Categories
AGENDA NASIONAL

Ubah suai rumah bukan punca tanah runtuh di Kemensah Heights

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang Jaya pada Jumaat bukan berpunca daripada pengubahsuaian tanpa kebenaran yang dilakukan penduduk.

Bagaimanapun pengarah jabatan kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata faktor utama kejadian masih belum dapat disimpulkan, lapor Berita Harian.

“Kejadian itu membabitkan dua bahagian. Tanah runtuh memberi kesan kepada banglo berkenaan, bukan ia menjadi punca kejadian.

“Jabatan dan agensi berkaitan diberi tiga hari untuk mencari punca kejadian. Masih terlalu awal untuk kita simpulkan apa yang menjadi penyebab utama tanah runtuh berkenaan,” kata Zafrul Fazry Mohd Fauzi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan terima 26 laporan daripada penduduk membabitkan kerosakan harta benda dan isu kawalan keselamatan.

“Setakat ini, kita kenal pasti 110 penduduk terkesan dengan kejadian terbabit. Seorang ditempatkan di pusat pemindahan sementara manakala selebihnya tinggal di rumah saudara.

“Saya dimaklumkan jabatan berkaitan tiada lagi pergerakan tanah di kawasan ini, namun seorang pegawai dan 10 anggota polis masih ditempatkan di sini menerusi tiga syif sehari bagi membuat kawalan keselamatan,” katanya.

Pada Jumaat tiga banglo dan 24 rumah bandar membabitkan 27 keluarga terjejas akibat kejadian tanah runtuh namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Susulan itu semua penduduk diminta berpindah sementara waktu selain Kerajaan Negeri turut mengisytihar lokasi berkenaan sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi bantuan awal RM500 kepada keluarga terlibat untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB isytihar lokasi tanah runtuh Kemensah Heights kawasan bencana

HULU KELANG, 18 SEPT: Kerajaan Negeri mengisytihar lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar berkata tiga unit banglo terlibat dalam kejadian tanah itu belum selamat diduduki dan penduduk diminta untuk berpindah.

“Begitu juga dengan 24 unit rumah bandar terlibat turut disaran berpindah buat sementara waktu kerana tidak mahu menanggung risiko khuatir berlaku runtuhan susulan.

“Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) akan mengambil masa dua atau tiga hari untuk mendapatkan kepastian adakah premis terlibat selamat diduduki atau tidak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Keadaan lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Klang pada 18 September 2021. Foto RADIN WAZIR

Terdahulu beliau meluangkan masa lebih satu jam di lokasi kejadian bagi bertemu beberapa mangsa kejadian.

Amirudin turut memaklumkan pihaknya akan memaklumkan tindakan pemulihan yang diambil selepas kajian selesai dijalankan.

“Untuk sementara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meletakkan kanvas di kawasan runtuhan bagi mengelak terdedah kepada air dan unsur lain yang boleh menyebabkan kerapuhan pada struktur tanah atau runtuhan susulan,” katanya.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dan pihak bomba memaklumkan berlaku aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam.

Categories
SELANGOR

Kemajuan Masjid Al-Iman banggakan komuniti setempat

OLEH HAFIZAN TAIB

HULU KELANG, 20 JAN: Kemajuan dinikmati Masjid Al-Iman, Kemensah Height, di sini, melahirkan kebanggaan kepada kariah dan komuniti masyarakatnya.

Masjid terbabit dibina sejak 14 tahun lalu dan perpaduan di kalangan masyarakat di kawasan ini menyaksikannya melalui pembangunan yang baik.

Penasihatnya, Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh berkata, perkembangan itu memberi motivasi kepada kariah masjid dan komunitinya dalam merangka program serta pembangunan seterusnya.

IMG_20170120_152023_148“Alhamdulillah dalam tempoh 14 tahun pembinaannya, perpaduan masyarakat dan kariahnya memberi kelebihan kepada kita hingga kawasan ini menjadi milik kita sepenuhnya.

“Penyatuan masyakat juga membuatkan segala aktivit berjalan lancar dan berjaya,” katana.

Masjid itu menyambut ulang tahun ke 14 tahun ini dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir menunaikan solat sunat jumaat di sini, sebagai tanda sokongan.

Beliau yang juga Orang Besar Daerah Gombak melahirkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar dan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang hadir meraikan kami.

“Ini satu hadiah kepada kami dan kita tahu beliau berjiwa rakyat ” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Program Masjid Al-Iman tepati matlamat lahir modal insan

OLEH HAFIZAN TAIB

HULU KELANG, 20 JAN: Pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan dijalankan di Masjid Al-Iman, Kemensah Height, di sini, menepati matlamat Kerajaan Negeri dalam pembangunan modal insan di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perancangan diatur jawatankuasa masjid ternyata mendatangkan manfaat kepada komuniti setempat di kawasan itu.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi dokongan kepada kepimpinan masjid di Selangor dalam memastikan pembangunan dalam bentuk pimpinan dan infrastruktur berjalan dengan berkesan bagi memenuhi misi ditetapkan.

IMG_20170120_143302_514“Ini kerana kita bukan sahaja mahu membangunkan bangunan tetapi kita juga ingin bangunkan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis jamuan selepas solat sunat jumaat di Masjid Al-Iman, Kemensah Height, di sini, hari ini.

Masjid itu menyambut ulangtahun ke 14 tahun ini.

Dato’ Menteri Besar melahirkan rasa gembira dengan perkembangan masjid yang berjaya menjalankan program dengan baik oleh pengurusan masjid dan komuniti masyarakat di sini.

Katanya, memang menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat masjid menjadi pusat perpaduan masyarakat Melayu Islam di negeri itu.

-nR-