Categories
AGENDA NASIONAL

Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Prasekolah dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perpaduan Negara hari ini memuktamadkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Prasekolah.

Ketiga-tiga kementerian dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini memaklumkan garis panduan itu disediakan dengan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 15 Jun lalu telah meluluskan garis panduan ini serta bersetuju bahawa tarikh pembukaan semula prasekolah, tabika, tadika kerajaan dan swasta adalah bermula dari 1 Julai (Rabu).

“Garis panduan ini perlu dibaca bersekali dengan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang telah dikeluarkan oleh KPM pada 4 Jun 2020,” menurut kenyataan itu.

Garis panduan itu terpakai untuk semua kelas prasekolah, tabika, tadika kerajaan serta swasta dan boleh dimuat turun dari pautan berikut: https://www.moe.gov.my/pemberitahuan/pengumuman.

Melalui laman sesawang itu, didapati garis panduan tersebut mengandungi tujuan ia disediakan selain peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru serta pembantu urusan murid, ibu bapa atau penjaga.

Ia turut mengandungi garis panduan pelaksanaan seperti pengoperasian prasekolah, waktu tiba dan pulang serta Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) prasekolah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM jamin proses pengajaran dan pembelajaran dalam norma baharu selamat

PUTRAJAYA, 13 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) norma baharu yang akan ditempuhi pelajar sejurus sekolah dibuka pada 24 Jun ini akan berlangsung dalam keadaan selamat.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah, sebaliknya perlu memainkan peranan dengan memastikan keadaan kesihatan pelajar tersebut sebelum dihantar ke sekolah.

“Pergerakan pelajar juga akan sentiasa dipantau oleh guru. Kita cukup teliti dalam menghasilkan garis panduan tersebut bersama KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), garis panduan itu bermula dari pagar sekolah sejurus pelajar tiba di sekolah sehingga mereka pulang.

“Peranan ibu bapa amat kita hargai, pastikan anak-anak yang tidak sihat jangan dihantar ke sekolah, ini cukup penting. Ibu bapa lebih mengetahui keadaan anak-anak mereka, kalau tidak sihat ibu bapa perlu ambil inisiatif supaya anak-anak ini duduk di rumah atau dibawa menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas berkenaan pembukaan semula sekolah di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Rabu lepas, Radzi mengumumkan sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, membabitkan 500,444 pelajar di 2,440 sekolah menengah kebangsaan dan sejumlah sekolah antarabangsa.

Beliau berkata ia membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Sementara itu, Radzi menjelaskan pemilihan hari Rabu sebagai hari pertama persekolahan bagi pelajar tingkatan lima, tingkatan enam, vokasional dan STAM adalah berdasarkan tujuan strategik.

Katanya pembukaan sesi persekolahan merupakan satu operasi yang besar dan kementerian memerlukan tempoh tiga hari atau dua hari untuk sesetengah negeri, bagi melihat isu tertentu yang perlu dikemukakan dan diperbaiki pada hujung minggu atau jika terdapat perubahan yang perlu dibuat terhadap garis panduan.

“Ia adalah keputusan strategik, supaya pelajar boleh pergi ke sekolah dengan selamat dan untuk memastikan jika terdapat sebarang isu, kita boleh mengemukakannya pada hujung minggu, jadi pelajar boleh kembali (ke sekolah) pada Isnin berikutnya dengan keadaan yang lebih baik.

“Ini adalah pengalaman pertama kita, jadi kita perlu benar-benar berhati-hati dan teliti. Kita perlu mempertimbangkan semua faktor daripada pelbagai sudut,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM dalam menjamin keselamatan dan kesihatan pelbagai pihak.

“Ia bukan sahaja perlukan peranan guru, tetapi pelajar dan ibu bapa juga turut memainkan peranan. Garis panduan ini akan ditambah baik dari masa ke masa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KPM batal UPSR, PT3 tapi nilai kaedah baharu

SHAH ALAM, 15 APRIL: Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan, umum Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pembatalan kedua-dua peperiksaan itu katanya tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

“Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan, akses murid kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diberi keutamaan.

Tambah Dr Mohd Radzi, keputusan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

Sementara itu beliau berkata sesi persekolahan pula akan dibuka selepas keadaan kembali pulih dan pihaknya akan mengumumkan dua minggu lebih awal.

“Pada peringkat ini pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM beri kerjasama padu kepada Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 10 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi sepenuh sokongan dan kerjasama padu kepada pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Kementerian itu berkata, Dr Mahathir yang memangku sementara sebagai Menteri Pendidikan, merupakan seorang negarawan yang berpengalaman luas dalam transformasi pendidikan negara.

“Semoga dengan pemangkuan Tun (Dr Mahathir) ini akan meningkatkan kecemerlangan KPM dan pendidikan negara,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KPM turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Dr Mahathir sebagai pemangku Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kementerian gesa sekolah patuhi SOP kes influenza A

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan menerima laporan penutupan sekolah di beberapa negeri, antaranya Pulau Pinang dan Selangor apabila terdapat pelajar yang disahkan positif influenza A.

Kementerian kini meneliti perkembangan terkini wabak itu di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah.

“Kementerian melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan melakukan pemantauan berterusan di sekolah-sekolah yang terlibat,” menurut KPM dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak sekolah juga telah diminta supaya mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan, dengan sebarang operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Sekolah diingatkan juga untuk memantau pelajar atau warga sekolah yang dijangkiti wabak ini. Sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, pelajar perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pengetua dan guru besar turut diingatkan untuk sentiasa mewujudkan kesedaran akan bahaya wabak itu kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.

“Kerjasama juga diharap daripada ibu bapa supaya peka terhadap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah.

“KPM memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas dan serius bagi memastikan kesihatan pelajar dan warga sekolah sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada dasar halang ahli politik hadiri program di sekolah

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menegaskan tiada sebarang dasar yang menghalang wakil rakyat termasuk pihak pembangkang daripada menghadiri program-program yang dianjurkan sekolah.

Mengulangi pendirian itu, Nie Ching menjelaskan semua majlis di sekolah yang melibatkan orang kenamaan atau individu tertentu hendaklah memohon kebenaran daripada kementerian melalui Pengarah Pendidikan Negeri

“Keutamaan hendaklah diberikan kepada menteri pendidikan, timbalan menteri pendidikan, ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ketua pengarah pelajaran, pengarah pendidikan negeri atau wakil-wakil mereka untuk majlis perasmian sama ada di peringkat jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah atau di peringkat sekolah,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta penjelasan tentang sejauh mana KPM telah dan akan memberi kebebasan kepada wakil rakyat pembangkang untuk memasuki kampus dan sekolah bagi memenuhi undangan program.

Nie Ching berkata Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan satu garis panduan kepada pentadbir sekolah melalui Surat Pekeliling Ikthisas Bil 3/ 2008 yang bertujuan memastikan program dijalankan di sekolah mencapai objektif ditetapkan selain kemudahan tidak disalah guna pihak luar.

Nie Ching berkata di peringkat universiti awam, kerajaan berpendirian bahawa semua ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat memasuki ke kampus untuk memenuhi undangan program boleh berbuat demikian sekiranya program itu mendapat kelulusan pihak timbalan naib canselor

“Hal ini adalah selari dengan autonomi diberikan kepada pihak universiti untuk membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan sewajarnya.

“Ruang dan nikmat kebebasan yang diberikan kerajaan sewajarnya dimanfaatkan dengan penuh tangggunjawab dengan tidak mengganggu-gugat keharmonian instituti pendidikan tinggi sebagai rumah menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah,” katanya.

Menjawab tentang rasional langkah kerajaan menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nie Ching berkata kerajaan akan memastikan penggabungan itu tidak merugikan mana-mana pihak terlibat kerana ia dilihat dapat melonjakkan prestasi universiti ke tahap cemerlang.

“Penggabungan yang dirancang ini bakal memperkasakan hab pendidikan tinggi di negeri Terengganu serta memperkukuhkan bidang fokus sedia ada dan mengembangkan bidang fokus baharu supaya dapat diwujudkan melalui aktiviti rentas disiplin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Kerajaan peruntuk RM48 juta untuk pengambilan guru ganti

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM48 juta bagi pengambilan seramai 21,656 guru ganti pada tahun ini berbanding RM40 juta pada tahun lepas bagi mengatasi masalah kekurangan guru ketika ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Menurut Teo, perkara itu timbul disebabkan masalah ketidakseimbangan antara kekosongan yang ada berbanding jumlah guru yang menamatkan pengajian daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setiap tahun.

“Kalau saya boleh bagi contoh seperti keperluan guru di sekolah kebangsaan pada tahun ini melebihi 6,000 orang, tetapi mereka yang tamat pengajian di IPGM hanya 1,676 orang yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah pada November ini.

“Jadi untuk mengatasi masalah ini, kementerian mengambil inisiatif melatih guru interim pada Februari akan datang dan jumlah yang kita sasar seramai 3,000 orang untuk sekolah kebangsaan dan 800 orang lagi untuk sekolah jenis kebangsaan Cina,” katanya semasa sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan sentiasa bersedia memberikan peruntukan sewajarnya untuk pengambilan guru ganti ini ​​​​​​mengikut kedudukan kewangan semasa kerajaan.

Sementara itu Teo berkata, cadangan untuk mewujudkan perjawatan pengkeranian untuk meringankan beban tugas guru di sekolah masih dalam peringkat kajian.

“Buat masa ini, pendekatan guru interim telah dilaksanakan dan kita berharap bahawa tidak lama lagi kita dapat mewujudkan satu penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi isu itu,” katanya.

Pada awal tahun ini, kementerian itu dilaporkan bercadang memansuhkan tugas perkeranian dalam kalangan guru yang merupakan satu daripada lima inisiatif yang digariskan oleh kementerian bagi mengurangkan beban guru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM cari penyelesaian terbaik isu protes siswa UM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) masih dalam proses untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu protes seorang siswa ketika istiadat konvokesyen Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, pihaknya masih mencari platform yang sesuai untuk melibatkan dua-dua pihak berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

“Kami masih dalam proses untuk libatkan (kedua-dua pihak) untuk selesaikan masalah ini, kita perlu kedua-dua belah pihak untuk terlibat dan tidak radang,” katanya pada Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah 2019 di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, hari ini.

Program yang memasuki tahun ketiga penganjuran tahun ini menyasar untuk mengagihkan 30,000 pek ‘Kembali ke Sekolah’ yang dilengkapi pakaian dan kasut sekolah di seluruh Malaysia.

Pada Isnin lalu, seorang graduan berusia 23 tahun membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM bagi mendesak naib canselor universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ selepas menerima ijazahnya.

Tindakan itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradap.

Mengulas pertanyaan pemberita mengenai pendirian beliau sama ada bersetuju dengan tindakan universiti itu menahan sijil pelajar itu Teo berkata secara peribadi, beliau tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ISESCO-KPM kukuh kerjasama perkasa bahasa Arab

JOHOR BAHRU, 22 OGOS: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dan Kementerian Pendidikan (KPM) telah merangka pelbagai program secara tahunan bagi memberi nafas baharu kepada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar di negara ini.

Pengarah ISESCO Malaysia, Dr Abdul Razif Zaini berkata, usaha ini adalah antara kerjasama strategik yang dijalin bagi memperkasa penguasaan bahasa Arab di setiap peringkat.

Katanya, kerjasama strategik yang memasuki tahun ketiga itu, memberi peluang kepada ISESCO melebarkan sayap kepakarannya bagi membantu KPM memastikan penguasaan bahasa ketiga itu dalam kalangan guru dan pelajar berada di tahap cemerlang.

“Setakat ini kami telah melakukan lebih 10 kajian bersama KPM dalam bidang bahasa Arab…natijahnya (keputusan) memberi petunjuk jelas bahawa terdapat kekurangan pada sistem pembelajaran dan pelajaran bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar yang perlu ditambah baik.

“Dalam hal ini, ISESCO dan KPM akan memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menyediakan ruang pemerkasaan bahasa Arab di kalangan mereka,” katanya kepada Bernama selepas menutup Bengkel Pedagogi Pengajaran Bahasa Arab Abad Ke-21 di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Objektif bengkel dua hari anjuran ISESCO Malaysia dengan kerjasama KPM yang bermula semalam adalah bagi mengetengahkan amalan pengajaran bahasa Arab efektif di abad 21 dan mempersiapkan guru-guru dengan kemahiran teknologi berdasarkan peredaran zaman.

Bengkel itu disertai lebih 50 peserta terdiri daripada guru-guru dalam bidang pendidikan bahasa Arab dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mengulas lanjut, Razif berkata melalui kerjasama ini juga, ISESCO berpeluang menghantar 75 guru KPM mendalami bahasa Arab di Maghribi selama 45 hari bagi memantapkan kemahiran komunikasi dan memahami budaya Arab dengan lebih dekat.

“Program ini memberi pendedahan efektif kepada guru secara langsung dengan mendalami budaya Arab. Pendedahan menerusi budaya mampu menjadikan penguasaan bahasa dengan lebih cepat,” katanya.

Selain kerjasama dengan KPM, Razif berkata ISESCO turut memperluaskan rangkaian strategiknya ke peringkat Asia Tenggara.

“Kami juga mempunyai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Ahmad Dahlan Jakarta, Indonesia dan Universiti Kebangsaan Vietnam di Ho Chi Minh City bagi memperluaskan peranan kami dalam bidang bahasa Arab,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Perhubungan dan Pengantarabangsaan KPM, Zulkefli Hamat berkata pihaknya mempunyai matlamat yang sama dengan ISESCO dalam memperkasakan bahasa Arab di Malaysia.

Beliau berkata pakar ISESCO sentiasa mencadangkan pelbagai penambahbaikan bagi sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif kepada KPM.

“Kami sentiasa menerima maklum balas positif daripada pihak guru dan pelajar untuk terus mengadakan program bahasa Arab di bawah anjuran ISESCO.

“Mereka (guru) sentiasa mahu melakukan perubahan dan penambaikan dalam penyampaian kepada murid-murid, khususnya dalam bidang bahasa Arab,”katanya.

Zulkefli berkata ISESCO juga berjaya menarik minat pelajar bukan Islam untuk menguasai bahasa Arab.

Katanya terdapat beberapa pelajar India turut menyertai pertandingan bahasa Arab anjuran ISESCO dan mereka fasih berbahasa Arab.

Pusat Pendidikan Pertubuhan ISESCO cawangan Malaysia ditubuhkan pada 22 Okt 2015 dan merupakan satu daripada organisasi yang bernaung di bawah ISESCO yang berpangkalan di Rabat, Maghribi.

Selain Malaysia, negara lain yang menganggotai pertubuhan itu ialah Brunei, Myanmar, China, Taiwan, Laos, Singapura, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Indonesia dan Vietnam.

Pertubuhan ISESCO Malaysia juga telah menganjurkan banyak program dan aktiviti tahunan antaranya seminar, bengkel, siri wacana akademik, penyelidikan dalam bidang bahasa Arab dan pendidikan Islam.

Selain itu, pertubuhan tersebut turut mengadakan pameran dan pertandingan bahasa Arab di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi, sambutan hari bahasa Arab sedunia, dan penubuhan perpustakaan khas ISESCO di Malaysia. – BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tulisan khat dalam bahasa Melayu murid Tahun Empat kekal

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun hadapan seperti yang dijadualkan.

KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, pihaknya mengambil maklum pelbagai respons terhadap isu itu namun perancangan pengenalannya telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014.

Usaha itu juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan.

“Sehubungan itu, KPM akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru,” menurut kenyataan itu.

KPM turut menjelaskan selain terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia, tulisan khat adalah warisan Bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

KPM komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan, katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa anggota kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu untuk sekolah vernakular tahun hadapan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPM nafi laporan paksa pelajar Hindu belajar Pendidikan Islam

SEREMBAN, 5 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menafikan laporan media semalam yang melaporkan mengenai seorang murid beragama Hindu dipaksa belajar Pendidikan Islam di sebuah sekolah di negeri itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin sebaliknya berkata, pihak sekolah tidak pernah memaksa pelajar berkenaan mengikuti Pendidikan Islam dan semakan KPM mendapati murid berkenaan mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak mula sesi persekolahan pada 2017 sehingga tahun ini.

“Pihak sekolah membolehkan murid berkenaan mengikuti Pendidikan Moral berdasarkan maklumat yang diberikan oleh bapanya tanpa mengemukakan sijil kelahiran murid itu.

“Berdasarkan maklumat awal yang diberikan bapanya, pihak sekolah menganggap murid berkenaan beragama Hindu dan membolehkan beliau mengikuti kelas Pendidikan Moral,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amin berkata, murid terbabit diberikan kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 untuk didaftarkan sebagai murid tanpa dokumen.

“Bagaimanapun, sehingga kini ibu bapanya tidak menyerahkan salinan sijil kelahiran kepada pihak sekolah sebagaimana yang disyaratkan,” katanya.

Amin berkata, semakan terperinci KPM susulan laporan media berkenaan mendapati murid berkenaan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai seorang beragama Islam dan ibunya juga seorang beragama Islam.

Katanya, di bawah Akta Pendidikan 1996, setiap murid beragama Islam perlu mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam iaitu subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam.

Pihak sekolah berkenaan mematuhinya berdasarkan bukti murid berkenaan adalah seorang yang beragama Islam.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu murid terbabit dipaksa mengikuti Pendidikan Islam.

“KPM memahami situasi dihadapi ibu bapa murid berkenaan. Bagaimanapun memandangkan kes status agama ibu murid terbabit dalam proses rayuan di mahkamah, KPM menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan,” katanya.

Amin berkata, tindakan sewajarnya akan diambil kementerian selari dengan keputusan mahkamah kelak.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

KPM nafi dakwaan penerbitan buku DLP dijalan secara rundingan terus

PUTRAJAYA, 21 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menafikan dakwaan bahawa buku teks Program Dwibahasa (DLP) dilaksanakan secara rundingan terus sepenuhnya.

KPM dalam kenyataannya menjelaskan, perolehan buku teks DLP bagi kegunaan tahun ini dilaksanakan secara dua kaedah iaitu tender terbuka bagi buku teks DLP sekolah menengah dan rundingan terus bagi buku teks sekolah rendah.

Katany, penerbitan secara rundingan terus diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mata pelajaran Science Year 3 dan Mathematics Year 3 serta buku cetakan semula sebanyak 266,110 naskhah, selaras dengan keputusan Majlis Tindakan Negara 1974 yang menyatakan DBP bertanggungjawab untuk menerbitkan buku teks sekolah rendah.

“Penerbitan untuk buku DLP sekolah menengah iaitu Science Form 3 dan Mathematics Form 3 (108,680 naskhah) diuruskan penerbitannya secara tender terbuka oleh KPM,” katanya.

KPM berkata, kenyataan medianya pada 13 Januari lalu merujuk kepada kelulusan untuk KPM membuat rundingan terus dengan DBP bagi menerbitkan buku teks DLP sekolah rendah (baharu dan cetakan semula) seperti dalam surat kelulusan Kementerian Kewangan bertarikh 18 Sept 2018.

Katanya, bagi tujuan tender terbuka pula, iklan telah dikeluarkan di portal e-Perolehan seperti amalan biasa dan dijalankan secara telus.

Kenyataan itu juga menyatakan, penilaian membabitkan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penilaian Bahan, Jawatankuasa Penilaian Keupayaan Penerbit/Syarikat dan Jawatankuasa Penilaian Harga yang ditawarkan penender.

Katanya, semua markah yang diperoleh daripada ketiga-tiga jawatankuasa itu telah dipertimbangkan oleh Lembaga Perolehan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPM dan anggotanya terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya dan tiga setiausaha bahagian KPM.

“Semua proses tender terbabit telah dilaksanakan dengan telus dan berintegriti,” katanya.

Selain itu, KPM berkata, pihaknya juga sedang mengambil semua langkah yang dirasakan wajar dan perlu bagi membekalkan buku teks DLP sekolah menengah secepat mungkin.

Pada Jumaat lalu, Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mempersoalkan tindakan KPM tidak memberikan projek terbabit kepada penerbit yang bukan ahli persatuan itu dan dibuat secara rundingan terus, selain isu kelewatan buku itu diedarkan.

SUMBER: BERNAMA