Categories
RENCANA WAWANCARA

Kekayaan lebur diburu ceti, usahawan merangkak keluar derita

Foto Asri Sapfie

Pernah memiliki pusat kecantikan dan kilang besi, kehidupan Rohana Yusuf dan suami agak mewah, bahkan mereka memiliki tiga kereta berjenama termasuk Mercedes Benz dan motosikal berkuasa tinggi.

Namun, semuanya lebur angkara suaminya berhutang dengan ceti haram sebanyak RM500,000. Rumah mereka juga beberapa kali disimbah cat merah. Selain malu dengan jiran, hidup mereka diselubungi ketakutan.

Keperitan hidupnya berlarutan sekalipun telah berpisah dengan suaminya. Cubaan Rohana untuk bekerja di ladang kelapa sawit milk adiknya di kampungnya di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang tidak membuahkan hasil yang diharap-harapkan.

Rohana berpindah ke Shah Alam dan bekerja sebagai kerani. Namun, kepayahan masih mengekorinya. Selepas beberapa bulan sewa rumah tertunggak, beliau dihalau dan terpaksa merempat tidur di pejabat bersama anak berusia 13 tahun.

“Malam dia tidur bersama saya di bawah meja di pejabat, siang dia bersekolah. Selepas habis sekolah, dia duduk bersendirian di kawasan berhampiran pejabat saya menunggu habis kerja,” katanya.

Lantaran melarat, dua lagi anaknya diserahkan kepada bekas suami. Sedih tetapi Rohana tiada pilihan, tidak seperti sekarang, kehidupannya walau sederhana tetapi kebahagiaannya mampu dikongsi bersama orang lain menerusi kaca televisyen berkat kejayaan perniagaan kerepek pisangnya.

Bantuan mentua

Selepas berkahwin kali kedua, beliau memulakan perniagaan kerepek pisang tanduk pada 2017 menggunakan resipi ibu mentuanya atas jenama Jodeen Kerepek Panas. Sebelum ini, Rohana, 40, dan suami, Rizaludin Hassan, 32, bekerja dengan mereka dengan upah RM50 sehari.

Rohana Yusuf ketika ditemu bual oleh SelangorKini baru-baru ini

Berbekal modal RM500 pemberian mentua, Rohana membeli 50kg pisang tanduk berkualiti tinggi untuk berniaga di pasar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Shah Alam. Kerangupan kerepek itu, kepingannya yang nipis berhasil menggamit ramai pelanggan.

Rohana, 40, bertekad untuk tidak lagi mengulangi kepedihan kehidupan lalu. Tidak sanggup lagi beliau mendengar rengekan anak kelaparan dan kehausan ketika di dalam bas kerana tiada duit ketika pulang ke Pahang dahulu.

Beliau tidak rela lagi anaknya tidur bawah meja pejabat, makan minum tidak menentu hingga mereka terpaksa berkongsi sebungkus nasi buat menggalas perut.

Rohana berazam memajukan lagi perniagaannya. Beliau dan suami memutuskan untuk memohon bantuan RM30,000 menerusi program Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) kendalian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kini, jualan kerepeknya kian melonjak, bahkan mereka memerlukan antara 2,000 hingga 3,000kg pisang tanduk setiap bulan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Dijemput TV3

Pada hujung minggu, jualannya boleh mencecah RM1,000 ketika berniaga di program jualan Fama di Seksyen U12, Shah Alam pada pagi diikuti petangnya di pasar malam Puncak Alam, Kuala Selangor.

Jualan hari lain pula antara RM700 hingga RM800 sehari. Selain turut memasarkan produk ke dalam talian, beliau juga berniaga di Pasar Malam Taipan dan Pasar Malam Seksyen 17, Shah Alam.

Kegigihan Rohana menjadikan jenama kerepeknya kian hari kian terkenal sehinggakan mereka dipanggil TV3 untuk muncul dalam rancangan Wanita Hari Ini.

Bagi Rohana, walaupun kehidupannya kini tidaklah semewah dahulu, namun beliau bersyukur kerana kehidupannya kini jauh lebih baik, tenang dan cukup untuk keperluan keluarganya.

“Dahulu memang agak mewah tetapi hati tidak tenang dan segembira sekarang. Pengalaman saya lalui banyak mengajar saya dan semoga dapat dijadikan iktibar khususnya usahawan muda lain,” katanya.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Potensi industri makanan kerepek dimajukan, dipasar ke global

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Usahawan kini dalam usaha memperluaskan potensi industri makanan kerepek dan produk makanan lain yang dibuat secara kecilan untuk ditingkatkan.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, inisiatif itu bagi membolehkan produk usahawan itu dipasarkan bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Katanya, antara usaha yang dilakukan adalam program pembungkusan di mana syarikat pengeluar produk akan dibimbing bagi memastikan pembungkusan mereka mencapai tahap yang tinggi.

“Selain itu, program Halal juga diberi perhatian dan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri sedang berbincang dengan beberapa penyedia khidmat latihan Pensijilan Halal untuk membimbing usahawan ini sehingga mereka memperoleh sijil Halal yang sah.

“Usahawan juga akan mengikuti program pemasaran. Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses penyelidikan beberapa platform online yang sesuai bagi tujuan ini sama ada daripada Smart selangor Development Unit (SSDU), Malaysia Development Economic Corporation (MDEC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri prihatin akan produk usahawan mikro yang boleh dicungkil untuk dibangunkan dan dibawa ke peringkat lebih jauh.

Katanya, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan khusus bagi mempromosikan produk usahawan itu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menganjurkan program ‘Made In Selangor’ yang dilaksanakan di beberapa pasaraya Giant pada 2017.

Pada 2018, Kerajaan Negeri merancang untuk membawa usahawan ke beberapa negeri lain dengan kerjasama pusat membeli belah terkemuka.

Selain itu, program penyertaan usahawan ke Selangor Internationa Expo (SIE), Penang International Halal Expo and Conference (PIHEC) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan penyertaan usahawan ke program antarabangsa di luar negara iaitu China-ASEAN Expo (CAEXPO) di Nanning, China.