Categories
NASIONAL

Anwar: PR Kekal Sertai Himpunan Blackout 505

anwar Blckout 505

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pakatan Rakyat kekal untuk menyertai Himpunan Blackout 505 Sabtu ini dan mengajak seluruh kepimpinan parti, aktivis, penyokong dan rakyat untuk turut serta dalam perhimpunan ini.

Perkara ini dinyatakan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat PAS selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Ulang Anwar, perkara asas yang menjadi bukti kelemahan pilihan raya adalah penggunaan dakwat kekal yang dijanjikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil dari ketetapan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PAC) mengenai penambahbaikkan SPR.

Perkara ini dijanjikan kepada rakyat Malaysia dan dimaktub dalam Akta Pilihan Raya.

“Pakatan Rakyat bersama majoriti rakyat akan berkumpul di Padang Merbok pada Sabtu, 22 Jun jam 2 petang,” katanya.

Dalam sidang media sama Anwar turut memaklumkan, Konvensyen Pakatan Rakyat akan diadakan pada Ahad, 23 Jun bertempat di De Palma, Ampang.

Categories
NASIONAL

Himpunan Suara Rakyat 505: SUARAM Sedia Peguam, SMS Maklumat Jika Ditahan

amcorp mall himpunan blackout 505 01

SHAH ALAM, 25 MEI: Pertubuhan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyediakan khidmat guaman bagi membantu perserta Himpunan Suara Rakyat 505 yang ditahan polis malam ini.

Menurut peguam SUARAM, Murnie Hidayah Anwar, peserta perhimpunan yang ditahan dinasihatkan menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke nombor yang disediakan bagi memudahkan SUARAM mengambil tindakan  seterusnya dengan kadar segera.

“Orang kena tahan (OKT) boleh hantar mesej nama penuh, nombor kad pengenalan, balai mana ditahan dan jika cedera melalui SMS dan SUARAM akan hantar peguam ke balai polis di mana orang kena tahan (OKT) diletakkan.

“Jangan telefon, tetapi SMS lebih memudahkan kami ambil butiran orang kena tahan,” kata Murnie ketika dihubungi TV Selangor.

Talian untuk mesej tersebut adalah: 017-328 8794 (Murnie), 010-214 2076 (Farhana), 012-625 5384 (Hida), 012-896 5727 (Sam), 017-332 5424 (Hasbee), 013-384 5740 (Theva) dan 012-499 4872 (Yu Lin).

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluahkan keyakinan pihak polis mampu mengawal perhimpunan yang beliau sifatkan sebagai perhimpunan haram itu.

Ahmad Zahid turut mengingatkan peserta perhimpunan agar tidak menimbulkan kekacauan serta provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Himpunan Suara Rakyat 505 yang juga dikenali Himpunan Blackout 505 pertama kali diadakan di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lalu ekoran protes terhadap penipuan dan penyelewengan yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pulihkan Demokrasi Dahulu Sebelum Tawar Rekonsiliasi

wan azizah kongres ke 9 PKR 02

PETALING JAYA 25 MEI : Keadilan akan terus menuntut agar Kerajaan minoriti Barisan Nasional (BN) melaksanakan Agenda Pemulihan Demokrasi sebelum menawarkan rekonsiliasi.

Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata agenda itu perlu dilakukan melalui reformasi politik yakni reformasi pilihanraya dan reformasi Parlimen.

Katanya, tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengadakan rekonsiliasi (reconciliation) terbukti tidak ikhlas apabila terdapat pemimpin Umno mencabar sesiapa yang tidak bersetuju dengan sistem pilihanraya negara supaya berpindah ke negara lain.

“Apakah pemimpin Umno-BN mahu 51 peratus rakyat Malaysia berpindah ke negara lain?

“Sememangnya di negara lain pun ada sistem ‘first past the post’. Tetapi jurang pengundi di kawasan yang besar tidaklah begitu jauh bezanya dengan kawasan yang kecil jumlah pengundinya.”

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Kongres Nasional Keadilan ke 9 di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini.

Sebelum ini, susulan daripada kepincangan dan penipuan dalam Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13), Pakatan Rakyat menggerakkan Himpunan Blackout 505 sebagai membantah proses PRU13 yang tempang dan tercemar.

Beliau menambah Pakatan Rakyat akan terus komited mempertahankan rakyat daripada pelbagai kesusahan yang bakal diwujudkan dengan melaksanakan manifesto suara majoriti rakyat.

Ini termasuk memberikan mendesak kerajaan persekutuan melaksanakan pendidikan percuma, menghapuskan perancangan cukai GST dan saman AES, menurunkan harga barangan dan menghapuskan rasuah dan kronisme.