Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan main air banjir, elak risiko jangkitan kencing tikus, Melioidosis

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai mengelak bermain air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mencegah risiko jangkitan Leptospirosis (kencing tikus) dan Melioidosis melalui air tercemar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai disaran menggunakan alat pelindung diri seperti but getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur.

“Bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan Acute Gastroentritis (AGE), orang ramai perlu mengambil air yang telah dimasak dan makanan yang bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir juga perlu mendapatkan rawatan segera daripada pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Banjir atau fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya.

KKM juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah di merata tempat bagi mengelakkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain.

Menurut Noor Hisham sekiranya bekalan elektrik terputus, orang ramai disaran memastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak.

“Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air dan elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya dipastikan selamat,” jelasnya.

Manakala bagi penghidap penyakit kronik (seperti pesakit hemodialisis) yang memerlukan rawatan berkala, perancangan berpindah perlu dibuat lebih awal supaya tidak terputus hubungan untuk mendapatkan rawatan.

“Pastikan bekalan ubat mencukupi dan disimpan ditempat yang selamat bagi mengelakkan ianya rosak terkena air banjir. Sekiranya bekalan ubat terputus atau rosak disebabkan banjir, perlu segera maklumkan kepada pasukan perubatan,” katanya.

Noor Hisham berkata ekoran kejadian banjir, 33 buah fasiliti kesihatan terjejas melibatkan 28 buah fasiliti kesihatan di Kelantan dan lima buah di Terengganu.

Daripada jumlah itu, katanya, 21 buah fasiliti kesihatan terputus hubungan, lima buah dinaiki air dalam bangunan dan tujuh buah fasiliti kesihatan dilanda banjir di luar fasiliti.

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat banjir, boleh diperolehi di https://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/e-magazine/item/banjir-2

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sita 2,135 produk makanan bernilai lebih RM60,000

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyita 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 yang mempunyai akuan boleh merawat penyakit pada label dan pengiklanan produk, dalam operasi khas dua hari di seluruh negara bulan lepas.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu 47 notis dengan nilai keseluruhan RM113,500 dikeluarkan kepada pemilik premis makanan, yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, mengikut Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit dan kegagalan mematuhinya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebih RM100,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.

“KKM memandang serius penjualan produk makanan yang membuat akuan kesihatan pada label dan pengiklanan produk makanan sama ada di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain.

“Penyataan seperti boleh merawat penyakit, jus kesihatan terbaik, boleh menyembuhkan sakit buah pinggang, kencing manis, menghilangkan nyanyuk dan sebagainya adalah dilarang pada iklan atau label makanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Dr Noor Hisham turut menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan tegas jika jual vape kepada pelajar

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kementerian Kesihatan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik mengandungi cecair nikotin dan penggunaannya dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah dalam usaha membanteras gejala vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara itu tertumpu kepada kedai-kedai menjual rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah yang menjadi akses kepada pelajar.

“Rokok elektronik yang menggunakan cecair bernikotin adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan dilarang penjualannya kecuali oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai langkah mengawal penjualan vape atau rokok elektronik yang kini menjadi trend serta tarikan terutama remaja dan pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kementeriannya juga giat menjalankan penguatkuasaan pendidikan berkaitan larangan merokok di premis makanan dengan 146,607 premis makanan telah diperiksa setakat ini.

Katanya pihaknya turut mengeluarkan notis amaran kepada 27,759 premis kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok, manakala 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari tahun depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sedia pelbagai bantuan kesihatan buat M40

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan golongan berpendapatan pertengahan (M40) dengan memberikan pelbagai bantuan untuk membela nasib mereka termasuk perkhidmatan kesihatan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkhidmatan kesihatan bagi seluruh rakyat Malaysia termasuk golongan M40 di fasiliti KKM adalah bersubsidi dengan kadar bayaran minimum atau percuma iaitu caj yang dikenakan adalah RM1 bagi pesakit luar dan RM5 bagi klinik pakar.

“Caj maksimum bagi pesakit kelas tiga pula adalah tidak melebihi RM500 bagi setiap kemasukan hospital. Untuk warga emas, diskaun 50 peratus diberikan ke atas caj yang dikenakan dengan maksimum caj sebanyak RM250.

Pemegang kad OKU (orang kelainan upaya) diberi pengecualian di Wad Kelas 3,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PAKATAN-Kota Melaka) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan inisiatif-inisiatif kesihatan (sedia ada dan yang bakal diperkenalkan) untuk golongan berpendapatan M40.

Dzulkefly memberitahu, KKM juga mempunyai mekanisme dalam membantu pesakit-pesakit yang tidak mampu dan kurang berkemampuan melalui Tabung Bantuan Perubatan (TBP).

“Tabung ini ditubuhkan sejak 2005 untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan dan perubatan penyakit kronik yang boleh dirangkumkan dalam pelbagai disiplin seperti kardiologi, ortopedik, otorinolaringologi (ENT), pediatrik dan sebagainya. Bantuan ini juga termasuk kos ubat-ubatan yang tidak disediakan oleh pihak hospital kerajaan,” katanya.

Menurutnya, KKM juga telah menyediakan subsidi bagi pesakit kurang berkemampuan untuk mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan menanggung sepenuhnya atau sebahagian dari kos perubatan dan rawatan, tertakluk pesakit memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam peraturan yang berkuat kuasa.

Katanya, secara purata setiap tahun KKM membelanjakan sebanyak RM450 juta bagi pesakit kurang berkemampuan mendapat rawatan di IJN.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM juga bercadang mewujudkan mekanisme mengawal caj ubat-ubatan yang sangat tinggi di hospital swasta.

“Kita tahu pihak swasta suka guna ‘ubat asli’ atau ‘ubat terpaten’ kerana itu adalah ubat-ubatan berbanding dengan ‘generik’ yang lebih murah…perkara ini kita telah pun beberapa kali mengadakan perbincangan untuk mendapatkan satu mekanisme mengawal harga-harga ubatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo yang bertanyakan langkah yang diambil oleh kementerian untuk mengawal harga ubatan yang mahal di hospital swasta.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tubuh pasukan khas siasat kebocoran maklumat pesakit

SHAH ALAM, 10 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dan mengenal pasti punca pendedahan maklumat pesakit selepas menerima satu laporan mengenainya yang diterbitkan Syarikat Greenbone Networks pada 16 September lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan selain mendapatkan bantuan teknikal daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Katanya, pasukan khas telah menghubungi dan mengadakan perbincangan dengan organisasi swasta berkaitan bagi memperkukuh serta mempertingkatkan tahap keselamatan sistem terbabit di organisasi berkenaan.

“Merujuk kepada kandungan laporan itu, punca risiko pendedahan maklumat pesakit berlaku apabila sistem pengimejan radiologi boleh diakses melalui internet tanpa ciri keselamatan.

“Hasil siasatan mendapati tiga sistem yang dilaporkan Greenbone Networks menghadapi risiko pendedahan maklumat terbabit adalah milik sebuah organisasi swasta tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkefly berkata, KKM juga telah mengambil inisiatif dan tindakan segera bagi memastikan maklumat di semua fasiliti kesihatan kerajaan sentiasa dilindungi daripada risiko pendedahan maklumat pesakit.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kempen waspada beli ubat dalam talian sepanjang Oktober

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian sepanjang bulan ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, kempen tersebut diadakan bagi memberi pendidikan kepada pengguna tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian.

Ia juga bertujuan bagi membantu pengguna membuat pertimbangan wajar dengan menyemak terlebih dahulu semua maklumat yang terkandung dalam iklan ubat dalam talian, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang kempen itu ialah sebaran infografik di laman sosial rasmi KKM, sebaran mesej melalui aplikasi WhatsApp, ceramah, pameran dan wawancara di radio dan televisyen.

“Melalui kempen ini, pelbagai tips berguna sebelum membuat pembelian ubat dalam talian dapat diaplikasikan iaitu pengguna perlu menyemak terlebih dahulu status pendaftaran ubat-ubatan tersebut dengan KKM.

“Seterusnya, pengguna boleh membuat semakan pengiklanan ubat-ubatan tersebut dan memastikan pengiklanannya telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU),” katanya.

Tanda pagar #biarbetuliklanni! dipilih untuk kempen itu bagi menerapkan kewaspadaan dalam kalangan pengguna supaya tidak mudah percaya pada iklan-iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan dalam talian.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM memandang serius penjualan ubat-ubatan secara dalam talian dan pengiklanan ubat-ubatan dengan pelbagai tuntutan yang diragui kesahihannya.

“Pengguna didedahkan kepada risiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan dan ubat dicampur palsu Racun Berjadual yang boleh mengancam nyawa. Justeru, pengguna perlu berwaspada apabila membuat pembelian ubat dalam talian,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Notifikasi empat produk kosmetik dengan racun berjadual dibatal

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Kementerian Kesihatan membatalkan notifikasi terhadap empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual di dalam produk mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk berkenaan ialah Dnars Gold Glowing Serum (Day) (racun Triamcinolone Acetonide) dan Dnars Gold Balen Cream (Night) (racun Hydroquinone; Betamethasone Valerate).

Selain itu, produk terlibat termasuk Tresors Natural Herbal Cream (racun Chloramphenicol; Sulfamethoxazole; Trimethoprim; Ketoconazole) dan Labeauty Booster Night Cream (Merkuri).

Dr Noor Hisham berkata, semua bahan yang dikesan merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan dan secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tegasnya, individu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

KKM pantau penyakit berkaitan jerebu – KP

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau penyakit berkaitan jerebu di 33 Fasiliti Sentinel Jerebu KKM iaitu asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan (URTI).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 3.5 peratus peningkatan penyakit asma (1.222 kepada 1.265 kes) pada minggu epid (ME) 38 iaitu pada 15 hingga 21 September berbanding purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun – 7 September).

Katanya, penyakit konjuntivitis juga terdapat peningkatan sebanyak 51.4 peratus (266 kepada 403 kes) pada tempoh sama manakala URTI menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 peratus (8,258 kepada 7,465 kes).

“KKM mengambil maklum berkenaan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam, semalam yang menunjukkan 24 stesen berada pada bacaan tahap sederhana, 42 stesen (tidak sihat) dan satu stesen (sangat tidak sihat).

“Justeru, KKM menasihatkan orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mengalami penyakit asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung serta alahan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya, pada ME 38 (15 hingga 21 September 2019) terdapat 17 kawasan merekodkan status IPU Sangat Tidak Sihat (Kulim Hi-Tech, Balik Pulau, Minden, Taiping, Johan Setia, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Putrajaya, Batu Muda, Nilai, Tangkak, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan Kuching) berbanding tiga kawasan pada ME 37 (8 hingga 14 September 2019) iaitu Samarahan, Kuching dan Johan Setia.

“Tiada kawasan merekodkan status IPU Bahaya pada ME 37 namun pada ME 38 terdapat satu kawasan merekodkan status IPU Bahaya iaitu Sri Aman,” katanya.

Bagi mendapatkan langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Orang ramai disaran untuk mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal JAS di alamat http://apims.doe.gov.my/.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM bentang akta kawalan vape, rokok elektrik di Parlimen Mac 2020

KUCHING, 8 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, ‘vape’, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM ketika ini dalam fasa akhir dalam penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta dapat menangani pelbagai isu terkini.

“Kita hampir di penghujung perbincangan bersama Peguam Negara dan sangat mengharapkan dapat membentangkannya di Parlimen pada suku yang pertama sebelum Mac tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri larian ‘Stop The Stigma’ anjuran Hospital Umum Sarawak di Bangunan DUN lama di sini, hari ini.

Beliau berkata, akta itu merangkumi bukan sahaja tembakau tetapi beberapa sisi lain yang bersangkutan dengan nikotin yang terdapat di dalam ‘vape’ ataupun rokok elektronik.

Sebelum ini, Timbalan Menteri, Dr Lee Boon Chye mengetuai jawatankuasa khas yang melihat kepada persoalan mengenai vape dan shisha yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin.

Mengenai acara larian berkenaan, Dzulkefly berkata, ia bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat sejagat mengenai kepentingan kesihatan mental serta masalah kesihatan mental yang semakin meningkat.

“Di Malaysia, trend tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati prevalen idea bunuh diri dalam kalangan remaja berusia 13-17 tahun adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sita 12,729 produk makanan

SHAH ALAM, 28 OGOS: Sebanyak 12,729 produk makanan disita membabitkan nilai RM109,289.15 dalam Ops Label dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 110 notis hadir ke mahkamah dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya, antara kesalahan dikenal pasti adalah bahasa yang digunakan pada label dan maklumat label tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 seperti nama sebutan sebenar, senarai ramuan tidak lengkap, tiada penyataan ramuan yang boleh menyebabkan alergi (hipersensitiviti) serta tiada berat bersih atau isipadu.

“Objektif Ops Label adalah untuk memastikan produk makanan berbungkus dihasilkan di negara ini atau diimport mematuhi pelabelan makanan seperti diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Operasi khas ini juga dijalankan bagi memastikan produk makanan yang dijual dengan betul dan tidak mengelirukan pengguna.

“Semua makanan diproses atau dibungkus di Malaysia perlu dilabelkan dalam Bahasa Malaysia dan manakala bagi makanan import dibenarkan dilabel dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut meningkatkan kawalan pada pelabelan produk makanan import di pintu masuk negara sejak Mac tahun lalu.

“KKM akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan produk makanan dijual di pasaran mematuhi syarat pelabelan ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terbabit seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan diimport dan dijual di pasaran mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna termasuk pelabelan makanan tidak mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq .

Categories
AGENDA NASIONAL

Graduan perubatan perlu guna sijil asal daftar dengan MPM

SHAH ALAM, 24 JUL: Graduan perubatan yang layak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) perlu mengemukakan ijazah asal perubatan daripada universiti atau kolej perubatan diiktirafnya.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, MPM seterusnya akan mengeluarkan Surat Layak Daftar kepada pemohon bagi kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Katanya, bagi memudahkan lantikan graduan perubatan ke jawatan berkaitan, KKM dan MPM memutuskan bahawa pemberian Surat Layak Daftar juga kini dipanjangkan kepada graduan perubatan yang mengemukakan transkrip akhir universiti (keputusan peperiksaan akhir) ditandatangani Presiden, Senat, Rektor atau Pendaftar Universiti sebagai alternatif.

“Kriteria ini sejajar dengan Akta Perubatan 1971 dan Surat Layak Daftar dengan nombor siri akan diberikan MPM kepada graduan perubatan terbabit.

“Ia akan digunakan untuk pendaftaran/permohonan secara atas talian melalui SPA8i dengan pihak SPA.

“Dimaklumkan juga bahawa surat Dekan dikeluarkan Fakulti Perubatan adalah tidak diterima. Tiada perubahan dalam proses untuk permohonan bagi pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu beberapa graduan perubatan yang tidak berjaya mendapat Surat Layak Daftar dari MPM untuk kegunaan permohonan lantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, namun bagi calon yang telah ditawarkan lantikan tetapi tidak mempunyai dokumen dinyatakan adalah dinasihatkan supaya mendapatkannya dari universiti atau kolej perubatan dengan kadar segera.

Katanya, ia kemudiannya perlu dikemukakan kepada MPM.

“Graduan perubatan berkaitan tidak perlu khuatir kerana tawaran pelantikan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah kepada pemohon adalah tidak terbatal dan lantikan akan terus dibuat pada kumpulan pengambilan yang akan datang setiap dua bulan,” katanya.

Categories
NASIONAL

KKM serah agensi berkaitan siasat punca gas beracun

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyerahkan kepada agensi berkaitan untuk menyiasat punca sebenar penghasilan gas beracun yang menyebabkan pelajar di sekitar Pasir Gudang, Johor mengalami sesak nafas sejak Khamis lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia berikutan pihaknya hanya membuat pemantauan dan kawalan berkaitan kesihatan.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya punca gas beracun itu, saya sebagai menteri kesihatan hanya melaksanakan pemantauan dari aspek kesihatan.

“Apa pun tunggu daripada mereka untuk buat kenyataan selepas mereka melakukan kajian berhubung perkara tersebut, tetapi saya sahkan simptom yang berlaku kepada pelajar memang berkaitan gas beracun dan bukannya daripada pemakanan atau keracunan makanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Aidilfitri dan perasmian Maahad Habibullah Al-Hafiz di Masjid Puncak Alam di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata gejala seperti sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala dan kekejangan otot yang dihadapi pelajar terlibat, sama seperti insiden pencemaran bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Mac lepas.

“Saya tidak boleh sahkan punca gas beracun ini juga datang dari lokasi sama iaitu di Sungai Kim Kim,” katanya.

Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan mengesahkan jumlah keseluruhan mangsa yang telah mendapatkan rawatan berhubung insiden itu setakat ini adalah seramai 31 orang iaitu 21 perempuan dan 10 lelaki.

Mangsa merupakan pelajar dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, yang mana telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. – BERNAMA