

Beliau berkata siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

“Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

Selain itu, Sidek berkata Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

“Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kartel, Covid-19 antara cabaran petugas hadapan sepanjang 2021

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Isu ‘kartel’ dalam agensi penguat kuasa, di samping berhadapan Covid-19 yang diibaratkan umpama ‘musuh tidak dapat dilihat’ dalam menjalankan tugas hakiki menjaga keselamatan dan mencegah jenayah; adalah antara cabaran hebat pasukan penguat kuasa negara sepanjang tahun ini.

Dua agensi penguat kuasa telah dikaitkan dengan kartel dalam pengertian yang berbeza, yakni Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merujuk kepada sekumpulan pegawai yang dikatakan menentukan kenaikan pangkat dalam pasukan, dan pegawai Jabatan Imigresen yang dikatakan menjejaskan integriti pasukan itu berkaitan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sewmentara (PLKS).

Isu kartel yang melibatkan PDRM dibangkitkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada bulan April lepas, bagaimanapun perkara itu dinafikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudiannya, selepas siasatan dalaman dijalankan pasukan itu.

Hamzah pada 25 November lepas bagaimanapun dilaporkan berkata siasatan berhubung perkara itu diteruskan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan keputusannya akan didedahkan apabila siasatan selesai.

Perkataan ‘kartel’ muncul kembali pada 1 Disember lepas apabila Hamzah mendedahkan kementerian itu menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen pula, membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Pembabitan kartel itu bukan sahaja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan berkenaan malah turut dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka khususnya di pintu-pintu masuk negara, termasuk di lapangan terbang.

Perkara itu masih dalam siasatan, dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan meneliti kemungkinan wujud kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai imigresen itu selepas mendapat maklumat terperinci daripada Jabatan Imigresen.

Tahun 2021 juga menyaksikan perubahan dalam kepimpinan tertinggi PDRM apabila Tan Sri Abdul Hamid Bador menamatkan kontrak selepas dua tahun menerajui Sang Saka Biru mulai 3 Mei 2019, dan diganti dengan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang bakal menerajui pasukan itu sehingga 3 Okt 2023.

Anggota polis memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Duta bagi memastikan orang ramai tidak merentas daerah atau negeri ketika tinjauan pada 13 Mei 2021. Foto BERNAMA

Pasukan keselamatan negara itu turut berhadapan pelbagai cabaran dalam menghadapi wabak Covid-19 yang memuncak pertengahan tahun ini, terutama sebagai barisan hadapan membantu kerajaan dalam menguatkuasakan peraturan sekatan perjalanan, selain memastikan tidak berlaku perlanggaran tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian wabak yang boleh membawa maut itu.

Pasukan keselamatan dan agensi-agensi penguatkuasa di bawah KDN turut bertanggungjawab dalam mengawal sempadan negara daripada diceroboh pendatang asing berikutan sempadan negara ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Tanpa mengira hujan atau panas, siang atau malam, mereka komited memastikan rakyat dan negara selamat dari segala ancaman, termasuk serangan ‘musuh’ yang tidak dapat dilihat dengan membantu kerajaan memastikan segala peraturan dipatuhi.

Dari segi jenayah, negara dikejutkan dengan pembongkaran sindiket penipuan Macau Scam ‘Geng Nicky’ diketuai Nicky Liow Soon Hee yang menyaksikan kira-kira 34 anggota penguatkuasa PDRM dikenal pasti menjadi ‘tali barut’ kumpuan terbabit yang aktif melakukan jenayah penipuan sejak 2014.

Pelbagai barangan, wang tunai dan kenderaan bernilai lebih RM7.3 juta dan 68 orang ditahan bagi membantu siasatan kes itu. Bagaimanapun sehingga kini lelaki yang dikenal pasti dalang kumpulan jenayah terancang itu Nicky Liow belum dapat dikesan.

Di sebalik cabaran-cabaran itu, pelbagai kejayaan dilakar agensi penguatkuasa sepanjang tahun 2021, antaranya rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM327 juta oleh PDRM yang menyaksikan ketua sindiket dadah terbesar negara dan empat anggota kumpulan itu ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru Januari lepas.

Jabatan Imigresen turut mencatat kejayaan apabila menerima anugerah daripada Kementerian Kewangan susulan kejayaan mencapai rekod 100 peratus e-pembayaran sehingga meraih penjimatan berjumlah RM2.4 juta tahun lepas.

Selain itu, KDN turut membuat pembaharuan apabila mengumumkan penubuhan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan bagi menyiasat kes-kes kematian tahanan dan unit baharu itu akan mula beroperasi pada 1 Januari tahun depan.

Juruteknik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersedia di lokasi dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan semalam berhampiran Stesen LRT KLCC untuk melakukan kerja-kerja pembaikan pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA

Kalendar keselamatan dan bencana negara 2021 turut diwarnai dengan kejadian kejadian dua tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung di dalam terowong di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC pada 24 Mei lepas, menyebabkan 213 penumpang tren cedera, dengan 47 daripadanya parah.

Kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) yang pertama kali berlaku di negara ini sejak beroperasi 23 tahun lepas itu melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Pada 2 Disember pula, berlaku kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, KM 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Simpang Pulai, Ipoh, Perak yang mengorbankan dua lelaki apabila kenderaan mereka tertimbus dalam tanah runtuh itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM pantau jabatan disyaki terlibat monopoli kartel projek kerajaan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memantau penglibatan jabatan-jabatan kerajaan yang disyaki terlibat memonopoli kartel projek kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pemantauan menerusi kerjasama Kementerian Kewangan itu, akan membuat penelitian ke atas sebarang proses perolehan dibuat jabatan-jabatan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu sedang dipantau terhadap jabatan-jabatan yang SPRM dapat maklumat wujudnya bentuk monopoli kartel ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut Azam berkata, sebarang penemuan penglibatan jabatan lain akan dimaklumkan suruhanjaya itu kemudian.

“Setakat ini, tiada penemuan kerana pemantauan sedang dijalankan dan kami memandang serius kes monopoli kartel projek dan cara untuk mengatasinya,” katanya selepas ditemui pemberita pada program kerjasama strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama SPRM di sini, hari ini.

Dalam pada itu Azam berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan Peguam Negara berhubung pembabitan seorang individu yang juga pengerusi Prasarana Berhad, dipercayai menyalahguna kuasa membuat perubahan signifikan di dalam syarikat terbabit.

“Kami dah kemukakan kertas siasatan itu dua minggu lepas, dan masih menunggu keputusan mereka untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Azam menghadiri program kerjasama SPRM dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Program kerjasama yang terjalin sejak 2019 itu, mengetengahkan seni budaya sebagai medium yang berkesan dalam mendidik serta mendapatkan sokongan masyarakat dalam usaha memerangi rasuah.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN Mesran Mohd Yusop yang turut hadir di majlis itu berkata, aktiviti seni budaya mudah diterima segenap lapisan masyarakat, sekali gus meningkatkan lagi kesedaran orang ramai dalam memerangi rasuah.

Mesran berkata melalui kerjasama ini, JKKN dengan kerjasama SPRM akan menganjurkan tiga program seni kebudayaan, antaranya Kolokium Antirasuah ‘Adat Pepatih Melingkari Hidup Berintegriti’, pertandingan Battle of The Bands ‘Tak Nak Rasuah’ dan Pertandingan Dondang Sayang Pantun Bertema Antirasuah.

Mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh melayari laman web rasmi atau Facebook JKKN untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN gesa kerajaan siasat kartel polis cuba jatuhkan KPN

SHAH ALAM, 23 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa menteri dalam negeri menyiasat segera kewujudkan kartel yang didakwa cuba menjatuhkan ketua polis negara.

Majlis Setiausaha berkata seakan wujud usaha pihak tertentu untuk menjejaskan kebebasan dan integriti polis serta memburukkan imej dan reputasi institusi berkenaan.

“Elemen-elemen ‘kartel’ ini tidak boleh dibenarkan menyusup masuk dan mengawal polis kerana
akhirnya ia akan menghancurkan institusi tersebut,” kata gabungan itu.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Loke Siew Fook (DAP).

Pada 18 Mac, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat kartel dalam kalangan pegawai polis yang cuba menjatuhkannya demi kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, beliau belum merancang untuk mendedahkan nama berkenaan dan menolak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).