Categories
GLOBAL

Steve Bannon jadi mangsa terbaru pemecatan Trump

WASHINGTON 20 OGOS: Ketua Strategik pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS), Steve Bannon menjadi individu terkini yang dipecat Donald Trump.

Akhbar The New York Times memetik kenyataan seseorang yang rapat dengan Bannon memberitahu surat peletakan jawatannya sudah dihantar pada 7 Ogos lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan Bannon, beliau tidak akan meletakkan jawatan secara sukarela.

“Bannon tidak akan melepaskan jawatannya, sebaliknya menunggu beliau dipecat oleh Rumah Putih. Hingga saat ini beliau masih melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, termasuk beberapa projek,” katanya.

Menurut individu terbabit, pengumuman berhubung peletakan jawatan Bannon sepatutnya dibuat minggu ini tetapi ditangguhkan susulan kekecohan dalam tunjuk perasaan di Virginia.

Isu membabitkan Korea Utara dilihat antara yang mencemarkan imej Bannon selepas bersetuju diwawancara American Prospect minggu ini.

Beliau mendakwa tidak menyedari kenyataan terbabit dirakam kerana beranggapan sedang berbual bersama seorang ahli akademik.

Malahan, Bannon telah memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau boleh kembali bersama agensi berhaluan kanan Breitbart News jika disingkirkan Rumah Putih.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Putrajaya digesa bantah risikan USA dan Australia ke atas Malaysia

fahmi-fadzil

SHAH ALAM 31 OKT : Putrajaya digesa supaya bertindak tegas dan menghantar nota bantahan kepada Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Amerika Syarikat serta Australia untuk menghalang aktiviti risikan yang didakwa dilakukan ke atas Malaysia.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata operasi risikan itu didakwa bertujuan memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet di bawah operasi “Stateroom” yang turut membabitkan Britain dan Kanada.

Katanya, risikan itu juga berkemungkinan digunakan untuk kelebihan strategik dua negara itu, terutama ketika Malaysia terbabit dalam perbincangan berkenaan Perjanjian Trans Pasifik (TPPA).

“Kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia perlu memberi penjelasan berkenaan dakwaan ini kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, terutama selepas tindakan itu dikecam pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasioanal (BN).

“Sebarang risikan yang dilakukan negara luar di dalam Malaysia wajib dikecam dan tidak dibenarkan terus berlaku, demi keselamatan ekonomi dan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, risikan itu pernah berlaku apabila Australia digunakan untuk memintas komunikasi pejabat kerajaan sewaktu perundingan rizab minyak dan gas di Timor Gap.

Sementara itu, ‘Whistleblower’, Edward Snowden melalui Der Spiegel dan Sydney Morning Herald sebelum ini mendakwa, Amerika Syarikat menggunakan kedutaannya serta suruhanjaya tinggi milik Australia termasuk di Kuala Lumpur untuk menjalankan risikan. -NFN-