Categories
AGENDA NASIONAL

KKR komited tampal jalan berlubang dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kerja-kerja penampalan jalan berlubang menerusi Kempen Aku Janji Zero Potholes yang diperkenalkan semula pada Julai lepas.

KKR dalam kenyataan memaklumkan Kempen Aku Janji Zero Potholes sebelum ini dari 2016 hingga 2018 bertujuan memperkukuhkan komitmen kementerian terhadap penyampaian perkhidmatan penyenggaraan jalan dalam negara.

“Ia adalah inisiatif kementerian bersama JKR dan enam syarikat konsesi bagi Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Di bawah kempen ini, kerja-kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan dan dalam tempoh tiga hari bagi pembaikan kekal seperti mana dalam kontrak ‘Federal Road Maintenance’,” menurut kenyataan semalam.

Kenyataan itu menyebut kerosakan ‘pothole’ merujuk kepada lubang berkelebaran 200 hingga 1,000 milimeter (mm).

“Sekiranya kelebaran lubang itu di bawah 200 mm, teknik tampalan tidak melibatkan potongan tetapi sebaliknya ditampal terus, namun apabila kelebaran lubang itu sehingga 1,000 mm, ia memerlukan kaedah pemotongan jalan sebelum menampalnya.

“Jika dimensi lubang itu melebihi 1,000 mm, maka ia perlu dilihat sebagai kegagalan pavement,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KKR memperuntukkan RM1.09 bilion bagi kerja-kerja senggara Jalan Persekutuan di seluruh negara termasuk bil elektrik, lampu isyarat dan lampu jalan pada 2021.

“Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk pelaksanaan ‘weight in motion’ di jalan-jalan persekutuan yang dikenal pasti menerusi bajet 2021.

“KKR akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan permukaan jalan tidak cepat rosak akibat daripada lebihan muatan kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, KKR sentiasa komited dalam memastikan setiap aduan yang diterima diselesaikan dengan kadar segera tanpa mengira status pengadu dan turut mengamalkan ‘No Wrong Door Policy’ demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebanyak 4,091 aduan kategori infrastruktur awam telah diterima KKR dan JKR sehingga 30 November. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,473 aduan merupakan aduan jalan rosak. Kesemua aduan telahpun diselaraskan dan diambil tindakan oleh JKR.

“Hampir 200,000 jalan berlubang dikesan dan dibaiki melalui pemantauan dan data rondaan JKR pada 2019 manakala 64,000 jalan berlubang telah direkodkan dan diambil tindakan sehingga Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

KKR juga menyifatkan setiap aduan dan pandangan yang diberikan bertujuan untuk pembangunan sejagat agar maklumat yang tepat dan lengkap diperolehi bagi tujuan siasatan yang jelas di lokasi.

Pada 27 Disember, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilapor terbabit kemalangan apabila basikal ditunggangnya terbalik, selepas tayar hadapan terperosok dalam lubang atas jalan dengan beliau mengalami kecederaan ringan pada muka selepas terhumban pada bahu jalan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mansuh tol motosikal, CIDB di pedalaman antara pencapaian KKR

KUALA LUMPUR, 28 APR: Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan yang memanfaatkan kira-kira 72,000 penunggang motosikal sehari merupakan antara pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sejak setahun lepas.

Turut menjadi kebanggaan ialah pembukaan cawangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di kawasan pedalaman termasuk di Sibu, Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata pemansuhan kutipan tol bermula Januari tahun ini, memberi manfaat kepada 20,000 pengguna motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP), 2,000 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (JSAHMS) dan 50,000 di Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor, setiap hari.

Menurutnya, melalui inisiatif itu juga pemansuhan tol motosikal dilakukan lebih awal daripada tempoh ditetapkan dalam perjanjian konsesi melibatkan awal 19 tahun bagi Tol Tanjung Kupang dan JPP, manakala awal 34 tahun untuk JSAHMS.

“Bebanan kos sara hidup rakyat juga dapat dikurangkan kerana penjimatan dinikmati pengguna motosikal di laluan-laluan tersebut sebanyak RM24 ke RM66 sebulan,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PAKATAN mentadbir pada Jumaat lalu.

Mengulas mengenai cadangan PAKATAN dalam pengambilalihan konsesi tol lain di seluruh negara, Baru berkata buat masa ini satu kajian impak sedang dilakukan oleh satu agensi perunding bebas dan laporan tersebut dijangka siap pada bulan depan.

“Kerajaan mungkin akan terima laporan mengenainya pada Mei dan kita akan kaji laporan itu dan akan dikemukakan pada Jemaah Menteri untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.

Menyentuh mengenai pembukaan cawangan CIDB di Sibu pada 23 Mac lalu, Baru berkata langkah itu dianggap satu kejayaan kerana berjaya memperluaskan perkhidmatan CIDB khususnya di kawasan pedalaman.

Cawangan itu menyediakan perkhidmatan memproses pendaftaran kontraktor dan bahan binaan serta pendaftaran dan akreditasi personel binaan.

“Cawangan baharu ini akan memberi kemudahan kepada 974 kontraktor dan 13,000 personel binaan di Sibu, dan pelanggan tidak perlu lagi ke cawangan lain yang terletak jauh di Kuching dan Bintulu.

“Melalui pembukaan cawangan ini juga pertumbuhan industri pembinaan di kawasan itu akan lebih mantap, berkualiti, produktif dan sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sibu,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL RENCANA

Kementerian Kerja Raya merintis kesejahteraan rakyat

OLEH NAEEM RAFFI

Membudaya tadbir urus terbaik

Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan mottonya ‘Ke Arah Kesejahteraan Rakyat’ terus komited menjadi penggerak utama yang dinamik, inovatif dan berdaya saing dalam merealisasikan agenda pembangunan negara mampan, sekali gus meningkatkan hasil serta memperkasa kemakmuran.

Selain memperkukuhkan nilai kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan ketulusan, KKR juga menjanjikan pembangunan infrastruktur negara dilaksana dengan cekap, berkualiti, lestari serta berdaya saing di peringkat global.

Amanah besar itu diterajui Menteri Kerja Raya, Baru Bian dengan menerapkan tiga nilai bersama utama yang menuntut seluruh warga kerja kementerian itu mengamalkan budaya profesional, integriti dan kerja berpasukan dalam memastikan agenda Kerajaan Malaysia Baharu dicapai.

Malaysia Baharu, penuhi aspirasi rakyat

Kemaraan Pakatan Harapan (PAKATAN) ke Putrajaya membentuk kerajaan seusai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), membuka harapan besar buat rakyat menikmati Malaysia Baharu dalam memastikan negara kembali berada, di landasan betul.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau yakin bahawa rakyat menaruh harapan tinggi kepada PAKATAN, justeru baginya kerajaan hari ini perlu memberi penekanan kepada hasil penyampaian dalam memenuhi aspirasi rakyat.

“Budaya rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan seperti amalan kerajaan terdahulu ternyata merosakkan sistem pemerintahan dan negara.

“Justeru, melaksanakan tanggungjawab secara telus, berakauntabiliti dan berhemat menjadi saranan baru dalam kerajaan, hari ini,” kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak itu.

Kesungguhan KKR menolak budaya korup itu selaras dengan usaha kerajaan membebaskan negara daripada rasuah menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), pada 8 Jun lalu.

JKKMAR ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan dalam menentukan dasar berhubung dengan pemantapan keutuhan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan.

Kerajaan juga menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang berfungsi merancang, memantau, menilai dan melapor perkara berkaitan ‘governance’, integriti serta pembentarasan rasuah.

“KKR memandang serius untuk mencari jalan penyelesaian dan penambahbaikan kepada masalah rasuah dan ketirisan.

“Justeru, saya menyeru setiap warga kementerian, jabatan dan agensi di bawah KKR untuk memainkan peranan supaya hasrat kerajaan itu dapat direalisasikan,” katanya.

Agensi di bawah KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan tiga lembaga profesional iaitu Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia turut yakin prestasi KKR dapat diperkasakan lagi di bawah pentadbiran kerajaan baru.

Menteri pertama dari suku Lun Bawang itu juga percaya jika urus tadbir dilaksana dengan sempurna di semua peringkat, maka sudah pasti Malaysia Baharu dapat dicapai dan nikmat kemakmuran serta kemajuan negara dapat dinikmati rakyat.

Jamin ketelusan, tegak keadilan

Memahami bahawa KKR mempunyai tanggungjawab berat berdepan aspirasi rakyat, Baru optimis kesepakatan dan kesempurnaan kerja berkumpulan dalam kementeriannya menjadi kunci kejayaan.

Justeru, warga kerja KKR dan agensi di bawahnya diingatkan untuk bersama-sama bekerja keras ke arah mencapai matlamat membangunkan infrustruktur negara mengikut piawaian ditetapkan berlandaskan integriti tinggi.

Sebagai seorang pengamal undang-undang, Baru menegaskan dirinya sangat berpegang teguh pada konsep ketelusan, integriti dan keadilan.

“KKR mengamalkan satu dasar iaitu tender terbuka untuk projek pembangunan yang akan dilaksanakan. Ia bagi menjamin ketelusan, integriti dan keadilan.

“Ternyata, ia berbeza dengan kerajaan terdahulu yang mengamalkan beberapa kaedah dalam pemberian sesuatu projek,” katanya.

Beliau turut menggesa penjawat awam melaksanakan tugas dengan berintegriti dan sentiasa mengutamakan kepentingan awam.

Untuk maksud itu, beliau menyarankan supaya dasar ‘wistle-blowers’ dapat dilaksanakan secara meluas di setiap jabatan dan agensi, di bawah KKR.

Utamakan projek bermanfaat kepada rakyat

Walaupun negara hari ini berdepan kekangan kewangan, Baru menegaskan, usaha membawa pembangunan kepada rakyat tetap diteruskan.

Ia dibuktikan apabila Kerajaan PAKATAN menerusi KKR komited memastikan Lebuhraya Pan Borneo iaitu sebuah projek mega meliputi Sarawak dan Sabah terus dilaksanakan dengan jayanya serta siap mengikut jadual, pada 2021.

Bagaimanapun, lebuh raya sepanjang 2,325 kilometer membabitkan kos kira-kira RM29 bilion itu sedang disemak semula bagi memastikan kos keseluruhannya lebih rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan itu optimis bahawa pendekatan holistik, bebas amalan rasuah dan pengurusan telus menerusi tender terbuka mampu mencapai hasrat itu.

“Pan Borneo adalah lebuh raya pertama seadanya di Malaysia timur dan pastinya saya sebagai menteri bertanggungjawab akan meneruskan projek ini demi manfaat rakyat, di sana.

“KKR memantau rapat perkembangan projek ini dalam memastikan ia berjalan seperti yang dijadualkan.

“Pada masa sama, KKR berusaha memastikan kos projek ini dapat dikurangkan ekoran keadaan kewangan negara kini begitu ketat,” katanya.

Bagi memantau perkembangan terkini pembinaan lebuh raya itu, KKR dengan kerjasama Rakan Penyampai Projek (PDP) iaitu Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) mengadakan Jelajah Lebuhraya Pan Borneo, bermula 29 September hingga 1 Oktober lalu.

Sudah pastinya, Jelajah Pan Borneo yang bermula dari Telok Melano sehingga ke Miri itu disertai Baru.

Optimis KKR terus cemerlang

Walaupun baru empat bulan menggalas amanah di KKR, Baru merasakan kementerian itu amat dekat dengan dirinya.

Ikrarnya, amanah rakyat itu akan dipikul sebaiknya bersandarkan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sudah memberi mandat kepada saya untuk menerajui KKR yang sudah pasti akan saya manfaatkan sebaiknya.

“Maklum balas dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam kalangan warga kerja KKR juga memudahkan tugas saya, di sini,” katanya.

Dalam memastikan KKR terus cemerlang, Baru berharap warga kementerian sentiasa mengembangkan ilmu pengetahuan dan cakna kehadiran teknologi terkini yang boleh dipelajari dari negara maju.

“Teknologi hari ini mungkin tidak relevan pada masa hadapan jika kita tidak peka.

“Jadi, amat perlu untuk semua warga kementerian bersedia dan responsif kepada perubahan yang begitu cepat,” katanya.

# Wawancara Khas Penolong Pengarang SelangorKini, Naeem Raffi, bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian, di pejabatnya, baru-baru ini.