Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan khas: LZS terima 8,778 panggilan telefon permohonan

SHAH ALAM 26 MAC: Sebanyak 8,778 panggilan diterima Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima sehingga jam 6 petang semalam berhubung permohonan bantuan khas daripada mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

LZS sebelum ini mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan akibat wabak Covid-19 dan permohonan bantuan khas itu mula dibuka kepada orang awam mulai semalam, lapor BH ONLINE.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, daripada jumlah panggilan itu, pihaknya sudah membuat semakan ke atas 1,598 permohonan serta meluluskan segera 353 permohonan.

“Hari ini adalah hari pertama permohonan bantuan khas LZS dibuka dan kita sudah menerima 8,778 panggilan. Kami akan cuba mempercepatkan proses pemeriksaan permohonan dan setakat ini 353 permohonan sudah diluluskan mengikut tahap kecemasan pemohon.

“Semua permohonan dan pemeriksaan dibuat secara atas talian serta panggilan telefon. Malah bantuan juga akan disalurkan ke akaun penerima kerana kita tidak mahu kakitangan serta pemohon terdedah kepada wabak,” katanya.

Beliau berkata, permohonan bantuan khas itu akan dibuka sehingga 6 April depan dan pihaknya menjangkakan lebih banyak panggilan akan diterima selepas ini.

Katanya, walaupun proses pemeriksaan dilakukan secara dalam talian, pihaknya akan meminta pemohon menyediakan bukti mengesahkan mereka layak menerima bantuan zakat.

“Sebagai contoh, sekiranya ketua keluarga yang meminta bantuan, kita akan minta nombor kad pengenalan ketua keluarga (suami) dengan isteri bagi mengelak permohonan dua kali daripada keluarga yang sama.

“Bagi individu yang diberikan cuti oleh majikan sama ada tanpa gaji ataupun diberikan separuh gaji perlu mengemukakan surat daripada majikan ketika memohon bantuan,” katanya.

Beliau berkata, pemohon boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di laman sesawang LZS untuk maklumat lanjut mengenai bantuan khas berkenaan.

Ditanya adakah LZS akan menambah peruntukan susulan PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini, Saipolyazan berkata, pihak LZS akan melihat pada ‘trend’ permohonan dan sekiranya ada keperluan untuk menambah peruntukkan, pihaknya perlu merujuk kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS terlebih dahulu.

Sebelum ini, LZS mengumumkan peruntukan agihan khas itu khusus untuk golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja B40.

Selain itu, peruntukan agihan khas itu turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi untuk menangani COVID-19 serta bantuan makanan kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sedia RM10.9 juta biayai persiapan sekolah 94,391 anak asnaf

OLEH NAEEM RAFFI

HULU SELANGOR, 17 NOV : Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM10.9 juta kepada 94,391 anak-anak fakir dan miskin seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali berkata, bantuan tersebut membabitkan anak-anak asnaf di peringkat pra sekolag sehingga sekolah menengah.

Katanya, menerusi peruntukan tersebut, setiap penerima akan menikmati bantuan yuran RM75 seorang bagi semua peringkat persekolahan.

ketua-pegawai-eksekutif-lzs-hussin-mohd-ali“Manakala bagi kelengkapan persekolahan, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima bantuan RM170 dan pelajar sekolah rendah agama RM150.

“Sementara bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan pula menerima RM200 dan RM75 bagi pra sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Program Agihan Bantuan Pendidikanyang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia, Mohamad Adzib Mohd Isa di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 257 asnaf fakir dan miskin di Daerah Hulu Selangor menerima bantuan pendidikan bagi sesi persekolahan 2017 membabitkan agihan zakat RM146,320.

Hulu Selangor adalah lokasi pertama majlis penyerahan bantuan dibawah Program Pembangunan Pendidikan LZS sebelum berakhir pada 14 Disember ini membabitkan 16 program di seluruh Selangor.

Mengulas lanjut, Hussin berkata setiap penerima bantuan boleh mendapatkan kelengkapan persekolahan di Pasar Raya Sakan, Maydin dan Jakel terpilih sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan.

“LZS juga melantik Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) untuk menyediakan 30,000 pasang pakaian sekolah bagi menampung keperluan pelajar asnaf di tiga daerah membabitkan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

LZS : hanya yang layak terima bantuan

 

SHAH ALAM, 18 SEP : Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan terus memantau pengagihan wang zakat kepada asnaf yang layak melalui pengawasan badan pengauditan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali, berkata ia bagi memastikan urus tadbir zakat dilakukan secara adil, telus dan amanah mengikut syariat Islam.

LZS ZAKAT“Pihak LZS akan menyaring dan menolak permohonan sekiranya didapati tidak layak.

“Siasatan serta penilaian akan dibuat dan agihan zakat perlu dilaksanakan mengikut hukum syarak dan bukan sewenang-wenangnya diberi kepada yang tidak berhak,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui wujud isu pertindihan dan tidak telus dalam kalangan pemohon semasa mengisi maklumat peribadi untuk mendapatkan bantuan zakat.

Katanya, tindakan itu menyebabkan LZS terpaksa mengambil langkah teliti dengan menyemak latar belakang, menyiasat dan memantau pengagihan wang zakat bagi sesebuah keluarga.

“Pihak kami turut menerima aduan berkenaan nama dan maklumat peribadi asnaf digunakan pihak luar yang tidak bertanggungjawab untuk mendapat bantuan zakat.

“Namun, kes berkenaan adalah terpencil dan tindakan sudah diambil pada peringkat awal,” katanya.

Pada masa sama, Hussin berkata LZS sentiasa proaktif membantu golongan fakir dan miskin melalui pelbagai saluran bagi mendapatkan zakat.

Katanya ia termasuk membuka 26 cawangan LZS di seluruh negeri, kaunter mini zakat di setiap daerah, kaunter bergerak, kaunter ekspres agihan zakat, Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) dan lain-lain.

“Sehubungan itu, bagi memastikan mereka yang berhak menerima bantuan, kami menyeru supaya masyarakat turut membantu menyalurkan maklumat berkenaan asnaf yang memerlukan,” katanya.

-NR-