Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pusat kuarantin Serdang cadang tempatkan 1,000 katil pesakit kategori tiga

SHAH ALAM, 16 MEI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bercadang menambah kepada 1,000 katil bagi menampung pesakit wabak tersebut.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan langkah itu dibuat susulan kemasukan ramai pesakit kategori tiga iaitu bergejala dengan radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen.

“Awalnya kita hanya ada 60 katil untuk kategori tiga pada Januari lalu tetapi kini PKRC Bersepadu MAEPS menempatkan seramai 757 pesakit dan bercadang menambah kapasiti bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang.

“Justeru, pesakit kategori tiga akan ditempatkan di dewan berhampiran ICU sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan manakala pesakit kategori satu dan dua yang stabil diletakkan di Dewan DG,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, PKRC berusaha sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 4,000 individu dirawat di pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 13 MEI: Seramai 4,120 pesakit menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) buat masa ini.

Pengarahnya, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata jumlah itu lebih 70 peratus daripada 5,869 katil yang ditempatkan di pusat berkenaan.

Pegarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim

“Tugas kita adalah sentiasa bersiap sedia dan memberikan kelegaan kepada sistem kesihatan di sekitar Selangor dan kita akan pastikan sistem kesihatan di hospital-hospital di Selangor terkawal.

“Iaitu kita dapat ‘support’ pesakit-pesakit Covid-19 supaya hospital lain boleh meneruskan perkhidmatan kesihatan yang lain seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan singkat Dato’Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari hari ini.

Katanya, antara kaedah digunakan bagi membantu mengurangkan beban hospital lain adalah dengan menambah bilangan katil sekiranya berlaku pertambahan kes Covid-19.

“Melihat kepada pertambahan angka ketika ini kita juga merencana membuka semula sebuah lagi dewan. Ketika ini kita beroperasi dengan lima dewan.

“Sebelum ini kita pernah buka (dewan) dengan kapasiti mencecah 9,000 katil iaitu ketika saringan besar-besaran terhadap pekerja asing,” katanya.

Categories
SELANGOR

Katil pesakit kategori tiga, empat pusat kuarantin Serdang ditambah

SERDANG, 26 APRIL: Bilangan katil untuk menampung pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat akan ditambah di Dewan A Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pengarah pusat berkenaan Dr Shahabuddin Ibrahim berkata perancangan sedang dibuat untuk menambah 800 katil bujang khusus untuk merawat kategori kritikal di dewan tersebut bagi mengurangkan kesesakan pesakit Covid-19 khususnya di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata Dewan A mampu menempatkan 2,960 katil dua tingkat untuk tingkatkan kapasiti rawatan namun untuk pesakit kritikal, hanya katil bujang akan digunakan.

“Apabila kita pakai katil bujang, kapasiti akan berkurangan tapi dapat menampung kategori pesakit yang lebih serius lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Barakah Ramadan yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek hari ini.

Kategori tiga pesakit Covid-19 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru manakala kategori empat adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Dr Shahabuddin berkata setakat ini, PKRC Bersepadu 2.0 merawat lebih 78,000 pesakit Covid-19 dengan 2,400 pesakit masih dirawat buat masa ini.

Katanya, sebanyak 1,200 petugas barisan hadapan telah divaksinasi di fasiliti berkenaan yang juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) utama di kawasan Lembah Klang.

Malaysia hari ini mencatatkan 2,776 kes positif baharu Covid-19 selain 13 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 mencecah 395,718 kes.

Sementara itu, Mohammad ketika berucap pada majlis itu mengalu-alukan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan dan pihak lain agar menyalurkan sumbangan kepada PKRC Bersepadu 2.0 sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan selain menyantuni pesakit Covid-19 yang dirawat di pusat itu.

Program yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Jabatan Komunikasi Komuniti itu juga menyaksikan pengagihan bubur lambuk kepada petugas dan pesakit di pusat berkenaan.

-BERNAMA