Categories
SELANGOR

Penangguhan pelaksanaan GST mampu atasi beban rakyat

anwar belanjawan PR

KUALA LUMPUR 21 OKT: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu ditangguhkan kerana bakal meningkatkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penangguhan itu perlu dilakukan sehingga pendapatan minimum isi rumah mencapai tahap yang dikira sesuai bagi menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli akibat pelaksanaan GST.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diambil memandangkan rakyat sedang berhadapan dengan kadar perbelanjaan dan tanggungan hutang isi rumah yang tinggi.

“Kita akan memastikan pelebaran ‘band’ cukai pendapatan terutama membabitkan golongan menengah bagi mengelakkan kemasukan mereka ke ‘band’ cukai lebih tinggi dalam tempoh singkat. PR juga mensasarkan pelepasan cukai lebih banyak yang harus diberikan kepada golongan ini.

“Selain itu, kajian berkenaan pertukaran cukai korporat atau peribadi dengan GST perlu dilaksana dan diperjelaskan kepada rakyat. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka dibebani pertambahan cukai akibat GST jika cukai korporat atau peribadi dikekalkan pada kadar sama,” katanya pada pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, PR akan memperkenalkan sistem cukai lebih adil melalui pengembalian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) pada tahap sebelum tahun 2007 bertujuan mengekang kegiatan spekulasi hartanah berlebihan.

“Tahap RPGT sebelum tahun 2007 membabitkan cukai berperingkat adalah pada kadar 30 peratus bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima peratus bagi perjualan tahun kelima. Pelaksanaan sistem cukai ini akan bersifat lebih saksama kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar: PR Kekal Sertai Himpunan Blackout 505

anwar Blckout 505

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pakatan Rakyat kekal untuk menyertai Himpunan Blackout 505 Sabtu ini dan mengajak seluruh kepimpinan parti, aktivis, penyokong dan rakyat untuk turut serta dalam perhimpunan ini.

Perkara ini dinyatakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat PAS selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Ulang Anwar, perkara asas yang menjadi bukti kelemahan pilihan raya adalah penggunaan dakwat kekal yang dijanjikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil dari ketetapan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PAC) mengenai penambahbaikkan SPR.

Perkara ini dijanjikan kepada rakyat Malaysia dan dimaktub dalam Akta Pilihan Raya.

“Pakatan Rakyat bersama majoriti rakyat akan berkumpul di Padang Merbok pada Sabtu, 22 Jun jam 2 petang,” katanya.

Dalam sidang media sama Anwar turut memaklumkan, Konvensyen Pakatan Rakyat akan diadakan pada Ahad, 23 Jun bertempat di De Palma, Ampang.