Categories
NASIONAL

Kerajaan wujud pasukan khas kaji dasar kerja waktu malam

IPOH, 4 MEI: Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan pasukan bertindak khas untuk mengkaji cadangan bekerja pada waktu malam bagi sektor pekerjaan tertentu dilaksanakan.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, cadangan yang diutarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini memerlukan kajian terperinci selain mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

“Setelah kajian selesai, kita akan bawa perkara ini ke Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku berbahasa Tamil bertajuk ‘Kandi Seemai’ (Candy City) karya Maathalai Somu, di Institut Latihan Perindustruian Ipoh, di sini hari ini.

Kula Segaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat mengulas mengenai cadangan Dr Mahathir yang mahu melaksanakan dasar berkenaan.

Khamis lalu, Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tautan Muhibah anjuran Biro Ekonomi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Segambut di Laman Zarlith di Kuala Lumpur berkata, kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dalam sektor pekerjaan tertentu.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL RENCANA

Pencemaran Kimia: KSM saran majikan peka elak pekerja terjejas

SHAH ALAM, 15 MAC: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandang serius insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim yang kini sudah berlarutan sembilan hari sehingga menjejas kesihatan lebih 1,000 orang awam sekitar Pasir Gudang Johor.

Susulan daripada itu, KSM menerusi kenyataannya mengesa majikan dan pekerja yang bekerja di kawasan perindustrian sekitar Pasir Gudang dan terkesan dengan pencemaran bahan kimia ini berhati-hati dan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka.

Berikut adalah kenyataan penuh KSM:

Lanjutan daripada insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim yang telah menyebabkan pelbagai pihak terkesan dengan isu ini, dikhuatiri kesan tersebut boleh melibatkan pekerja yang sedang bekerja dan ini akan menjadi isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang perlu ditangani oleh pihak majikan.

Pihak majikan perlu berhati-hati dan hendaklah mengadakan kawalan risiko setakat yang praktik menurut kehendak Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah KSM merupakan salah satu ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah dan membantu memberikan input teknikal.

Hasil pemantauan yang dijalankan oleh JKKP di kawasan terlibat mendapati terdapat beberapa bahan kimia berbahaya dikesan dan akan memberi kesan kepada pekerja yang memerlukan langkah kawalan sewajarnya.

 

Sehubungan itu, pihak majikan di kawasan yang terkesan dengan pencemaran bahan kimia perlu melaksanakan penaksiran risiko di tempat kerja dan mengambil langkah kawalan bagi mengawal risiko atau bahaya yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesihatan  pekerja mereka.

Antara langkah kawalan minima yang boleh dilakukan adalah menggunakan Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment) iaitu Alat Perlindungan Pernafasan yang bersesuaian seperti 3M 6800 fullface + cartridge 3M 6006 multigas cartridge + 5N11 prefilter + 501 filter retainer dan reusable respirator 3M 6200 + 3M 6006 multigas cartridge + 5N11 prefilter + 501 filter retainer.

Jika majikan gagal mengambil apa-apa tindakan dan langkah kawalan untuk menyingkir bahaya tersebut, pekerja mempunyai hak untuk menjauhi bahaya atau aktiviti kerja tersebut jika mempunyai justifikasi yang munasabah setelah memaklumkan kepada pihak majikan, pegawai keselamatan dan kesihatan atau wakilnya seperti mana yang termaktub di bawah Konvensyen 155 (C155), Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Sumber Manusia
14 Mac 2019

Categories
NASIONAL

Kerjasama kementerian, RBA basmi buruh paksa

GEORGE TOWN, 12 FEB: Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan sebuah yayasan global dari Amerika Syarikat untuk menangani isu berkaitan buruh paksa dalam negara.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, kerjasama dengan Yayasan Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab (RBA) yang ditubuhkan untuk menyokong hak pekerja secara global itu akan dapat menaikkan imej Malaysia selain membawa kesan ekonomi yang positif.

“Kita hendak (menaikkan imej negara dalam) memerangi buruh paksa sehingga ke akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Serantau RBA Mengenai Buruh Paksa 2019 di sini, hari ini.

Katanya, negara maju sering melaksanakan sekatan ke atas barangan dikeluarkan negara yang didapati mengamalkan buruh paksa dan ia sekali gus boleh menjejaskan perkembangan ekonomi.

“Jika negara kita didapati terbabit dalam elemen buruh paksa ini, maka ia akan menjejaskan ekonomi negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

*Sumber: BERNAMA