Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi benar kes solar Rosmah dan Rizal dibicara bersama

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan dua kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan satu kes rasuah Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, dibicarakan bersama.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farizul Hassan Bakri supaya semua kes itu didengar di mahkamah sama.

“Kes solar Rosmah (pertuduhan menerima rasuah RM5 juta ) dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” kata Mohd Farizul semasa pengurusan kes di sini, hari ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Rosmah, tidak membantah permohonan pendakwaan.

Mohamed Zaini turut membenarkan kes rasuah Rosmah RM5 juta dibicarakan sekali dengan kes rasuah solar pertamanya bersama kes rasuah Rizal.

Peguam Mohd Hezri Shaharil, yang mewakili Rizal ,45, tidak membantah permohonan pendakwaan itu.

Terdahulu, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri.

Wang itu sebagai upah kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10, Putrajaya pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibacakan semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 10 Januari 2020 untuk pengurusan kes bagi ketiga-tiga kes itu.

Pada 30 Mei lalu, Hakim Mohamed Zaini menetapkan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal dibicarakan selama 27 hari kecuali Jumaat pada tahun hadapan dan pendakwa akan mengemukakan 17 saksi.

Tarikh perbicaraan kes solar ditetapkan 3-6 Februari, 10-13 Februari,17-20 Februari, 9-12 Mac, 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April.

Pada 15 November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah berhubung projek solar itu.

Beliau turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rosmah didakwa terima suapan RM5 juta kes solar

KUALA LUMPUR, 10 APR: Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan baharu menerima rasuah RM5 juta daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah mendapatkan projek sistem solar, tiga tahun lalu

Ia adalah pendakwaan kali ketiga terhadap Rosmah, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Rosmah, 68, yang memakai baju kurung dan selendang sedondon berwarna hijau, mengaku tidak bersalah dan berkata “minta bicara,” selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan baharu itu menjadikan keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Rosmah kini berjumlah 20 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, tiba pada 8.40 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta ditemani anak lelakinya Mohd Ashman Mohd Najib serta penjamin dan pegawainya.

Beliau turut tersenyum ke arah pihak media yang merakam gambarnya.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Rosmah didakwa telah secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta, daripada seorang individu, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana telah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek yang dikenali sebagai “Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini pada 20 Disember 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius serta pertuduhan memperuntukkan hukuman yang tinggi selain Rosmah ketika kejadian itu merupakan isteri kepada seorang perdana menteri.

Mohd Dusuki juga berhujah walaupun pertuduhan baharu itu berkaitan dengan dua pertuduhan terdahulu Rosmah berhubung projek solar dan akan memohon untuk dibicarakan bersama namun jaminan berasingan perlu diberikan bagi mengelakkan kesulitan sekiranya ketiga-ketiga kes itu tidak dapat dibicarakan bersama.

Beliau juga memaklumkan akan membuat permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan dibicarakan bersama dengan dua kes Rosmah berhubung projek solar.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mengetuai pasukan pembelaan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan terdahulu iaitu RM1 juta yang dikenakan ke atas Rosmah dalam dua pertuduhan sebelum ini.

“Jumlah (tawaran jaminan) RM1 juta adalah tinggi, tertuduh telah dituduh sebelum ini, beliau adalah seorang suri rumah sepenuh masa, tidak pernah gagal hadir ke mahkamah sebelum ini dan telah dituduh atas dua pertuduhan berkaitan, kes ini juga difahamkan akan dipohon untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan didengar bersama dua kes terdahulu,” kata Akberdin.

Azura membenarkan Rosmah diikat jamin mengguna pakai jaminan terdahulu dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Pada 15 November 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

— BERNAMA