Categories
AGENDA NASIONAL

Azizulhasni layak ke peringkat akhir acara keirin

TOKYO, 8 OGOS: Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang kini semakin hampir melakar sejarah tersendiri, merangkul pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Tokyo, apabila berjaya mempamerkan persembahan cemerlang untuk mara ke peringkat akhir acara keirin lelaki di Izu Velodrome in Shizuoka, di sini hari ini.

Bekas juara dunia berumur 33 tahun itu yang menjadi harapan negara untuk merangkul pingat emas sejak dari awal temasya, mengungguli Saringan Dua di hadapan pelumba Jerman Maximilian Levy dan pelumba dari Belanda Harrie Lavreysen, yang meraih pingat emas dalam acara pecut lelaki.

Sementara itu penyandang juara Jason Kenny dari Britain, pelumba Australia Matthew Glaetzer dan pelumba Suriname Jair Tjon En Fa muncul tiga pelumba terbaik dalam saringan pertama.

Tiga pelumba terbaik dalam dua saringan akan berlumba di peringkat akhir, yang akan bermula pada pukul 11 pagi ini.

Terdahulu seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang untuk beraksi dalam saingan peringkat separuh akhir selepas menjadi pelumba terakhir sampai di garisan penamat dalam Saringan Dua peringkat suku akhir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Azizulhasni mohon seluruh rakyat doa kejayaan bawa pulang pingat emas

TOKYO, 7 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang meminta seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaannya membawa pulang pingat emas Olimpik pertama di Tokyo pada hari terakhir temasya berprestij dunia itu esok.

Mohd Azizulhasni, 33, mengesahkan slot di pusingan suku akhir acara keirin bersama rakan senegara Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas masing-masing melepasi cabaran pusingan pertama di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.

Bagaimanapun, saingan suku akhir yang disusuli dengan aksi separuh akhir dan akhir esok bakal menyaksikan kedua-dua pelumba negara berdepan satu lagi cabaran getir dalam melaksanakan misi melakar kejayaan bersejarah di bumi Tokyo.

Justeru, Mohd Azizulhasni yang merupakan bekas juara dunia keirin 2017 mengharapkan doa serta sokongan daripada peminat untuk mengharungi halangan terakhir dalam memburu kilauan pingat emas yang dinanti-nantikan.

“Saya tidak minta banyak, untuk semua rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, doakan saya, doakan saya untuk perlumbaan esok kerana it’s gonna be really tough (ia sungguh mencabar) sebab kita ada tiga perlumbaan dalam hari yang sama, suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Doakan semuanya berjalan lancar, tiada kemalangan, tiada himpitan dan apa sahaja. Insya-Allah doakan juga kejayaan saya untuk memenangi emas esok,” katanya kepada sebuah stesen televisyen swasta Malaysia selepas perlumbaan itu.

Pada aksi pusingan pertama hari ini, Mohd Azizulhasni menepati ramalan ke suku akhir apabila mudah mengungguli perlumbaan Saringan Tiga menewaskan pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul di tempat kedua dan Patryk Rajkowski dari Poland di kedudukan ketiga.

Manakala Muhammad Shah Firdaus yang mengalami kemalangan selepas terjatuh akibat daripada perlanggaran dengan pelumba Great Britain Jack Carlin pada Saringan Dua pusingan pertama, mara setelah menamatkan saingan Saringan Dua repechage di tempat kedua.

“Pelumba Malaysia kita ada kelajuan, cuma tak ada high power (kuasa tinggi) untuk berlumba dalam acara pecut. Sebab itu saya kata kita (Malaysia) ada peluang cerah dalam acara keirin, bukannya nak kata kita memang sudah ada jaminan akan menang.

Kita masih perlu berusaha dan juga bertawakal kepada Allah dan kita juga kena execute the plan really well (melaksanakan apa yang dirancang sebaik mungkin), selain 100 peratus fokus pada hari perlumbaan,” kata pemenang pingat gangsa dalam acara sama pada edisi Rio 2016.

Dalam saingan peringkat suku akhir esok, Mohd Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama dengan Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Sementara itu Muhammad Shah Firdaus pula akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama dengan Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Surinam) dan Nicholas Paul (Trininad and Tobago).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Azizul janji bangkit dalam acara keirin pada Sabtu

TOKYO, 5 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berjanji akan berjuang habis-habisan dalam acara kegemarannya iaitu keirin di Sukan Olimpik Tokyo, Sabtu ini.

Azizulhasni yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu berpendapat peluangnya untuk mengungguli acara keirin tampak cerah selepas terlepas peluang melayakkan diri ke peringkat suku akhir acara pecut hari ini.

Azizulhasni yang merupakan pemenang pingat gangsa keirin di Rio 2016 sebaliknya bersyukur tersingkir dalam acara pecut kerana situasi itu dapat memberi kelebihan kepadanya terutamanya bagi mendapat rehat secukupnya sebelum kembali beraksi di Velodrome Izu.

Katanya, mengikut perancangan asal bersama jurulatihnya, John Beasley, beliau memaklumkan tidak akan menumpukan peluang beraksi di suku akhir sekiranya tidak berupaya mengatasi pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland, dalam perlumbaan pusingan ketiga 1/8.

“Sekiranya masuk suku akhir, akan jumpa pelumba sama, jika kalah akan bersaing dalam perlumbaan penentuan lima hingga lapan terbaik, jadi akan ada banyak perlumbaan.

“Ia akan menyebabkan saya penat dan tak dapat cukup rehat, jadi amat penting untuk kita atur strategi betul untuk beri tumpuan penuh dalam keirin,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam saluran YouTube Azizul Awang bertajuk ‘Pecutan Hari Kedua | Perjalanan Azizul Awang Mengejar Kilauan Emas’, hari ini.

Hoogland yang memecahkan rekod Olimpik dengan masa 9.215 saat dalam pusingan kelayakan pada Rabu (4 Ogos), memenangi perlumbaan dengan mencatatkan masa 9.831s iaitu 0.040s lebih pantas daripada Azizulhasni pada perlumbaan Saringan Satu peringkat ketiga 1/8.

Kekalahan itu menyaksikan Azizulhasni terpaksa beraksi dalam Saringan Satu perlumbaan Repechages 1/8 namun sekadar menduduki tempat kedua di belakang juara bertahan, Jason Kenny dari Great Britain yang merekodkan masa 10.066 saat untuk memenangi perlumbaan itu, manakala pelumba tuan rumah, Yuta Wakimoto ketiga.

Mengulas mengenai prestasi hari ini, pelumba berusia 33 tahun itu tetap gembira dengan kayuhan diperagakannya walaupun terkandas di peringkat ketiga.

Menurutnya, pelumba yang bersaiz besar mempunyai kelebihan dari segi tenaga untuk menguasai acara pecut berbanding pelumba yang bersaiz kecil sepertinya.

Juara dunia dari Dungun, Terengganu itu pada masa sama memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan kegagalannya untuk mara lebih jauh dalam acara pecut.

Selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak berjaya mara ke suku akhir selepas tewas dalam Saringan Dua perlumbaan Repechages 1/8.

Pelumba berusia 25 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang pelumba Perancis Sebastien Vigier yang memenangi perlumbaan dengan catatan 10.169s, manakala Sam Webster dari New Zealand di tempat kedua.

Sebelum itu, Muhammad Shah Firdaus gagal membalas dendam kekalahan kepada Harrie Lavreysen dalam perlumbaan Pusingan Pertama 1/32 semalam, apabila sekali lagi tewas kepada pelumba Belanda itu yang mencatatkan masa 9.635s untuk memenangi Saringan Dua perlumbaan 1/8.

Bagaimanapun, beliau masih mempunyai peluang akhir untuk menyinar di negara matahari terbit apabila turut dijadual beraksi bersama Azizulhasni dalam acara keirin.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Shah Firdaus raih gangsa acara keirin di Dublin

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Muhammad Shah Firdaus Sharom berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas memenanginya bagi acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019 di Veledrom Sundrive, Dublin, Ireland.

Walaupun terpaksa menunggu seharian dalam keadaan hujan dan cuaca sejuk, beliau mengelakkan pasukan negara pulang dengan tangan kosong, selepas berjaya menaiki podium.

Pelumba berusia 23 tahun itu memberikan saingan sengit, sebelum berpuashati dengan pingat gangsa di belakang Jason Kenny (Britain) yang memenangi emas dan Juan Peralta Gascon (Sepanyol), perak.

Dua lagi pelumba negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Firdaus Mohd Zonis, masing-masing menduduki tempat kelapan dan ke-10.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi menamatkan acara keirin wanita di tempat kelima.

– BERNAMA / -Foto Sumber: Facebook M.Shah Firdaus