Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi benar kes solar Rosmah dan Rizal dibicara bersama

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan dua kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan satu kes rasuah Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, dibicarakan bersama.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farizul Hassan Bakri supaya semua kes itu didengar di mahkamah sama.

“Kes solar Rosmah (pertuduhan menerima rasuah RM5 juta ) dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” kata Mohd Farizul semasa pengurusan kes di sini, hari ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Rosmah, tidak membantah permohonan pendakwaan.

Mohamed Zaini turut membenarkan kes rasuah Rosmah RM5 juta dibicarakan sekali dengan kes rasuah solar pertamanya bersama kes rasuah Rizal.

Peguam Mohd Hezri Shaharil, yang mewakili Rizal ,45, tidak membantah permohonan pendakwaan itu.

Terdahulu, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri.

Wang itu sebagai upah kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10, Putrajaya pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibacakan semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 10 Januari 2020 untuk pengurusan kes bagi ketiga-tiga kes itu.

Pada 30 Mei lalu, Hakim Mohamed Zaini menetapkan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal dibicarakan selama 27 hari kecuali Jumaat pada tahun hadapan dan pendakwa akan mengemukakan 17 saksi.

Tarikh perbicaraan kes solar ditetapkan 3-6 Februari, 10-13 Februari,17-20 Februari, 9-12 Mac, 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April.

Pada 15 November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah berhubung projek solar itu.

Beliau turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tuduh Selangor cakap tak serupa bikin, Rizal sindir PM sendiri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 OGOS: Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, dianggap menyindir Datuk Seri Najib Razak apabila menyentuh isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Kerajaan Selangor.

Ia kerana Kerajaan Selangor dipimpin Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, bersikap terbuka terhadap siasatan dilakukan itu.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, kenyataan dibuat Rizal terhadap Kerajaan Selangor adalah umpama sinikal terhadap perdana menteri yang sebenarnya ‘cakap tidak serupa bikin’.

“Amat malang sebagai pegawai khas perdana menteri yang hampir setiap masa dengannya mengeluarkan kenyataan seakan menyindir Najib sendiri kerana sehingga kini masih belum bersedia disiasat SPRM walaupun wujud banyak elemen boleh membawa kepada siasatan itu.

shuhaimi“Kerajaan Selangor tidak takut sama sekali dengan siasatan SPRM jika ia dijalankan secara profesional. Yang takut pada kebenaran dan terus menutupinya adalah Umno-BN dan perdana menteri sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda itu berkata, tuduhan Rizal bahawa ‘Kerajaan Selangor cakap tak serupa bikin’ hanya bertujuan untuk memburukkan imej negeri itu selepas pimpinan UMNO Selangor sendiri seperti Tan Sri Noh Omar gagal mencalar reputasi Kerajaan Selangor.

Beliau berkata, Dato’ Menteri Besar mewakili Kerajaan Selangor berulang kali menyatakan SPRM boleh melakukan siasatan terhadap agensi di bawah pentadbirannya.

“Namun, kita berharap siasatan SPRM perlu telus dan terbuka bukan bersifat ‘selective investigation’ atau ‘selective prosecution’ termasuk ‘double standard’ daripada sudut tindakan siasatan.

“Rakyat dapat melihat secara jelas dalam kes Tan Sri Isa Samad, bertahun masa diambil sebelum siasatan dimulakan, namun berbeza dengan tuduhan ke atas Universiti Selangor (UNISEL) hanya dalam tempoh singkat digempur selepas laporan dibuat,” katanya.

NAJIB 1MDBBeliau berkata, sewajarnya Rizal menjawab terhadap keengganan Najib memberi jawapan berkaitan skandal 1MDB di Dewan Rakyat, malahan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 1MDB masih di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak diketahui umum.

Pada masa sama, Shuhaimi menggesa supaya asiasatan adil dan telus dilakukan terhadap Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan UNISEL serta tidak wajar dikendalikan seperti wujudnya sesuatu yang salah.

“Dalam masa sama, mulai esok SPRM wajar menggempur pejabat perdana menteri dan 1MDB dalam mencari bukti jenayah rasuah serta pendakwaan perlu dilakukan dengan kadar segera,” katanya.